Ahad, Januari 31, 2016

RAJINIKANT PELAKON ASIA KEDUA TERMAHAL SELEPAS JACKIE CHAN



Sempena Hari Thaipusam minggu lepas, Astro 131 menayangkan filem Tamil Lingaa lakonan Rajinikant, Supertar filem Tamil yang mendapat bayaran kedua termahal di Asia selepas Jackie Chan pada tahun 2007 dengan bayaran sebanyak RM24 juta.

Lingaa diterbitkan pada tahun 2014 arahan K.S. Ravikumar. Ia dibintangi Rajinikant, Anushka Shetty, Sonakshi Sinha, Santhanam, Jagapati Babu dan Karunakaran. Filem itu dishooting di Mysore pada Mei 2014 dan ditayangkan pada 12 Disember 2014 sempena harijadi Rajinikant. Ia dialihbahasa ke dalam bahasa Telegu dan Hindi dengan tajuk yang sama, Lingaa.

Cerita Lingaa amat menarik kerana ia mengisahkan pemeriksa ampangan (Ponvannan) di kampung Solaiyur dibunuh oleh ahli parlimen (Jagapathi Babu) kerana enggan menulis laporan kononnya empangan yang dibina 75 tahun lalu sudah tidak boleh digunakan lagi. Ahli parlimen tersebut mahu empangan itu dirobohkan untuk membina empangan yang baru, yang mana beliau akan mendapat komisen yang besar.

Ponvannan yang dibunuh sempat membuang pen drive laporan ampangan itu ke dalam kawasan kuil yang tidak pernah dibuka di sebelah ampangan tersebut. Ponvannan sebelum meninggal dunia sempat berpesan kepada ketua kampung (K Viswanath) supaya kuil itu dibuka semula.

K Viswanath berpendapat kuil itu mesti dibuka oleh keturunan Raja Lingeswaran yang membina empangan tersebut. Maka cucu ketua kampung itu, Anushka Shetty, seorang wartawan tv mencari keturunan Raja Lingeswaran di bandar iaitu Lingaa (Rajinikant).

Rajinikant memegang dua peranan sebagai datuk dan cucu. Lingaa memanglah cucu Raja Lingeswaran tetapi dia adalah seorang pencuri kerana keluarganya merempat selepas datuknya yang kaya menjual semua hartanya.Rajinikant berjaya dibawa ke Kampung Solaiyur oleh Anushka Shetty selepas melaporkan kegiatan curi Rajinikant kepada polis. Bimbang ditangkap polis, maka Rajinikant bersama dua kawannya bersetuju ikut Anuskha Shetty ke kampungnya.

Rajinikant dan kawan kawannya bercadang mencuri batu linggam yang terdapat dalam kuil itu tetapi ketika mereka melompat masuk ke dalam kuil usang itu, pengawal keselamatan ampangan nampak dan memberitahu orang kampung. Bila orang kampung membuka kuil tersebut, mereka nampak Rajinikant dan dua kawannya sedang sembahyang danmelakukan pooja kepada batu Lingam itu.

Ketua kampung gembira melihat cucu Raja Lingeswaran itu dan di sini beliau menceritakan bagaimana datuk Lingaa mendirikan ampangan tersebut untuk kegunaan orang orang kampung di zaman British. Raja Lingeswaran merupakan raja negeri Kodiyur tetapi pergi ke England belajar dalam bidang kejuruteraan. tetapi oleh kerana mahu belajar selok belok pentadbiran, Raja Lingeswaran menyertai Indian Civil Service (ICS) sebagai pegawai daerah Solaiyur.

Penduduk kampung menghadapi masalah air. Maka beliau sebagai pegawai daerah mencadangkan pembinaan empangan tetapi ditolak oleh pegawai British. Beliau letak jawatan dan membina empangan sendiri dengan menjual harta bendanya. Gabenor British memberi kebenaran kepadanya membina empangan sempena hari jadi Raja Lingeswaran yang mengundang Gabenor ke istananya. Tujuan Gabenor memberi kebenaran itu kerana dia tahu mana ada orang India mampu membina empangan sendiri tanpa pertolongan kerajaan British.

Raja Lingeswaran difitnah oleh pegawai British kononnya beliau pengintip kerajaan British. Maka beliau dihalau oleh orang kampung dan beliau telah menjual semua harta bendanya dan hidup dalam kemiskinan bersama isterinya Sonaskshi Sinha. Menyedari kisah sebenar, orang kampung memujuk Raja Lingesawaran balik ke Solaiyur tetapi beliau dengan tegas menolaknya dan sejak itu kuil yang dibina Raja Lingeswaran di tepi empangan itu tidak pernah dibuka kecuali oleh keturunan beliau sendiri.

Lingaa terkejut apabila mengetahui datuknya seorang dermawan dan dia mahu mencari pembunuh pemeriksa empangan tersebut dengan mencari pen drive yang dicampak ke dalam kawasan kuil usang itu. Lingaa temui pen drive itu yang membuktikan empangan yang dibina sejak 75 tahun lalu amat teguh. Lingaa pun memburu ahli parlimen yang mahu mengebom empangan tersebut kerana beliau berhasrat membina empangan baru yang memberinya komisen berjuta juta.

Lingaa balik semula ke bandar selepas berjaya membunuh ahli parlimen itu dengan Anushka Shetty dan Lingaa berikrar akan kembali semula ke kampung itu setelah membuat jasa seperti datuknya.

Filem ini menarik kerana ia gabungan zaman British dan moden di mana unsur patriotik semangat rakhyat India membina empangan itu turut diterapkan tanpa mengenal kasta, agama dan keturunan. Stuntman Hollywood Lee Whittaker diambil untuk berlakon adegan adegan stunt dalam filem ini. Ia melibatkan pergaduhan di atas belon besar.

Aktres British Lauren J. Irwin turut berlakon sebagai isteri pemungut hasil tanah dan pelakon Amerika, William Orendorff berlakon sebagai Gabenor British.

Filem Lingaa mencapai box office di mana pada minggu pertama ia mengutip RM30 juta di India dan RM52 juta di seluruh dunia.


Rajinikant, 66 tahun disambut besar besaran ketika shooting filem terbarunya di Melaka tahun lepas.Sebagai nama besar dalam industri filem Tamil, beliau memang dikagumi oleh pelakon Hindustan, Shah Rukh Khan yang memberi penghormatan kepada Rajinikant dalam filem Chennai Express (2013).

Sabtu, Januari 30, 2016

CADANGAN PEMUDA UMNO CHERAS JADI KENYATAAN


Pada 27 Ogos 2015 saya sudah menulis dalam blog ini bahawa Annuar Musa perlu serius mempertahankan Najib berdasarkan majlis penerangan khas anjuran Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang diadakan sehari sebelum itu.

Para hadirin kagum dengan hujah Pengerusi MARA itu mengenai isu 1MDB dan isu derma RM2.6 billion dan wakil Pemuda Umno Bahagian Cheras mencadangkan majlis tertinggi Umno melantik Annuar Musa sebagai ketua penerangan Umno Malaysia.

