Selasa, April 26, 2016

MB REDA DENGAN TITAH SULTAN TERENGGANU



KUALA TERENGGANU, 26 April (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman reda dengan keputusan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepadanya.

Katanya sebagai rakyat dan pemimpin, beliau akan tetap membuktikan taat setia kepada Sultan Mizan.

"Saya akan terus taat setia dan kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi saya masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah-anugerah tersebut.

"Yang penting, kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, malam ini.



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu kepada Bernama hari ini.

Kenyataan itu berbunyi: "Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

"Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu."

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.