Khamis, Oktober 23, 2008

BENARKAH KHAIRY TAK BELI UNDI?


Khairy Jamaluddin yang dijangka mendapat kuota untuk bertanding ketua pemuda UMNO pada minggu ini mengatakan bahawa pencalonan yang diberikan kepadanya dibuat atas sokongan ikhlas yang tulen dan setiakawan, bukannya dipaksa atau dibeli mahupun mengikut sentimen tertentu.

Khairy baru dapat 37 pencalonan sedangkan Mukriz Mahathir sudah jauh meninggalkan Khairy dengan 61 pencalonan. Seorang lagi calon, Dr. Khir Toyo mendapat 28 pencalonan. Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Zahidi Zainol Abidin yang dapat satu pencalonan telah mengumumkan menarik diri dari pertandingan itu.

Benarkah Khairy tak main wang? Beranikah dia bersumpah bahawa dia tidak main wang seperti mana Najib bersumpah dia tak kenal Antaltuya? Ada sumber dari Sabah mengatakan orang Khairy beri RM100,000 bagi setiap bahagian tetapi gagal mendapat pencalonan. Ini bermakna pemuda matang. Walaupun ditabur denganwang, mereka tidak mengundi Khairy sebaliknya mengundi Mukhriz. Atau adakah Khairy kena main? Wang sudah diberi kepada ketua pemuda tetapi tak sampai ke tangan perwakilan. Atau wang sudah diterima oleh perwakilan tetapi mereka undi calon lain.
Ini terbukti di Tuaran kubu kuat Khairy mana bekas ketua pemudanya ialah Abdul Rahman Dahlan yang juga setia usaha pemuda. Khairy gagal dapat pencalonan dari Tuaran.

Gerakan anti Khairy begitu kuat sehingga orang kuat Khairy di Wangsa Maju, Norza Zakaria tidak dapat mengawal pemudanya untuk mencalonkan Khairy. Wangsa Maju mencalonkan Dr. Khir Toyo. Kuantan yang mana bendahari pemuda, Hamid Nazahar adalah bekas ketua pemudanya juga gagal mencalonkan Khairy. Pendek kata jehendak akar umbi kepada Mukhriz begitu kuat.

Inilah politik UMNO. Pak Lah akan berundur lima bulan lagi. Siapa lagi yang mahu bergantung kepada Khairy? Khairy dapat menilai sekarang siapa rakan setianya kini yang sanggup sehidup semati dengannya bila Najib jadi Perdana Menteri kelak.

MEMANG UMNO TONJOLKAN ORANG MUDA


UMNO sedang sakit tua, kata bekas timbalan presidennya, Musa Hitam. Oleh itu UMNO perlukan pemimpin muda untuk merawat penyakit tua itu.

Musa meminta UMNO beri peluang kepada pemimpin muda untuk pulihkan UMNO. Memang itulah yang sedang dilakukan UMNO kini. UMNO minati Najib yang lebih muda dari Ku Li untuk memimpin UMNO. Najib baru masuk 55 tahun umurnya manakala umur Ku Li sudah 70 tahun.

Dari segi umur di kalangan calon timbalan presiden, Ali lebih muda dari Muhyiddin dan Muhammad Muhd. Taib tetapi Ali belum cukup kuota lagi untuk mencabar Muhyiddin.

Di kalangan calon naib presiden pun, ramai orang muda seperti Dr. Zahid, Shafie Afdal, Khaled Nordin dan Hishamuddin. Sebagai ketua pemuda Hishamuddin gagal menarik pengundi muda mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu, tetapi orang seperti ini pula mahu ditonjolkan sebagai naib presiden. Sepatutnya beliau buktikan dapat menarik golongan muda mengundi BN baru boleh menawarkan diri untuk dinaikkan pangkat sebagai naib presisen.

Musa kata orang muda memiliki idea baru. Sehingga ini kita tak nampak dengan jelas apa visi Najib jika beliau dipilih Presiden UMNO nanti. Sekurang-kurangnya Ku Li sudah menyatakan pembaharuan yang akan beliau buat jika beliau dipilih sebagai Presiden. Ku Li mahu semua ahli UMNO di peringkat cawangan memilih pemimpin terteinggi parti. Ku Li mahu semua ahli berhak memilih calon ADUN dan calon parlimen mereka. Ku Li mahu hapuskan kuota pencalonan.

Sehingga kini Najib tidak menawarkan apa-apa kepada ahli-ahli UMNO apa yang beliau akan buat nanti. Manifesto yang diterbitkan oleh portal Malaysiakini telah dinafikannya. Walaupun Ku Li telah membuat tawaran kepada ahli-ahli UMNO, nampaknya tawaran Ku Li itu tidak memikat para perwakilan UMNO. Mereka lebih berminat kepada Najib kerana Najib adalah Menteri Kewangan sebaliknya Ku Li tiada jawatan dalam kerajaan.
Justru itu cadangan Musa supaya UMNO memberi peluang kepada pemimpin muda untuk memperbetulkan penyakit UMNO memang sedang dilakukan oleh UMNO kini.

DR. RAIS BARU LAKU RM1.00


Seperti saya tulis semalam, kenyataan Dr. Rais Yatim telah menghina ahli-ahli UMNO. Ini dipersetujui oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Shahidan Kassim yang berkata kenyataan Menteri Luar itu dianggap telah menghina ahli-ahli UMNO.

Shahidan mencadangkan supaya Dr.Rais ditender terlebih dahulu sebelum jawatan tertinggi parti itu ditenderkan.

“Jika beliau ditender, saya akan masuk tender dengan permulaan RM1,” kata bekas Menteri Besar Perlis itu. Masalahnya jika Dr. Rais ditender, ahli-ahli UMNO tidak berminat untuk membidanya. Buktinya untuk pencalonan naib presiden UMNO, Dr. Rais baru dapat enam pencalonan. Kalau satu pencalonan bernilai RM1,000, Dr. Rais baru dapat RM6,000 lebih tinggi dari bidaan Shahidan sebanyak RM1.

Betul juga kata Shahidan, Dr. Rais terlalu marah dengan politik wang tetapi tambah Shahidan kenyataan itu tidak patut dikeluarkan kerana seolah-olah semua ahli UMNO mengamalkan politik wang. Bukannya semua ahli UMNO yang terbabit dengan politik wang.

Shahidan mencadangkan supaya UMNO Pusat membiayai semua mesyuarat parti peringkat negeri bagi mengelak politik wang termasuk semua mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian. Segala bentuk sumbangan kepada cawangan melalui jkkkk seperti mana berlaku di Kemaman patut dielakkan.
Menteri Penerangan, Shabery Cheek telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM2,000 kepada setiap cawangan di mana ia adalah untuk cawangan, pemuda, wanita dan puteri melalui jawatan kuasa kemajuan dan keselamatan kampong (JKKK) juga boleh dianggap sebagai politik wang.