Khamis, April 14, 2016

DAP AMBIL TINDAKAN KEPADA DR TAN SENG GIAW?



Sehingga petang semalam, nasib yang ‘bakal’ diterima Naib Pre­siden DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang mengeluarkan komen berten­tangan dengan Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu, Tony Pua dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih tidak ketahuan.


Dihadapkan ke lembaga disiplin parti itukah? Atau kemungkinan tidak lagi dicalonkan DAP dalam pilihan raya umum ke-14 kah?

Pua masih seperti burung tu­kang yang sentiasa buat bising tan­pa asas terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu dengan ulasannya kekal negatif terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Kita mahu bertanya Pua, bukankah anda turut bersama lima anggota PAC dari pembangkang menyertai sembilan lagi ahli menandatangani laporan penuh PAC yang muktamad mengesahkan:

1. Tiada wang RM42 bilion hilang sebagaimana didakwa pelbagai pihak.

2.Tiada penyaluran wang 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri.

3.Tiada bukti elemen jenayah.

4.Terdapat kelemahan urustadbir syarikat.

Jadi, mengapa terus mengambil tindakan yang kelihatan menampakkan kebodohan sendiri?

Benar kata Seng Giaw kepada New Straits Times bahawa apa jua tuduhan diutarakan Pua terhadap 1MDB perlu disokong bukti dan bukan sekadar cakap sahaja.

“Kalau anda tiada bukti untuk menyokong apa yang anda katakan, tak usah bercakap. Jika ada tuduhan, orang yang menuduh itu perlu kemukakan bukti,” kata Seng Giaw.

Pendirian Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC itu nampaknya jujur:

“Kami (PAC) melihat beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) bukan terlibat secara langsung dengan 1MDB. Namanya malah hanya timbul setelah beliau dinamakan sebagai ahli lembaga penasihat.”

Mengenali Seng Giaw, semua maklum kematangan beliau berpolitik. Politik bertanggungjawab inilah perlu dipelajari Pua.

Seng Giaw berusia 74 tahun dan menyandang Ahli Parlimen Kepong sejak 1982 lagi dihormati rakan-rakan saingan politiknya. Ini kerana kebolehannya jarang ditemukan dalam kalangan ahli politik pembangkang di Malaysia.

Anak Kelahiran Kota Bharu ini yang mahir menulis dan membaca jawi serta fasih berbahasa Malaysia menjadi contoh kepada pemimpin politik pembangkang yang sering menjadikan perkara yang tiada isu sebagai ‘isu’.

Doktor pakar kulit yang pernah berkhidmat sebagai doktor pakar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sukar dilihat menabur fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan. Dalam sidang Dewan Rakyat pun, amat jarang melihatnya ‘meng­ganggu’ sesi perbahasan ha­nya kerana mahu memanipulasi isu dan mengecap populariti.(dipetik dari Utusan Malaysia)