Selasa, Mei 24, 2016

TOK KU PALOH TERIMA ANUGERAH KHAS TOKOH ULAMA TERENGGANU

KUALA NERUS, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak hari ini menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Ulama Terengganu kepada Allahyarham Tokku Paloh sebagai menghargai sumbangan besar ulama itu meninggikan syiar Islam.

Anugerah itu disampaikan Najib semasa merasmikan majlis penutup Ijtimak Pondok Malaysia 2016 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu.

Najib menyerahkan anugerah itu kepada Datuk Syed Abu Bakar Syed Abdullah yang merupakan
generasi keempat Tokku Paloh atau nama sebenar Sayid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Syed Abu Bakar, 72, berkata anugerah itu memberi motivasi kepada cucu cicit Allahyarham untuk terus memberi lebih banyak sumbangan bagi meninggikan syiar Islam di negara ini khususnya Terengganu.

Beliau berkata ketika ini masih ada generasi ketiga dan keempat Allahyarham Tokku Paloh di sekitar Kuala Terengganu namun kebanyakannya sudah uzur akibat faktor kesihatan.

"Kami masih meneruskan warisan Allahyarham iaitu Masjid Tokku Paloh berdekatan Losong yang kini sudah berusia 160 tahun dengan pelbagai ceramah dan aktiviti keagamaan.

"Saya adalah pengerusi di masjid itu dan setiap malam Isnin, Rabu dan Khamis, saya akan memilih penceramah di kalangan anak cucu yang ada berdekatan masjid dan sesekali ada juga panggil penceramah luar," kata Syed Abu Bakar.

Beliau berkata selain masjid, program pengajian al-Quran juga diadakan di surau peninggalan Allahyarham yang terletak berhampiran makamnya.

Bekas ketua pengarah sukan di Kementerian Belia dan Sukan itu berkata setakat ini ramai dalam kalangan generasi kelima dan keenam Allahyarham Tokku Paloh meneruskan pengajian di bidang agama termasuk di Jordan dan Hadramaut.

"Kalau ikut cerita-cerita orang, memang diakui bahawa Allahyarham Tokku Paloh ini tiada tandingannya, sumbangannya sangat besar terhadap Islam di Terengganu malah Allahyarham juga menjadi guru agama kepada Sultan Zainal Abidin satu ketika dulu," katanya.

Selain anugerah berkenaan, turut disampaikan ialah anugerah karya ilmiah pondok dan anugerah kasih Perdana Menteri.

-- BERNAMA