Isnin, September 17, 2018

SABAH, SARAWAK SETARAF DENGAN SEMENANJUNG

KENINGAU, 17 Sept (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak tuduhan sesetengah pihak kononnya jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan status rakan sekutu (equal partners) kepada Sabah dan Sarawak sebagai janji kosong semata-mata.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata pendirian Pakatan Harapan untuk mengembalikan status kedua-dua negeri di Borneo itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sudahpun dibuat sebelum pilihan raya umum (lalu) lagi.

“Kita sudah bercakap tentang status Sabah, Sarawak itu bukan salah satu negeri tetapi sama taraf dengan Semenanjung. Itu kami sudah cakap sebelum kami menang pilihan raya (umum) lalu. Jadi ini memang kami sudah janjikan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Yin di sini hari ini.

Majlis berkenaan dianjurkan PKR pedalaman yang merangkumi PKR Tenom, Pensiangan dan Keningau sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan Dr Wan Azizah memperjuangkan prinsip reformasi melalui parti PKR sepanjang 20 tahun lalu.

Semalam, semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Tun Dr Mahathir memberi jaminan status rakan sekutu Sabah dan Sarawak yang telah terhakis sejak pembentukan Persekutuan Malaysia 55 tahun lalu akan dikembalikan.

Dr Mahathir berkata pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana dalam MA63 itu amat penting kerana ia akan memberi asas kukuh kepada tiga rakan sekutu dalam Malaysia itu untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Mengenai kenyataan bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengatakan isterinya Dr Wan Azizah akan meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri jika dia (Anwar) dilantik perdana menteri, Dr Wan Azizah berkata itu perkara telah diterima dalam parti dan merupakan janji PKR.

“Jika dia (Anwar) jadi perdana menteri, saya tidak akan pegang apa-apa jawatan lagi dalam kabinet,” katanya.

— BERNAMA

JANGAN PILIH PEMIMPIN YANG NGOK NGEK NGOK NGEK

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar memilih pemimpin yang setia meneruskan perjuangan parti dalam pemilihan PKR kali ini. , dan bukan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri.

Anwar berkata anggota PKR perlu menyedari parti itu dibentuk kerana agenda reformasi dan membela rakyat.

"Jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini," katanya dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 penyokongnya pada program ‘Jelajah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Wilayah Persekutuan’ di sini, hari ini.

Anwar seterusnya mempersoalkan tindakan pihak-pihak tertentu dalam PKR yang mempertikaikan keputusannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Sedangkan, katanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain menyokong penuh keputusan berkenaan.

"Bila saya buat keputusan nak bertanding di PD (Port Dickson), (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng sokong saya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun sokong, (Presiden Amanah) Mohamad Sabu juga sokong, tapi dalam parti (PKR), ngok ngek ngok ngek… kenapa?

“ Saya nak katakan, kita dah bincang dengan semua orang yang boleh bagi pandangan, jadi keputusan ini telah dibincang," katanya.

Anwar juga menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang mahu beliau menyingkir orang-orang tertentu dalam parti sebagai syarat sokongan pada PRK Parlimen Port Dickson.

"Ada orang beritahu saya, parti ini aman kalau saya pecat orang ini, orang itu. Kalau nak sokongan di PD, buang orang ini. Saya kata, kalau kau tak tidak mau sokong saya di PD, saya tidak peduli," katanya disambut sorakan penyokongnya.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita selepas program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil mudah PRK itu, walaupun pada hakikatnya beliau seorang pemimpin yang dikenali dan menjadi lumrah bagi mana-mana calon tidak mendapat sokongan 100 peratus daripada pengundi di mana-mana kawasan dan itu turut terpakai di Port Dickson.

“Saya tidak pernah bersikap begitu, (sama ada) dalam politik, kehidupan dan kerjaya, saya tidak memandang mudah mana-mana perkara, anda perlu kerja keras, anda perlu bertemu rakyat dan berikan penjelasan, lumrahnya anda tidak mendapat sokongan 100 peratus pengundi , tetapi adalah penting untuk anda sedari bahawa kami hanya menawarkan diri kami sebagai calon.

“Oleh itu bagi mereka anda mungkin dikenali dan diterima di tempat lain, tetapi apa yang penting adalah sokongan daripada Port Dickson. Tiada yang pasti. Saya perlu bekerja keras,” katanya.

Anwar berkata beliau akan melawat kawasan itu secepat mungkin untuk bertemu pengundi, malah sebelum hari penamaan calon.

Berhubung kenyataan Anggota Parlimen Padang Rengas daripada UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang secara terbuka menyatakan akan menyokong termasuk berkempen untuk beliau pada pilihan raya kecil itu, Anwar berkata beliau secara peribadi mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana pihak.

“Tetapi apabila melibatkan platform parti ia akan diputuskan oleh parti. Saya bukanlah sombong untuk menolak mana-mana tawaran untuk membantu, saya hanyalah seorang calon,” katanya.

Nazri yang dipetik berkata demikian oleh sebuah portal berita berkata, beliau percaya ini adalah yang terbaik untuk UMNO bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

-- BERNAMA