Mereka kecewa kerana Ahmad Maslan gagal menjelaskan isu isu semasa. Sebab itu mereka tertarik dengan pidato Annuar Musa. Semalam majlis tertinggi Umno melantik ahli parlimen Ketereh itu sebagai ketua penerangan Umno yang baharu menggantikan Ahmad Maslan.

Majlis tertinggi juga melantik Ahmad Maslan sebagai pengerusi media baharu selain dari Azeez Rahim, pengerusi daftar pemilih dan keahlian; Johari Ghani sebagai pengerusi biro ekonomi, Reezal Merican Naina Merican sebagai pengerusi biro pelajar luar negara, Razali Ibrahim  pengerusi biro institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Samsul Anuar Nasrah sebagai pengerusi biro kebajikan.

Sudah pasti dengan perlantikan Annuar Musa nanti biro penerangan Umno Malaysia lebih rancak dan segar tidak seperti sekarang biro tersebut tidak bermaya sebaliknya diperlekehkan oleh ahli ahli Umno sendiri. Tugas Annuar amat berat untuk menjelaskan isu 1MDB dan isu RM2.6 billion kerana ahli-ahli Umno sendiri tidak percaya dengan penjelasan Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mengenai isu derma RM2.6 billion. 

Semalam juga kononnya Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dihalau dari mesyuarat majlis tertinggi sedangkan beliau tidak diundang. Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa beliau sudah menelefon Mukhriz sebelah pagi bahawa beliau tidak perlu hadiri mesyuarat tersebut tetapi untuk menagih simpati rakyat, beliau tetap hadir dan disambut dengan laungan Hidup Mukhriz ketika tiba di lobi Menara Dato Onn.

Apabila Mukhriz tidak diundang ke mesyuarat majlis tertinggi Umno kerana beliau bukan ahli majlis tertinggi Umno maka isu perlantikan MB baharu Kedah akan berakhir sehari dua lagi. Senarai tiga nama calon MB baharu sudah dikemukakan kepada Pemangku Sultan Kedah. Sama samalah kita tunggu pengumumannya.


Jumaat, Januari 29, 2016

MUKHRIZ PERLU BERJIWA BESAR

Bagi mengelakkan kemelut politik Kedah berlarutan, seorang penganalisis politik berpendapat adalah lebih baik bagi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir memilih untuk berjiwa besar dengan mengutamakan perpaduan UMNO dan kepentingan parti.

 Penyandang Kursi Tun Abdul Razak dan Professor Pelawat Sains Politik di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Prof Dr Jayum Jawan berkata langkah terbaik yang wajar diambil oleh Mukhriz bagi menyelesaikan pergolakan politik di Kedah adalah dengan meletak jawatannya sebagai Menteri Besar.

 "Langkah itu (meletak jawatan) secara langsung dapat mempertahankan maruah dan integriti Mukhriz sebagai seorang pemimpin kerana sudah jelas beliau tidak mendapat sokongan daripada semua (ketua) UMNO Bahagian di Kedah," katanya kepada Bernama.

 Sejak 20 Jan lepas, suasana politik di Kedah 'panas' apabila Mukhriz menerima tekanan daripada barisan kepimpinan UMNO Kedah yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. 

Jayum, yang juga Timbalan Ketua Kluster (Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa) Majlis Profesor Negara, berkata kesediaan Mukhriz untuk menjaga kepentingan parti seiring dengan pendiriannya sebelum ini yang menegaskan bahawa beliau akan tetap setia kepada UMNO. Mukhriz, yang juga ADUN Ayer Hitam, turut dilaporkan bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan membabitkan dirinya. -- BERNAMA

Khamis, Januari 28, 2016

MUSTAPA DITUDUH NAK JUAL NEGARA KERANA TPPA

"Kita juga dituduh nak jual negara. Itu kita dah beri penerangan dalam ucapan saya, hari ini saya bangga kerana yang terlibat gulung semua enam menteri terlibat jawab, hampir 40 kali lebih kita bincangkan isu TPPA di Kabinet, Kabinet ambil berat perkara ini dan kita dah buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ,Mustapa Mohamed mengulas usul perjanjian Perkongsian Trans pasifik (TPPA) yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Ia juga satu sejarah kerana tidak pernah lagi mana-mana perjanjian triti dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan anggota Parlimen dan tempoh dua hari yang diperuntukkan juga satu tempoh yang panjang.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab membawa usul penyertaan Malaysia dalam TPPA,  Mustapa Mohamed akhirnya menarik nafas lega selepas ia diluluskan Dewan Rakyat semalam.

"Ini merupakan cabaran paling besar dalam hidup saya dalam karier saya sebagai menteri, tak pernah saya terlibat dalam sesuatu yang begini rumit.

"Ini kerana TPPA banyak menimbulkan salah faham, banyak perkara yang ada di antaranya tak berasas dan saya mendapat pelbagai pandangan dan kritikan daripada pelbagai pihak," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu pada sidang media di lobi Parlimen.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak, selepas 24 anggota Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan sesi khas Parlimen itu.

"Saya lama dalam kerajaan tapi ini (cabaran) yang paling getir untuk saya. Alhamdulillah, dengan sokongan semua, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak, TPM (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), anggota-anggota Kabinet, rakan di MITI dan 17 agensi kementerian terlibat, ia bukan usaha bersendirian, ini usaha secara bersama," katanya.

Menurut Mustapa langkah seterusnya yang akan diambil ialah membentangkan perkara berkenaan di Dewan Negara untuk dibahaskan dan sekiranya ia dipersetujui, beliau akan berangkat ke Auckland, New Zealand untuk menandatangani TPPA pada 4 Feb nanti.

"Saya sedar ramai lagi yang bimbang denga TPPA kerana mereka takut dengan momokan, tugas kami masih lagi belum selesai, ini baru permulaan, masih banyak lagi yang perlu dibuat," katanya.

Jelasnya, antara tohmahan paling melampau diterima berhubung perjanjian berkenaan ialah Malaysia mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan ekonomi negara akan dikuasai syarikat besar.

Penubuhan jawatankuasa caucus berkaitan TPPA juga adalah langkah bijak kerana ia membolehkan penerangan dibuat dalam suasana penuh berhemah dan tertib.




Mustapa berkata beliau akan bersama Ahmad Hamzah yang juga Pengerusi Anggota Parlimen Jawatankuasa Caucus TPPA dan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang juga anggota caucus untuk merangka tindakan seterusnya, termasuk membincangkan cadangan supaya diadakan satu proses pemantauan dilakukan bagi memastikan negara benar-benar mendapat faedah daripada perjanjian itu.
Pindaan akta-akta bagi kementerian yang terlibat dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Mac tahun depan.

Rabu, Januari 27, 2016

BILA MINDA SUDAH TERTUTUP

Semalam berita paling hangat ialah sidang akhbar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa PM, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang jenayah dalam isu derma RM2.6 billion dan isu  pinjaman SRC International anak syarikat 1MDB dengan KWAP.

