Ahad, Oktober 30, 2016

BILL GATES DERMA RM356 BILION KEPADA GOLONGAN MISKIN



NEW YORK:  Tiga anak jutawan Microsoft, Bill Gates bangga dengan keputusan bapa mereka yang tidak menyerahkan harta berjumlah AS$85.52 bilion (RM356.16 bilion) untuk diwarisi tetapi sebaliknya didermakan semuanya kepada golo­ngan miskin.


Gates, 60, yang mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berkata, semua anaknya memahami dan me­nyokong keputusan itu.

“Wang ini adalah untuk membantu mereka yang miskin. Anak-­anak saya tahu dan bangga malah mereka turut melihat kerja-kerja kebajikan yang dilakukan,’’ katanya.

Menurut laporan Mail Online, Gates tidak meninggalkan kemewahan kepada mereka sebaliknya memberi pendidikan yang terbaik supaya mereka boleh memulakan karier masing-masing.

“Walaupun begitu, mereka tidak akan menjadi miskin. Mereka tetap mempunyai sokongan kewangan bagi tujuan keselamatan,’’ katanya.

Gates yang menceritakan ke­hidupan peribadinya kepada ran­cangan televisyen, This Morning turut menegaskan, beliau tidak mahu memberi kemewahan me­lampau kepada anak-anaknya ke­rana ia akan membawa ke­pincangan dalam perkara yang mereka lakukan, sebaliknya mereka perlu mencipta hala tuju sendiri.

Tiga anak Gates iaitu, Jennifer, 20, Rory, 17 dan Phoebe, 14 merupakan hasil perkahwinannya dengan Melinda, 52.

Jennifer kini belajar dalam tahun dua di Universiti Stanford, California yang mana Gates turut menderma sebanyak AS$6.11 juta (RM25.45 juta) bagi pembinaan bangunan sains komputer atas nama beliau.

Jennifer juga seorang penunggang kuda yang hebat dan sering menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Rory dan Phoebe masih bersekolah dan tinggal bersama-sama Gates di Seattle, Washington.

Gates hanya mewariskan sebahagian kecil harta kepada anak-anaknya, manakala selebihnya akan didermakan kepada badan kebajikan miliknya, Yayasan Bill dan Melinda Gates yang membiayai projek-projek pendidikan dan kesihatan di seluruh dunia.