Khamis, Oktober 23, 2008

MEMANG UMNO TONJOLKAN ORANG MUDA


UMNO sedang sakit tua, kata bekas timbalan presidennya, Musa Hitam. Oleh itu UMNO perlukan pemimpin muda untuk merawat penyakit tua itu.

Musa meminta UMNO beri peluang kepada pemimpin muda untuk pulihkan UMNO. Memang itulah yang sedang dilakukan UMNO kini. UMNO minati Najib yang lebih muda dari Ku Li untuk memimpin UMNO. Najib baru masuk 55 tahun umurnya manakala umur Ku Li sudah 70 tahun.

Dari segi umur di kalangan calon timbalan presiden, Ali lebih muda dari Muhyiddin dan Muhammad Muhd. Taib tetapi Ali belum cukup kuota lagi untuk mencabar Muhyiddin.

Di kalangan calon naib presiden pun, ramai orang muda seperti Dr. Zahid, Shafie Afdal, Khaled Nordin dan Hishamuddin. Sebagai ketua pemuda Hishamuddin gagal menarik pengundi muda mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu, tetapi orang seperti ini pula mahu ditonjolkan sebagai naib presiden. Sepatutnya beliau buktikan dapat menarik golongan muda mengundi BN baru boleh menawarkan diri untuk dinaikkan pangkat sebagai naib presisen.

Musa kata orang muda memiliki idea baru. Sehingga ini kita tak nampak dengan jelas apa visi Najib jika beliau dipilih Presiden UMNO nanti. Sekurang-kurangnya Ku Li sudah menyatakan pembaharuan yang akan beliau buat jika beliau dipilih sebagai Presiden. Ku Li mahu semua ahli UMNO di peringkat cawangan memilih pemimpin terteinggi parti. Ku Li mahu semua ahli berhak memilih calon ADUN dan calon parlimen mereka. Ku Li mahu hapuskan kuota pencalonan.

Sehingga kini Najib tidak menawarkan apa-apa kepada ahli-ahli UMNO apa yang beliau akan buat nanti. Manifesto yang diterbitkan oleh portal Malaysiakini telah dinafikannya. Walaupun Ku Li telah membuat tawaran kepada ahli-ahli UMNO, nampaknya tawaran Ku Li itu tidak memikat para perwakilan UMNO. Mereka lebih berminat kepada Najib kerana Najib adalah Menteri Kewangan sebaliknya Ku Li tiada jawatan dalam kerajaan.
Justru itu cadangan Musa supaya UMNO memberi peluang kepada pemimpin muda untuk memperbetulkan penyakit UMNO memang sedang dilakukan oleh UMNO kini.