Maka kes yang menjadi isu paling hangat pada tahun lepas ditutup. Beliau berpuas hati dengan hasil siasatan SPRM yang menunjukkan bahawa derma RM2.6 billion itu bukannya ada unsur suapan dari keluarga diraja Arab Saudi.

Selama ini PM berdiam diri kerana ia masih dalam siasatan tetapi bila PM disahkan bersih oleh Peguam Negara maka ramai yang tidak puas hati. bekas menteri, Zaid Ibrahim menggesa SPRM menutup kedai keranabeliau  tidak boleh menerima penjelasan Peguam Negara.

Ini yang susahnya bila minda sudah tertutup. Walaupun tidak ada bukti untuk mendakwa PM ke mahkamah, tetapi mereka menuduh Peguam Negara berat sebelah. Bukannya senang mendakwa kes rasuah di mahkamah. Lihat sudah banyak SPRM kalahdi mahkamah  seperti kes Kasitah Gadam, Ramli Yusof kerana tidak cukup bukti. Justru itu beradasrkan keterangan saksi maka Peguam Negara menutup kes ini. Takkan Zaid Ibrahim sebagai seorang peguam yang terkenal tidak faham prosedur ini.

Yang lebih mengejutkan apabila pada tahun 2013 Najib sudah pulangkan derma itu sebanyak RM2,03 billion kepada penderma kerana tidak ada keperluan lagi untuk menggunakan wang derma tersebut. Ini menunjukkan PM berhati mulia terima derma dari Arab Saudi tetapi pulangkannya apabila tidak memerlukan lagi derma itu.

Peguam Negara menjelaskan bukan RM2.6 billion yang diterima Najib tetapi RM2.08 billion tetapi Najib sudah pulangkan sebanyak RM2.03 billion. Ini bermakna PM menggunakan sebanyak RM50 juta wang derma insan budiman tersebut.

Semua parti komponen BN menerima derma tersebut dan semua ketua bahagian menerimanya tetapi tidak disahkan oleh mereka seperti kata Zaharin Mohd Yasin, seorang aktivis Umno kerana wang itu disapu oleh ketua bahagian dan tidak sampai ke bahagian. Hanya Zaharin seorang yang mengaku menerima wang tersebut sebagai Setiausaha Kerja BN Bandar Tun Razak yang pernah menunjukkan cek Ambank ditandatangani Najib kepada saya.

TPM, Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat Malaysia tidak mengungkit lagi isu tersebut kerana sepanjang tahun lepas isu itu banyak menghabiskan masa. Tetapi pembangkang tidak puas hati. mereka berkata jika Gani Patail masih Peguam Negara, mungkin kenyataan Peguam Negara berlainan.

Biarlah mereka nak kata apa, yang penting Najib kena kerja keras untuk rakyat Malaysia untuk pastikan BN menang dalam PRU akan datang. Minda mereka sudah tertutup. Mereka tidak akan bersikap terbuka kerana bila keputusan mahkmah menyebelahi mereka, baru mereka kata mahkamah adil tetapi apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka, mereka kata hakim sudah dibeli. Oleh itu pedulikanlah pandangan mereka.




Selasa, Januari 26, 2016

BN KEDAH KALAH PADA TAHUN 2008 KERANA PENYOKONG MAHATHIR UNDI PAS



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed semalam mendakwa kumpulan yang merancang untuk menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah adalah kumpulan sama yang menyebabkan Umno kalah di Kedah pada pilihan raya umum 2008.

Sambil menyifatkan kumpulan itu tidak mempunyai reputasi baik, beliau berkata langkah mereka menuntut penyingkiran Mukhriz merupakan suatu tindakan yang "amat bersifat politik".

"Mereka mengambil langkah itu tanpa mendapatkan pandangan rakyat (golongan akar umbi) dan merekalah (rakyat) yang akan terpaksa menangung akibatnya (sekiranya berlaku sebarang perubahan terhadap kepimpinan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Global Doctors Clinic, satu rangkaian perkhidmatan perubatan antarabangsa di Langkawi.

Dr Mahathir berkata ketika menjadi perdana menteri, beliau ada melakukan perubahan terhadap kepimpinan Umno Kedah, namun parti itu dapat terus mentadbir Kedah.

Rabu lepas, Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai satu sekumpulan terdiri daripada 15 ketua bahagian Umno, Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Parlimen dari Kedah untuk menyuarakan kehilangan keyakinan mereka terhadap Mukhriz dan menuntut penyingkirannya sebagai Menteri Besar.

Ulasan saya, BN Kedah kalah pada tahun 2008 bukan kerana kumpulan yang sama mahu menjatuhkan Mukhriz minggu lepas. Pada tahun 2008, Umno Kedah diketuai Mahadzir Khalid manakala Ahmad Bashah bukan pemimpin utama Umno Kedah ketika itu.




Ketika itu BN Kedah kalah kerana Dr Mahathir keluar dari Umno menentang kepimpinan Pak Lah. Kebetulan pula Mahadzir Khalid yang juga bekas setiausaha politik Pak Lah dilihat sebagai orang Pak Lah. Oleh itu para penyokong Dr Mahathir yang mengundi PAS pada tahun 2008. Oleh itu siapa pengkhianat Umno, Dr Mahathir atau Mahadzir Khalid?

Pada tahun 2008, PAS menang 17 kerusi manakala BN menang 14 kerusi, PKR 4, DAP 1 dan Bebas 1. Ini bermakna Pakatan Rakyat 23 BN 17, kurang enam kerusi.

Selepas PRU 2008, Ahmad bashah dilantik timbalan pengerusi perhubungan Umno Kedah membantu pengerusinya Shafie Apdal. Selepas itu barulah Ahmad bashah dilantik pengerusi Umno kedah dan menjelang PRU 2013 Najib mengumumkan Mukhriz sebagai MB barulah BN Kedah menang. Ini bermakna penyokong Dr Mahathir yang undi PAS pada tahun 2008 kembali mengundi BN pada tahun 2013.

Ini bermakna bukannya PAS kuat pada tahun 2008 tetapi ahli Umno yang mengundi PAS pada tahun tersebut. Jika PAS kuat sudah tentu BN tak menang semula pada tahun 2013.

Seperti kata Ahmad bashah jika beliau gilakan jawatan MB sudah tentu beliau sabotaj BN Kedah pada PRU 2013 tetapi sebaliknya beliau bekerja keras menangkan BN walaupun Najib sudah mengumumkann Mukhriz bakal MB Kedah yang baru.

Sebab itu jika BN Kedah kalah pada PRU 2018, maka penyokong Dr Mahathir yang kembai mengundi PAS dan bukannya kerana PAS kuat. 

