Jumaat, September 30, 2016

APA MOTIF PEGAWAI KHAS MB VIRALKAN SENARAI CALON BN?

Pagi semalam seorang pegawai khas Menteri Besar Terengganu telah menviralkan senarai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam grup whatsapp Politik Kedai Kopi (PKK). Tak tahu apa motif beliau berbuat demikian sehingga ia menjadi heboh di Terengganu apabila senarai itu disalin dan diedarkan kepada grup whatsapp yang lain pula.

Tak dapat dipastikan siapa yang buat senarai tersebut sama ada orang pembangkang atau orang Umno sendiri yang mahu mengerat calon-calon tertentu. Orang yang mahu jadi calon tersenyum tengok nama mereka ada dalam senarai tetapi mereka tak sedar ini semua strategi untuk mencantas mereka dari awal lagi.

Yang nak jadi calon tetapi nama tak keluar seronok kerana mereka tidak dikerat dari awal. PRU lambat lagi kenapa tiba tiba senarai calon keluar pada masa sekarang. Adakah ia mahu test market cita rasa pengundi sama ada nama yang disenaraikan itu diterima oleh pengundi atau tidak.

Meneliti senarai 32 calon DUN dan 8 calon parlimen ini ia jelas menunjukkan bahawa ia dibuat oleh bukan penyokong MB, Ahmad Razif Abdul Rahman kerana nama Razif diletakkan sebagai calon parlimen Kuala Nerus. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Jailani Johari  (JJ) diletakkan di DUN Kuala Berang yang mungkin dilantik sebagai bakal MB Terengganu selepas PRU akan datang.

Maka yang kita nampak mungkin orang JJ yang buat senarai calon BN ini. Atau mungkin orang yang buat senarai ini adalah musuh JJ yang sengaja mahu melaga-lagakan JJ dengan Razif.. Daripada 32 calon DUN itu seramai lapan orang atau 25 peratus orang muda yang akan bertanding. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah melahirkan hasrat supaya lebih ramai orang muda diletakkan sebagai calon BN dan 25 peratus ini agak kecil. Sepatutnya calon muda ditingkatkan lagi kepada 30 peratus.


Siapa lapan orang calon muda tersebut? Di Besut, Zahari Mat diletakkan di DUN Hulu Besut menggantikan Nawi Mohamad. Nawi dalam ucapannya di Hulu Besut baru-baru ini berkata beliau tak nak bertanding lagi dan mahu memberi laluan kepada orang muda.

Di Setiu, penyandang DUN Jabi, Iskandar Jaafar masih muda. Beliau adalah Exco Pemuda Umno Malaysia. Di Kuala Nerus, pegawai MB, Ahmad Nidzam Abd Karim juga orang muda ditonjolkan sebagai pengganti Razif di DUN Seberang Takir.

Di Kuala Terengganu, Badrol Hisham Zaki yang dinamakan di DUN Ladang juga orang muda. Di Marang, bekas Ketua Pemuda Umno negeri,  Saiful Bahri Baharuddin diletakkan di parlimen Marang. Di Hulu Terengganu, Ketua pemuda negeri, Johari Abu Bakar ditonjolkan sebagai calon DUN Manir.

Di Dungun, anak bekas Ketua Bahagian, Azadi Rosli dicalonkan di DUN Sura manakala di Kemaman, orang kuat Pegawai Pegawai Pembangunan DUN Chukai, Che Wan Asri Che Wan Abdullah juga orang muda diletakkan di DUN Chukai.

Semua grup whatsapp yang menerima senarai calon tersebut telah membahaskan isu ini semalam. Ramai yang menganggap jika ini senarai calon BN yang sebenar pada PRU akan datang, maka PAS yang akan memerintah Terengganu. Maka sudah pasti mereka yang ada dalam senarai ini akan ditukarkan di saat saat akhir untuk pastikan BN  kekal memerintah Terengganu.

Jika berlaku pertandingan tiga penjuru di antara BN dengan PAS dengan Amanah, maka peluang BN untuk menang adalah cerah tetapi jika ahli Umno masih mengamalkan peteh keting, maka PAS yang menerima keuntungan dari perpecahan ahli ahli Umno ini. Sama samalah kita tunggu senarai sebenar calon BN pada PRU akan datang yang mana PRU  dijangka diadakan pada bulan Mei tahun hadapan.