Selasa, Januari 19, 2016

TUN RAZAK SILAP BAWA MASUK MAHATHIR SEMULA KE DALAM UMNO



Dalam blognya, Dr Mahathir Mohamad menulis beliau sudah tentunya berasa amat sedih dengan kematian Tun Razak Hussein pada 40 tahun lalu kerana beliau terhutang segala-galanya kepada PM kedua itu.

"Saya dipecat daripada UMNO dan orang-orang yang dipecat sebelum saya tidak pernah kembali. Kerjaya politik mereka rosak," tulis bekas PM keempat itu dalam blognya semalam.

Katanya,Razak bukan sahaja membenarkan beliau kembali ke pangkuan Umno tetapi kemudiannya melantiknya sebagai seorang menteri penuh.

"Saya telah digambarkan sebagai anak emas Tun, yang menimbulkan kemarahan ramai orang kuat UMNO," tulisnya lagi.

" Bagi saya kerugiannya adalah peribadi. Tun Hussein yang menggantikan beliau tidak pernah rapat dengan saya dan saya fikir ini adalah akhir bagi kerjaya saya," katanya.

Beliau menambah tetapi tidak. Tidak, kerana Tun Razak telah bercakap sesuatu yang baik mengenai beliau kepada Tun Hussien.

Ulasan saya, Razak silap bawa masuk Dr Mahathir semula ke dalam Umno pada tahun 1971. Jika beliau tahu Dr Mahathir yang akan menghancurkan Umno di zaman Pak Lah dan Najib sehingga BN gagal mendapat majoriti dua pertiga sebanyak dua kali PRU berturut turut pada 2008 dan 2013, Razak tidak akan bawa masuk Dr Mahathir ke dalam Umno.

Ketika itu Umno Kedah tidak menerima keahlian Dr Mahathir sebaliknya sebuah cawangan di Rawang yang menerima keahliaan Dr Mahathir.

Ketika Tunku Abdul Rahman memecat Dr Mahathir dari Umno pada tahun 1969, semua orang marah kepada Tunku. Tetapi Tunku berpandangan jauh kerana beliau tahu Dr Mahathirlah yang akan merosakkan Umno suatu hari nanti.

Apa yang dibimbangkan oleh Tunku pada tahun 1969 menjadi kenyataan pada tahun 2007 apabila Dr Mahathir keluar dari Umno kerana Pak Lah enggan meneruskan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura.
Kritikan Dr Mahathir kepada Pak Lah menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU selepas Malaysia merdeka pada tahun 1957. 

Kini Dr Mahathir mengkritik Najib anak Razak yang menaikkan Dr Mahathir dalam politik.  Pada tahun 1971 beliau diterima semula menjadi ahli Umno. Oleh kerana Razak terhutang budi kepada Dr Mahathir yang menjatuhkan Tunku maka Razak melantik Dr Mahathir sebagai Senator dan Pengerusi FIMA.

Pada tahun 1972, beliau bertanding kerusi naib presiden Umno tetapi tewas. Beliau yang bertanding dua kerusi menang kerusi ahli majlis tertinggi Umno Selepas PRU 1974, Dr Mahathir yang baru dipilih sebagai ahli parlimen Kubang Pasu,dilantik Razak  sebagai menteri pelajaran satu jawatan kanan yang akhirnya menyebabkan beliau menang kerusi naib presiden Umno pada tahun 1975.

Golongan tua marah kepada Razak kerana pada hari perhimpunan agung Umno tersebut, Razak dalam ucapan perasmian perhimpunan agung Umno menyebut tiga nama yang patut dipilih sebagai naib presiden Umno iaitu Abdul Ghafar Baba, Dr Mahathir Mohamad  dan Tengku Razaleigh Hamzah. Perwakilan Umno yang patuh kepada ketua memilih calon yang direstui Razak.

Tambahan pula Dr Mahathir memegang jawatan menteri pelajaran yang kanan di mana majoriti perwakilan ketika itu adalah guru. Dr Mahathir patut berterima kasih kepada Razak yang memilihnya sebagai menteri pelajaran. Jika beliau menteri kebajikan, sudah tentu beliau kalah bertanding kerusi naib presiden Umno.

Sejak tahun lepas Dr Mahathir menyerang anak Razak, Najib  yang dianggapnya tidak layak jadi PM sedangkan pada tahun 2003 Pak Lah nak lantik Muhyiddin Yasin sebagai TPM tetapi sebanyak dua kali Dr Mahathir menyebut nama Najib sebagai timbalan kepada Pak Lah. Maka Pak Lah terpaksa melantik Najib sebagai TPM.

Adakah Dr Mahathir tidak mengenang budi Razak hinggakan sanggup menyerang anak Razak secara peribadi? Jika Razak masih hidup, Razak menyesal membawa Dr Mahathir masuk Umno pada tahun 1971 dahulu. Jika BN tewas dalam PRU akan datang, maka Dr Mahathirlah punca BN tewas.

Oleh itu bagi saya membawa masuk semula Dr Mahathir ke dalam Umno merupakan satu kesilapan Razak.