Isnin, Januari 25, 2016

DATO MOHD NOOR DAN DATO SHAMSUDDIN AWANG SUDAH TIADA

Semalam penduduk Kemaman menerima berita dua kematian. Paginya, seorang bekas AJK Umno Bahagian Kemaman, Dato Mohd Noor Yusof atau Mat Nor Taja meninggal dunia di Hospital Selayang. Jenazahnya dibawa ke Chukai untuk dikebumikan.

Manakala sebelah malam pula bekas Pengerusi 4B Kemaman, Dato Shamsudin Awang meninggal dunia. Mat Nor Taja yang berasal dari Kg Tok Dir, Bukit Payong menetap di Kemaman dari tahun 60an. Pada mulanya beliau bekerja sebagai attendan hospital Kemaman. Selepas itu beliau  menjadi kontraktor dan beliau amat rapat dengan MB Terengganu dan ADUN Chukai, Wan Mokhtar Wan Ahmad.

Dengan naungan politik yang kuat, Mat Nor Taja menjadi orang Kemaman yang paling kaya dan akhirnya menjadi pemaju perumahan yang terkemuka dengan syarikat SMNY. Anaknya Zaki pernah menjadi Bendahari Pemuda ketika Dr Ramli Taib menjadi ketua pemuda Umno Bahagian Kemaman dari tahun 1998-2001 tetapi selepas BN kalah di Terengganu, Zaki bersara terus dari politik.

Yang lucu Wan Mokhtar selaku MB pernah mengumumkan dalam akhbar bahawa kerajaan telah menemui galian baru di Rantau Abang. Kawan saya bekas AJK Umno Bahagian Kemaman pergi ke pejabat PTG di Kuala Terengganu untuk membuat permohonan kawasan galian itu tetapi rupa rupanya PTG sudah luluskan kawasan itu kepada Mat Nor Taja. Betapa rapatnya Wan Mokhtar dengan Mat Nor Taja.

Setiap kali pilihanraya bagi DUN Chukai, arwah adalah financiernya. Bukan sahaja untuk DUN Chukai tetapi untuk seluruh DUN di Terengganu. Pernah seorang rakan beritahu arwah panggilnya  pegang wang tunai RM1 juta di rumahnya pada pilihanraya  umum 1995 kerana arwah tidak percaya kepada anaknya.

 Masa itu ahli Semangat 46 melanggar kereta anaknya Zaki di Geliga. Jadi arwah pergi ke Geliga untuk selesaikan kes kemalangan itu dan kawan tadi terpaksa menunggu sampai malam di rumah arwah pegang duit itu dalam bag bertroli sehingga arwah balik.tetapi selepas itu arwah masukkan semula wang itu ke dalam peti besinya kerana dah lewat malam nak hantar duit itu ke Kuala Terengganu.

Saya tak biasa berurusan dengan arwah kerana arwah pun tak kenali saya. Tetapi beliau king maker dalam politik Kemaman. Orang yang nak jadi calon mesti dapat restu beliau. Wan Mokhtar amat mempercayainya. Pernah Wan Mokhtar mahu memberi pingat Dato kepada Ahmad Said selaku Exco Kerajaan Negeri tetapi arwah berpendapat lebih baik pingat itu diberi kepada timbalan ketua bahagian, Dato Abu Bakar Ali kerana Ahmad Said ketua pemuda. Beliau dikatakan tidak ngam dengan Ahmad Said.

Saya lebih rapat dengan arwah Shamsudin Awang yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Kemaman. Dengan bantuan Setiausaha Belia 4B Kemaman, Yusof Jaafar , Shamsudin Awang berjaya mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah dalam perebutan jawatan Pengerusi Belia 4B Kemaman pada tahun 1990an.

Selepas menjadi Pengerusi Belia 4B Kemaman, arwah berhasrat nak jadi ADUN Ayer Putih menggantikan Dato Harun Hassan. Pada tahun 1999, beliau kecewa tak dapat jadi calon BN apabila Wan Mokhtar memilih Dr Ramli Taib dari Kijal sebagai calon Ayer Puteh.Hasrat pengundi Ayer Puteh mahu anak tempatan sebagai calon berkecai.

 Selepas itu arwah meletakkan jawatan sebagai TCS dan bergiat dalam perniagaan sehingga menerima gelaran Dato dari Sultan Pahang.Sudah lama saya tidak temui arwah selepas beliau letak jawatan TCS kerana beliau sibuk ke Kuala Lumpur dengan urusan perniagaannya. Oleh itu saya terkejut menerima berita kematiannya kerana beliau masih muda 56 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka berdua. Alfatihah.

Ahad, Januari 24, 2016

HALEEDA TELITI TAWARAN BERLAKON FILEM

Haleeda yang menyerlah semula selepas program pertandingan Astro Gegar Vaganza 2014 sedang meneliti tawaran untuk berlakon filem pada tahun ini.

Katanya, tawaran filem untuk tahun 2016 itu ada, namun masih dalam proses perbincangan

"Saya mungkin menerima tawaran tersebut," katanya dalam wawancara eksklusif  beliau dengan blog catatanzabidi.

Beliau yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi telah berlakon lebih dari 20 buah drama televisyen. Tetapi sejak akhir akhir ini beliau menghilangkan diri terus dari bidang lakonan.

Katanya, beliau hanya akan menerima tawaran berlakon setelah beliau meneliti beberapa perkara.

"Bukan hanya bergantung semata-mata pada naskhah yang bagus tetapi cara pengurusan kerja juga saya utamakan. Keutamaan,  saya melihat pada cara pengurusan syarikat produksi tersebut," katanya lagi.

Ditanya apa perbezaan di antara sebelum dan selepas menyertai Gegar Vaganza, Haleeda mendakwa semasa menyertai Gegar Vaganza, baru penganjur dan peminat sedar bahawa beliau  masih ada dalam industri muzik.

"Mereka ingatkan  saya sudah tidak mahu menyanyi lagi. Dengan adanya Gegar Vaganza, telah wujud peminat peminat baru terutama di kalangan anak anak muda," ujarnya.

Tambahnya lagi, sebelum ini ada di antara mereka yang tidak tahu bahawa saya adalah penyanyi lagu Setia Kasih mungkin kerana penampilam beliau yang berbeza  kini.

Ditanya mengenai tidak puas hati terhadap Konsert Gegar Vaganza di Istana Budaya baru baru ini, Haleeda berkata secara jujur beliau faham tentang ketidakpuasan yang diperkatakan itu.

"Saya percaya pihak produksi juga mengambil berat akan teguran-teguran demi kebaikan," katanya.

Pada konsert tiga malam itu, Haleeda menyanyi tiga buah lag, satu lagu satu malam,
 Pupus di malam pertama, Setia Kasih pada malam kedua dan Sedang Ingin Bercinta  berduet dengan Haiza di malam ketiga.

Menyentuh mengenai kisah peribadi, Haleeda berkata beliau tidak serik untuk mendirikan rumah tangga selepas mengalami kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali.

"Insya Allah kalau ada jodoh," jawabnya ringkas.


