Jumaat, Ogos 04, 2017

YANG TERSURAT DAN YANG TERSIRAT

KUALA LUMPUR: Semalam saya tulis "Sepetang Di Sepiring" dalam blog ini mendapat sambutan para pembaca. Kini Sepiring yang terletak di Sunway Putra Mall dekat PWTC menjadi popular dan  menjadi "parlimen" tempat orang politik berkumpul.

Parlimen Sepiring sudah menggantikan Parlimen Nagas. Dahulu orang politik berkumpul di Parlimen Nagas sewaktu The Mall sedang direnovasi. Kini mereka berpindah ke Sepiring kerana terlalu ramai broker maut berada di Restoran Nagas yang kini bertukar nama kepada Restoran Al Raziq.

Apabila orang politik sama ada ketua bahagian atau ahli jawatankuasa bahagian atau ketua cawangan atau ketua pemuda bahagian datang dari seluruh negara maka Sepiring jadi tempat mereka membahaskan isu semasa. Pelbagai hujah mereka bawa. Dalam serius mereka bergurau,  dalam bergurau mereka serius membincangkan isu negara kalah ahli-ahli parlimen kita.

Kelulusan mereka hebat hebat,  setengah dari mereka "jack of all the trades, master of none. Mereka serba tahu. Bila bercakap kalah menteri. Berkumpul dengan beberapa kawan petang semalam agak menarik kerana seorang kontraktor Datuk Mahmud (bukan nama sebenar) menceritakan pengalamannya mencari projek di zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Menteri Kewangan.

Kisah Datuk Mahmud dahulu pernah tersiar dalam majalah wanita beristeri tiga dan bawa tiga isteri dalam satu majlis. Ketiga tiga isteri dibina rumah yang sama besar, sama luas dan sama design kecuali warna ikut pilihan isteri masing masing. Beliau berkata buat apa cakap bohong kepada isteri kerana bohong itu tidak membawa kebahagiaan.

Yang lucunya Datuk Mahmud banyak buat lawak jenaka yang menyebabkan kami berempat tidak kering gusi. Datuk Mahmud kata sekarang ini bukannya orang jadi kontraktor tetapi ramai yang "berniaga perasaan" dengan membawa surat jumpa PM atau TPM untuk dapatkan minit. Bila dapat minit, orang politik ini jual projek kepada orang Cina.

Datuk Mahmud adalah bekas ketua bahagian maka perbualan politik sudah menjadi minat beliau. Katanya BN boleh menang jika letak calon yang disukai rakyat di setiap kawasan.

Sebelum Datuk Mahmaud sampai tadi, seorang veteran yang minum bersama kami menjelaskan bahawa TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  bukannya menghina Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai keturunan Kerala.

Sebenarnya beliau mempertahankan bossnya Datuk Seri Najib yang terperangkap dalam majlis India muslim baru baru ini yang mahu India muslim diiktiraf sebagai Bumiputera. Dr Zahid seolah olah berkata apa lagi India muslim mahu sedangkan keturunan mereka yang menjadi PM selama 22 tahun. Malah KSN, KSU Perbendaharaan pun India muslim.

Apa lagi mereka mahu? Datuk Seri Najib dah banyak beri keutamaan kepada India muslim di negara ini. Jika MIC tidak bantah sudah lama Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menjadi parti komponen BN.

"Oleh itu jangan tengok yang tersurat tetapi tengoklah yang tersirat dari kenyataan Dr Zahid," tegas Haji Baha (bukan nama sebenar) kepada kami.