Jumaat, Julai 26, 2013

AHLI PAS PANGKAH BN DI KUALA BESUT

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memuji pengundi Kuala Besut yang membuat pilihan bijak dan tepat dengan memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut kelmarin. Katanya beliau amat berbangga dengan kebijaksanaan yang ditunjukkan penduduk kawasan Kuala Besut termasuk sebahagian ahli-ahli PAS yang telah mengiktiraf segala jasa dan khidmat yang telah diberikan setiap pemimpin BN dengan memilih Tengku Zaihan. "Di situ jelas telah berlaku perubahan angin dalam PRK itu di mana ada antara ahli-ahli PAS yang telah memberikan undi kepada calon BN," katanya selepas majlis penyampaian zakat dan Netbook kepada pelajar Institut Pengajian Islam (INSPI) Kampung Binjai, di Kemaman semalam. Katanya rakyat dan pengundi Kuala Besut dapat menilai khidmat terbaik yang diberikan kerajaan BN selama ini khususnya dalam menentukan kemajuan rakyat. Pada PRK DUN Kuala Besut semalam Tengku Zaihan menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof. Ahmad Shabery berkata keputusan tersebut sekali gus memberikan keyakinan rakyat seluruh negara bahawa Umno dan BN adalah pilihan terbaik untuk mereka manakala segala usaha pembangkang untuk mencemuh pilihanraya di negara ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak rakyat. Beliau berharap semua pihak mengerti yang sekarang adalah masa untuk kerajaan yang dipilih untuk meneruskan pembangunan negara dan bukan mencari alasan untuk mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menyifatkan kemenangan di Kuala Besut itu sebagai bukti orang Melayu masih sayangkan parti itu.