Sabtu, Januari 23, 2016

50 ORANG SAMBUT MUKHRIZ DI SUNGAI PETANI

Krisis kepimpinan MB Kedah sudah masuk hari keempat hari ini. Mukhriz Mahathir yang mendakwa mendapat sokongan dua juta rakyat Kedah terkejut kerana disambut 50 orang penyokongnya di Sungai Petani semalam. Mukhriz yang dijadualkan berucap di majlis itu tidak jadi berucap dan terus balik ke Alor Star.

Pada malam pertama kononnya 1,000 orang hadir di Bangunan Tunku, Alor Star tetapi yang datang belia-belia yang dikutip dari pusat belia oleh Exco Belia dan Sukan. Ahli Umno sendiri tidak datang. Apatah lagi dari 14 bahagian yang tidak menyokong Mukhriz.

Jadi di mana sokongan dua juta rakyat Kedah kepada Mukhriz seperti didakwanya. Jam 6 petang semalam beliau tiba di lapangan terbang Subang disambut oleh ahli-ahli Ansara (Persatuan Lepasan MRSM). Malah ada poster yang disebar melalui whatsapp meminta rakyat Kedah yang berada di Kuala Lumpur berkumpul di PWTC pada jam 4 petang semalam tetapi tidak ramai yang datang.

Yang datang 100 orang pemimpin yang menemui PM yang dipanggil untuk bermesyuarat dengan pemimpin pemimpin Umno Kedah. Sepatutnya majlis seperti ini PM tak perlu datang. Hantar TPM sahaja. Buat apa PM jumpa 100 orang pemimpin Umno. Panggil semua ADUN BN untuk lahirkan sokongan sama ada mereka mahu Mukhriz kekal atau tidak.

Pertukaran MB sudah biasa di Kedah. Takkan kita tidak ingat Dr Mahathir dahulu menukar Othman Arof kepada Sanusi Junid dahulu, Majoriti ADUN menyokong Othman Arof  tetapi Dr Mahathir memanggil setiap ADUN, akhirnya mereka menerima Sanusi Junid sebagai MB baru.

Jadi jika Mukhriz terpaksa berundur, ini bukannya perkara baru di Kedah. Ia adalah perkara biasa. Tak payahlah Mukhriz buat road show di seluruh Kedah kalau yang datang hanya 50 orang. Buat malu sahaja. Majoriti pemimpin Umno Kedah sudah tidak boleh menerima Mukhriz lagi. Maka sebaik-baiknya beliau berundur secara terhormat sebelum menerima malu diundi tidak percaya dalam sidang DUN nanti.

Bukan sahaja pemimpin Umno Kedah yang tidak menerima Mukhriz malah Sultan Kedah murka kerana Mukhriz tidak pernah menyambut dan menghantar Sultan Kedah di lapangan terbang Alor




Star apabila Yang DiPertuan Agong berangkat balik ke Kedah sedangkan ini adalah tugas wajib seorang MB.

Krisis yang berlaku di Kedah sama seperti di Terengganu dahulu apabila Yang DiPertuan Agung Sultan Mizan murka kepada Idris Jusoh pada tahun 2007.

Jumaat, Januari 22, 2016

JIKA MUKHRIZ TIDAK LETAK JAWATAN, MUKHRIZ AKAN HADAPI UNDI TIDAK PERCAYA

Dua hari lepas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Ahmad Bashah Hanipah mengadakan sidang akhbar mahu PM menukar segera MB Kedah, Mukhriz Mahathir kerana 14 ketua Umno Bahagian tidak lagi yakin dengan kepimpinan Mukhriz yang gagal menyatukan para pemimpin Kedah selepas pemilihan 2013. Majoriti ADUN Kedah turut bersama Bashah dalam sidang akhbar tersebut.

Mukhriz yang ketika itu berada dalam satu majlis di Kg Berjaya, Alor Star terus bergegas pulang ke pejabatnya mengadakan mesyuarat tergempar. Pada sebelah malam 1,000 orang menyambut beliau di Bangunan Tunku Alor Star melahirkan sokongan kepada beliau.

Mukhriz berkata beliau tidak perlu tunduk kepada 14 ketua bahagian kerana 2 juta rakyat Kedah menyokongnya sebagai MB. Malah beliau lebih percaya kepada laporan media sosial bahawa 95 peratus menyokongnya walaupun yang menyokongnya bukan pengundi Kedah.

Setakat ini Mukhriz masih menjalankan tugas macam biasa. Pagi semalam,beliau menghadiri majlis pengurniaan pingat kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah. Sebelah petang pula menghadiri majlis Umno Bahagian Jerlun yang diketuainya.

Sekarang ada dua pilihan buat Mukhriz sama ada beliau meletakkan jawatan kerana majoriti ADUN tidak menyokongnya lagi atau menunggu sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk menyingkirkannya. Jika beliau berdegil, maka ADUN BN akan mengundi tidak percaya kepadanya .Seperti kata ahli majlis  tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek, Mukhriz perlu sensitif kepada pandangan ketua bahagian kerana mereka mewakili majoriti rakyat Kedah.

Soal Najib membalas dendam kepada Dr Mahathir tidak timbul kerana ini masalah 14 ketua bahagian yang tidak mahu menerima kepimpinan Mukhriz lagi. Saya masih ingat tiga bulan lepas dalam whatsapp grup Ali Tinju, saya menulis sudah sampai masanya setpol PM yang berasal dari Kedah mengumpulkan ketua bahagian yang tidak menyokong Mukhriz. Beliau whatsapp saya secara personal kenapa dia yang kena buat. Saya pun jawab oleh kerana beliau setpol PM maka beliau yang kena buat. Saya kata takkanlah PM nak arah beliau buat. PM tak nak nampak beliau terlibat. Sekarang ini pun orang tuduh PM yang jadi dalang walaupun PM tidak tahu menahu.

PM kata beliau mahu berjiwa besar. Jika beliau tidak ambil tindakan memberhentikan Mukhriz, maka beliau tidak peka dengan kehendak 14 ketua bahagian. Oleh itu PM kena bertindak segera. Jika Mukhriz berdegil maka beliau kena tunggu undi tidak percaya yang akan dibuat dalam sidang DUN.

Sebaik baiknya Mukhriz ikut jejak langkah Ahmad Said pada tahun lepas. Ahmad Said tidak kumpul para penyokongnya. Sebaliknya beliau akur meletakkan jawatan secara baik walaupun beliau keluar dari Umno sekejap kerana marah dengan tindakan Najib.

Khamis, Januari 21, 2016

MENERUSKAN LEGASI



Oleh Shahbudin Embun
(dipetik dari Berita Harian)

Allahyarham Tun Abdul Razak bukan sahaja merupakan sumber inspirasi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya.

Begitu cepat masa berlalu dan kini sudah 40 tahun Allahyarham Tun Razak meninggalkan kita . Apa yang pasti, selama-lamanya jasa beliau akan terus dikenang oleh kita semua. Kini legasi tersebut diwarisi oleh Najib yang akan terus membawa cabaran negara pada masa depan.

