Ahad, Ogos 05, 2018

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN AMAT BERMAKNA KERANA TUKAR KERAJAAN TANPA RUSUHAN

GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan sahaja meraikan pembebasan daripada penjajah malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.

Beliau berkata sambutan kemerdekaan pada kali ini adalah untuk meraikan kemenangan rakyat yang berkorban dan berani menyelamatkan negara daripada sebuah kerajaan kleptokrasi.

"Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.

"Akhirnya ialah kejayaan luar dari dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar (maka) pemerintahan dahulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.

"Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat," kata Dr Mahathir berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama, di sini malam ini.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata rakyat berhak berasa gembira dan menyatakan kegembiraan mereka dengan mengibar Jalur Gemilang di seluruh pelusuk negara untuk membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia selamat dan diselamatkan oleh rakyat.

Beliau berkata walaupun negara dibebani dengan pelbagai masalah kerana salah guna kuasa oleh pemerintah terdahulu yang menyebabkan hutang bertimbun, jentera kerajaan rosak, kemiskinan melanda rakyat, perniagaan dan dagangan merosot namun berkat sokongan rakyat kerajaan dapat berusaha mengatasi masalah-masalah itu dalam keadaan stabil.

"Kami tidak berminat untuk balas dendam. Tetapi tidak dapat tidak tindakan terpaksa diambil terhadap mereka yang membawa bencana kepada negara tercinta ini. Kami akan pegang kuat kepada 'the rule of law', kepada pemerintahan mengikut undang-undang, walaupun proses ini mengambil masa.

"Benar lebih mudah dan lebih cepat jika undang-undang diketepikan atau disalahguna. Tetapi kami tidak hendak berlaku zalim kepada sesiapa. Kami utamakan keadilan. Inilah janji kami. Akan kami pegang kepada janji walaupun melambatkan proses menghukum mereka yang kita tahu bersalah," katanya.

Katanya kerajaan Pakatan Harapan pilihan rakyat berjanji berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan Malaysia sehingga menjadi 'Asian Tiger' semula.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berharap rakyat bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk memulihkan semula negara tanpa menyalahgunakan kuasa yang diberi rakyat atau melakukan penipuan.

Beliau berkata apabila negara maju, rakyat bukan sahaja mendapat nikmat dari pembangunan malah nikmat dari peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kami akan kawal kos sara hidup supaya wang yang kita perolehi akan dapat membeli lebih banyak barangan dan khidmat dari dahulu. Ini akan berlaku kerana daya keluaran kita akan meningkat dengan guna cara-cara baharu yang lebih efisien dan produktif.

"Kehidupan rakyat akan menjadi lebih bahagia kerana kebebasan bersuara dan bersurat akhbar. Hak perikemanusiaan akan dinikmati oleh semua. Rakyat bebas mengkritik kerajaan. Mereka tidak lagi akan didera dengan dikenakan cukai tambahan, pembekuan wang di bank, diturun pangkat, dihenti kontrak dan bermacam lagi deraan yang dikenakan kepada mereka jika tidak menyokong kerajaan dahulu," katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat seharusnya menyambut baik semua perancangan dan strategi kerajaan dengan menunjukkan kesediaan untuk merebut peluang-peluang yang akan diwujudkan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata tema Hari Kebangsaan 'Sayangi Malaysiaku' tepat dan kena pada masanya kerana rasa sayang kepada negara, rakyat berusaha menyelamatkan negara daripada kleptokrasi.

Beliau berkata merdeka bukan sekadar bebas daripada cengkaman kuasa dan minda penjajah tetapi menghayati semangat jiwa merdeka itu dengan menyayangi negara sepenuh hati serta sanggup berkorban untuk negara dengan apa cara sekali pun.

"Diucap terima kasih kepada yang telah menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia. Buktikanlah yang rakyat Malaysia sanggup berkorban untuk Malaysia. Berbanggalah untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja di rumah, kereta, bangunan dan di mana sahaja yang sesuai.

"Kibarkanlah Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus bersyukur dengan nasib kita yang begitu baik kerana dapat menukar kerajaan tanpa rusuhan," katanya.

-- BERNAMA