Khamis, Mei 22, 2014

MB DIPUJI KERANA KAJI BALIK KENAIKAN CUKAI PINTU DI DAERAH KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Bertindak Cukai Pintu Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk mengkaji semula cadangan menaikkan kadar cukai pintu di daerah Kuala Terengganu. Pengerusinya Ahmad Azmzad Hashim turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman kerana bertindak segera dengan membincangkan isu itu ketika mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya semalam. "Kami sangat mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar untuk mengkaji balik kenaikan ini dan ingin menyatakan pendirian bahawa kami tidak dapat menerima sebarang kenaikan ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Jawatankuasa itu juga meminta lebih ramai penduduk di kawawsan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) agar mengemukakan bantahan mengenai cadangan tersebut sebelum tarikh akhir pada 2 Jun ini. Jawatankuasa itu disertai 40 badan bukan kerajaan di seluruh Terengganu dan ditubuhkan bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai cadangan kenaikan cukai tersebut. Semalam, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri akan mengkaji kadar cukai pintu berasaskan keperluan dan kebajikan kepada rakyat setelah kadar itu tidak berubah sejak 1981. -- BERNAMA KAK AE NM