Kita tidak boleh menghalang masyarakat daripada membuat perbandingan antara pemerintahan Allahyarham Tun Razak dan Najib . Saya pernah menulis bahawa disebabkan pelbagai faktor  seperti keadaan politik semasa, kemajuan teknologi, jumlah rakyat yang bertambah, faktor luaran, persekitaran dan masalah yang berbeza, maka bukanlah sesuatu yang adil  jika perbandingan itu dilakukan.

Sungguhpun begitu , fakta yang tidak boleh diubah ialah Allahyarham Tun Razak telah meletakkan beberapa asas kepada pemimpin seterusnya untuk terus memajukan Malaysia . Dalam hal ini, Najib telah menjelaskan bahawa Model Ekonomi Baru (NEM) akan memperluaskan prinsip berasaskan merit yang tedapat dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagaimana yang telah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Manakala Dasar 1Malaysia pula adalah berpandukan pada prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan semasa pemerintahan Allahyarham Tun Razak.Begitu juga dengan hubungan Malaysia dengan China. Tun Razak telah memulakannya pada tahun 1974 dan kini hubungan tersebut terus berkembang pesat apabila China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Jelaslah dalam beberapa tindakannya,  apa yang dilakukan oleh Najib merupakan kesinambungan kepada usaha yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Malaysia hari ini bukanlah seperti Malaysia 40 atau 50 tahun yang lalu. Begitu juga dengan cabaran hari, pastinya tidak sama. Apa yang penting ialah bagaimana Najib akan terus memimpin kita untuk bersama-sama mengharungi detik-detik yang paling mencabar agar kita semua dapat merasai kejayaan pada masa depan.



Apabila berbincang tentang keadaan ekonomi semasa, pastinya kita semua tahu bahawa keadaan ekonomi hari ini tidak menentu . Cabaran akibat penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan serta pasaran kewangan yang tidak menentu merupakan antara cabaran yang perlu ditangani.

Dalam hal ini, Najib tidak menjanjikan bulan dan bintang, bahkan bersikap realistik dalam menghadapi cabaran ini.

"Saya tidak mahu menggula-gulakan rakyat dengan tidak berpaksikan pada realiti yang sebenar. Baiklah kita secara terus terang dan jujur beritahu bahawa tahun ini adalah mencabar," katanya.

Itu sebabnya juga Pengubahsuaian Bajet 2016 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi telah mengambi kira senario ekonomi semasa untuk lebih praktikal dan realistik dalam keadaan  tahun 2016 yang lebih mencabar.

Najib juga telah menjelaskan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk rakyat dengan penuh komitmen agar ekonomi negara dapat merasai pertumbuhan yang positif. Kesemua ini dilakukan demi kesejahteraan rakyat sebagaimana yang telah menjadi aspirasi kepada Najib untuk melihat rakyat Malaysia terus dapat merasai kehidupan yang lebih selesa.

Sememangnya kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu menangani cabaran-cabaran ini dengan lebih responsif. Najib tahu akan pelbagai rintangan yang berada di depannya.Itu sebabnya juga Najib telah menjelaskan betapa pentingnya usaha-usaha dan tindakan yang lebih kreatif dan inovatif perlu dijalankan untuk mengoptimumkan kos tadbir dan memaksimumkan produktiviti.

Apa yang ingin dilaksanakan oleh Najib perlu mendapat sokongan yang sepenuhnya. Sebagai rakyat, kita juga perlu melakukan sesuatu dan apa kata kita semua bersama-sama meningkatkan kualiti dan produktiviti sepanjang tahun 2016 ini.

Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh Najib dan sebagai pewaris yang mewarisi legasi Allahyarham Tun Razak, Najib telah menjelaskan betapa pentingnya generasi hari ini meneruskan kecemerlangan para pemimpin terdahulu.

“Kita bawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih tinggi, itulah cara yang terbaik bagi kita mengenang pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu banyak berjasa dan berbudi kepada kita.

“Kita bangunkan apa yang telah mereka bina, kita bawa ke tahap yang lebih tinggi,” begitulah kata-kata Najib yang boleh menjadi iktibar kepada kita semua. .





Rabu, Januari 20, 2016

SENARAI CALON BN TERENGGANU SUDAH KELUAR?

Hujan tidak, ribut tidak tiba tiba semalam heboh dalam wasap grup di Terengganu senarai calon BN untuk PRU 2018 sudah keluar. Itu yang peliknya seolah-olah PRU sudah tiba sedangkan PRU ke 14 dijangka diadakan dua tahun lagi.

Bagi kerusi parlimen, BN Terengganu akan mengemukakan empat muka baru iaitu Aply bin Yusof di Kuala Nerus; Badrol Hisham bin Zaki di Kuala Terengganu; Zaidi Muda di Marang dan Din Adam di Dungun.

Manakala empat muka lama kekal iaitu Idris Jusoh di Besut; Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Setiu; Jailani Johari di Hulu Terengganu dan Ahmad Shabery Cheek di Kemaman.

Daripada lapan kerusi parlimen ini, tidak pasti BN dapat merampas berapa kerusi daripada PAS sekarang. PAS kini menang di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru di parlimen Kuala Terengganu di antara BN, PAS dan Amanah, peluang untuk BN menambah kerusi parlimen di Terengganu adalah cerah. Soalnya, sejauh mana kekuatan jentera PRU wakil rakyat Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah.

Bagi kerusi DUN pula, di Besut Ketua Bahagian, Nawi Mohamad digugurkan di DUN Hulu Besut diganti oleh Zahari Mat. Beliau yang juga EXco Kerajaan Negeri terpaksa digugurkan kerana beliau adalah orang bekas MB, Ahmad Said.

Manakala tiga wakil rakyat sekarang kekal di Kuala Besut (Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman); Kota Putera (Mohd Mahdi Musa) dan Jerteh (Mhmammad Pehimi Yusof).

Di parlimen Setiu,satu muka baru muncul bertanding di DUN Batu Rakit (Jailani Ngah) manakala tiga wakil rakyat kekal di Jabi ( Iskandar Jaafar), Permaisuri (Jidin Shafee)  dan Langkap (Sabri Mohd. Noor).

Di parlimen Kuala Nerus, MB Terengganu, Razif Abdul Rahman kekal di DUN Seberang Takir manakala dua muka baru iaitu Basir Ismail di DUN tepuh dan Omar Adam di Teluk Pasu. Manakala calon kitar semula  Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad yang kalah pada tahun 2008 akan bertanding semula di DUN Bukit Tunggal.

Sekarang di bahagian Kuala Nerus, hanya satu kerusi yang menang (Seberang Takir).Mampukah Razif selaku ketua bahagian merampas tiga kerusi DUN lagi?

Di parlimen Kuala Terengganu, BN akan menonjolkan tiga muka baru iaitu Zaki Mohd Noor di Wakaf Mempelam; Armi Irzan Mohd di DUN Bandar dan Nor Fadzil Mohamad Nor di DUN Batu Buruk manakala Wan Hisham Wan Salleh yang tewas pada tahun 2008 akan bertanding semula di DUN Ladang.

Di Marang, ketua bahagian A. Latiff Awang kekal di DUN Pengkalan Berangan manakala tiga muka baru bertanding di DUN Alor Limbat (Saiful Bahri Baharuddin); DUN Bukit Payong (Mohamad Nor Endut) dan DUN Rhu Rendang (Jasmira Othman).

Di Hulu Terengganu, dua wakil rakyat kekal iaitu Rozi Mamat di DUN Telemong dan Tengku Putera Tengku Awang di DUN Kuala Berang. Dua muka baru ialah Johari Abu Bakar di DUN Manir dan Rozita Ismail di DUN Ajil.

Di Dungun empat muka baru iaitu Azhar Jambol di DUN Bukit Besi; Mohd Asri Mohamad di DUN Rantau Abang; Mahusin Taib di DUN Paka dan Arlina binti Rosli di DUN Sura. Arlina merupakan calon tunggal wanita yang akan bertanding di negeri ini.

Di Kemaman, dua wakil rakyat kekal iaitu Rosli Othman di DUN Kemasik dan Wan Hakim Wan Mokhtar di DUN Air Putih. Di DUN Kijal, Roshali Taha menggantikan bekas MB, Ahmad Said dan Ketua Pemuda bahagian, Ahmad Fikry Ibrahim atau Bulat diamanahkan untuk merampas semula kerusi DUN Chukai dari tangan PAS.

Tidak dapat dipastikan siapa yang membuat senarai calon BN Terengganu ini. Apa motif beliau? Adakah beliau mahu 32 senarai ini terutamanya muka baru dikerat dari awal supaya calon sebenar akan muncul menjelang PRU akan datang?

Jika motifnya untuk memperkenalkan calon dari sekarang, sudah tentu ia merupakan langkah yang baik kerana dalam temph dua tahun ini pengundi dapat mengenali mereka dengan lebih dekat.



Selasa, Januari 19, 2016

TUN RAZAK SILAP BAWA MASUK MAHATHIR SEMULA KE DALAM UMNO



Dalam blognya, Dr Mahathir Mohamad menulis beliau sudah tentunya berasa amat sedih dengan kematian Tun Razak Hussein pada 40 tahun lalu kerana beliau terhutang segala-galanya kepada PM kedua itu.

"Saya dipecat daripada UMNO dan orang-orang yang dipecat sebelum saya tidak pernah kembali. Kerjaya politik mereka rosak," tulis bekas PM keempat itu dalam blognya semalam.

Katanya,Razak bukan sahaja membenarkan beliau kembali ke pangkuan Umno tetapi kemudiannya melantiknya sebagai seorang menteri penuh.

"Saya telah digambarkan sebagai anak emas Tun, yang menimbulkan kemarahan ramai orang kuat UMNO," tulisnya lagi.

" Bagi saya kerugiannya adalah peribadi. Tun Hussein yang menggantikan beliau tidak pernah rapat dengan saya dan saya fikir ini adalah akhir bagi kerjaya saya," katanya.

Beliau menambah tetapi tidak. Tidak, kerana Tun Razak telah bercakap sesuatu yang baik mengenai beliau kepada Tun Hussien.

Ulasan saya, Razak silap bawa masuk Dr Mahathir semula ke dalam Umno pada tahun 1971. Jika beliau tahu Dr Mahathir yang akan menghancurkan Umno di zaman Pak Lah dan Najib sehingga BN gagal mendapat majoriti dua pertiga sebanyak dua kali PRU berturut turut pada 2008 dan 2013, Razak tidak akan bawa masuk Dr Mahathir ke dalam Umno.

Ketika itu Umno Kedah tidak menerima keahlian Dr Mahathir sebaliknya sebuah cawangan di Rawang yang menerima keahliaan Dr Mahathir.

Ketika Tunku Abdul Rahman memecat Dr Mahathir dari Umno pada tahun 1969, semua orang marah kepada Tunku. Tetapi Tunku berpandangan jauh kerana beliau tahu Dr Mahathirlah yang akan merosakkan Umno suatu hari nanti.

Apa yang dibimbangkan oleh Tunku pada tahun 1969 menjadi kenyataan pada tahun 2007 apabila Dr Mahathir keluar dari Umno kerana Pak Lah enggan meneruskan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura.
Kritikan Dr Mahathir kepada Pak Lah menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU selepas Malaysia merdeka pada tahun 1957. 

Kini Dr Mahathir mengkritik Najib anak Razak yang menaikkan Dr Mahathir dalam politik.  Pada tahun 1971 beliau diterima semula menjadi ahli Umno. Oleh kerana Razak terhutang budi kepada Dr Mahathir yang menjatuhkan Tunku maka Razak melantik Dr Mahathir sebagai Senator dan Pengerusi FIMA.

Pada tahun 1972, beliau bertanding kerusi naib presiden Umno tetapi tewas. Beliau yang bertanding dua kerusi menang kerusi ahli majlis tertinggi Umno Selepas PRU 1974, Dr Mahathir yang baru dipilih sebagai ahli parlimen Kubang Pasu,dilantik Razak  sebagai menteri pelajaran satu jawatan kanan yang akhirnya menyebabkan beliau menang kerusi naib presiden Umno pada tahun 1975.

Golongan tua marah kepada Razak kerana pada hari perhimpunan agung Umno tersebut, Razak dalam ucapan perasmian perhimpunan agung Umno menyebut tiga nama yang patut dipilih sebagai naib presiden Umno iaitu Abdul Ghafar Baba, Dr Mahathir Mohamad  dan Tengku Razaleigh Hamzah. Perwakilan Umno yang patuh kepada ketua memilih calon yang direstui Razak.

Tambahan pula Dr Mahathir memegang jawatan menteri pelajaran yang kanan di mana majoriti perwakilan ketika itu adalah guru. Dr Mahathir patut berterima kasih kepada Razak yang memilihnya sebagai menteri pelajaran. Jika beliau menteri kebajikan, sudah tentu beliau kalah bertanding kerusi naib presiden Umno.

Sejak tahun lepas Dr Mahathir menyerang anak Razak, Najib  yang dianggapnya tidak layak jadi PM sedangkan pada tahun 2003 Pak Lah nak lantik Muhyiddin Yasin sebagai TPM tetapi sebanyak dua kali Dr Mahathir menyebut nama Najib sebagai timbalan kepada Pak Lah. Maka Pak Lah terpaksa melantik Najib sebagai TPM.

Adakah Dr Mahathir tidak mengenang budi Razak hinggakan sanggup menyerang anak Razak secara peribadi? Jika Razak masih hidup, Razak menyesal membawa Dr Mahathir masuk Umno pada tahun 1971 dahulu. Jika BN tewas dalam PRU akan datang, maka Dr Mahathirlah punca BN tewas.

Oleh itu bagi saya membawa masuk semula Dr Mahathir ke dalam Umno merupakan satu kesilapan Razak.

Isnin, Januari 18, 2016

UPP DAN TERAS PENINGKAN KEPALA ADENAN

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata masalah yang melanda dua parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon pilihan raya negeri ke-11.

Adenan, yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata ini turut merangkumi pembahagian kerusi dalam kalangan empat parti komponen berikutan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kepada 82.

"Masalah ini akan diselesaikan dengan apa jua cara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival program pembasmian kemiskinan 1 AZAM dan pelancaran Direktori Maklumat Bantuan 1 AZAM.

Krisis dalaman membabitkan kedua-dua parti itu membawa kepada penubuhan Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi SUPP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) bagi SPDP.



Kedua-dua parti itu mengisytiharkan sebagai mesra BN.

UPP diketuai bekas Timbalan Setiausaha Agung SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh turut dianggotai empat ADUN manakala Teras pula yang diterajui bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom mempunyai lima ADUN.

Ketua-dua parti menjangkakan kesemua ADUN mereka akan dicalonkan semula.

Bagaimanapun SPDP dan SUPP menegaskan bahawa mereka mempunyai hak terhadap kerusi terbabit memandangkan TERAS dan UPP belum menyertai BN negeri.

Adenan enggan mengulas sama ada Teras dan UPP akan dibenarkan untuk mencalonkan anggota mereka bertanding dalam pilihan raya itu dan sama ada mereka akan diperuntukkan kerusi baharu.

Beliau berkata bagi parti yang dipimpinnya, Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), ia akan mendapat sebahagian besar kerusi, jumlahnya 40, yang turut termasuk lima kerusi baharu.

Katanya satu lagi parti komponen berasaskan kaum Dayak iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedang menimbang senarai calonnya.

Ketika ini, parti yang diketuai Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing itu mempunyai lapan kerusi dan berharap akan mendapat dua atau tiga kerusi baharu.

Ahad, Januari 17, 2016

BERBALOI BAYAR RM899 TENGOK KONSERT MEGA GEGAR VAGANZA



Tiga malam berturut turut  sejak hari Jumaat lalu Istana Budaya, Kuala Lumpur digegarkan dengan konsert Mega Gegar Vaganza. Menonton persembahan mantap bintang ternama di malam pertama Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya yang berlangsung pada hari Jumaat di Istana Budaya memang terbaik.

Konsert ini dibawa ke Istana Budaya sebagai penghargaan Astro kepada penonton yang menjadikan program Gegar Vaganza sebagai rancangan Astro yang paling tertinggi ratingnya.

Seramai 13 orang penyanyi telah mempersembahkan 19 buah lagu iaitu Siti Nordiana (Kerana Terluka, Cinta Hanya Sandaran) Nizam Laksmana, Nasir Wahab (Memori Cinta Luka), Khatijah Ibrahim, Faradhiya, Haiza (Segalanya Pasti), Haleeda,   Ezad Lazim, (Alasanmu), Fazli Zainal (Harapan), Ayai Ilusi, Zul Handyblack, Achong dan  Rahmat Mega.

Tidak sia sia Astro membawa artis artis Gegar Vaganza siri 1 dan 2 ke Istana Budaya.

Penonton terhibur dengan pengacara mereka Nabil dan Jihan walaupun mereka agak meleret namun, sekurang-kurangnya penonton yang membeli tiket mahal-mahal tu rasa berbaloi dengan 19 buah lagu yang disampaikan. Pendek kata, semua lagu yang bergema di Istana Budaya malam ini adalah lagu  yang super-leleh.

Sebagai kejutan, Dato’ Seri Vida membawa 12 orang pemain pasukan bola sepak Kelantan yang kini dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors ke pentas Istana Budaya. Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah orang kuat KAFA, Tan Sri Anuar Musa.

Ketua juri Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS pula bertindak sebagai pemimpin orkestra konsert. Khabarnya untuk tiga malam, beliau dibayar RM450,000

Persembahan pembukaan oleh Nabil dan Jihan Muse sangat bertenaga dan mencuit hati. Persembahan Siti Nordiana tidak pernah 'gagal'. Pada malam pertama konsert (semalam) dia menyanyikan lagu Cinta Hanya Sandaran, Kerana Terluka dan Gurauan Berkasih (berduet dengan Rahmat Mega) dengan sangat baik.

Lapan segmen konsert membuatkan penonton tidak mahu berganjak dari kerusi kerana lagu-lagu yang disajikan.Persembahan Haiza ketika menyampaikan lagu nyanyian Aida Agil, Segalanya Pasti memukau penonton.

Nyanyian Ayai Illusi dan Amir Ukays menerusi lagu Zikir Berkasih, Joget Angan Tak Sudah dan Inang Bujang dan Dara menggamit kenangan.

Persembahan Zul Handy Black "awesome" dan Datuk Seri Vida dikatakan berat sebelah oleh Nabil dan Jihan kerana sentiasa meletakkan penyanyi Kau Yang Bernama Seri itu sebagai favourite.

Vokal Farahdhiya, Haleeda, Nassier Wahab dan Ezad Lazim membuai penonton. "Macam dalam kaset" kata Datuk Seri Vida.

Fazli Zainal dan Nassier Wahab berduet menyanyikan lagu Beribu Sesalan! Duet Datuk Khatijah Ibrahim dan Nassier Wahab menerusi lagu Doa Buat Kekasih, menusuk kalbu! Ternyata Datuk Kat masih berbisa!

Acong paling menyerlah ketika menyanyikan lagu Kepadamu Kekasih dan nyanyiannya Layu Dihujung Mekar.


Memang berbaloi menonton konsert ini walaupun ada yang membeli tiket yang paling mahal RM899.00. Kepada mereka yang belum menonton konsert ini, malam ini adalah malam terakhir. Ayuh kita ke Istana Budaya malam ini.

Sabtu, Januari 16, 2016

DAPAT RM8 JUTA SETAHUN DARI PAMOGA QU PUTEH TAPI TUNGGAKAN GAJI PEMAIN DIBAYAR BERPERINGKAT



Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata tajaan daripada pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, yang lebih dikenali sebagai Dr Vida itu tidak akan dimasukkan ke dalam akaun utama KAFA, tetapi akan disalurkan ke akaun kedua yang akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa terdiri daripada tujuh anggota.


Mereka adalah Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Jaafar; Dr Vida yang merupakan Penasihat Kehormat KAFA, selain dua penasihat lain, iaitu Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Abdul Fattah Mahmood serta tiga wakil daripada kelab penyokong Kelantan.

"Datuk Seri Vida mempunyai idea-idea bagus yang menjadi suntikan semangat untuk KAFA. Saya melihat syarat-syarat beliau dari sudut positif, di mana ia berjaya mencipta situasi baru dalam bola sepak tanah air.

"Beliau bukan menjadi penaja sahaja, beliau turut mahu membangunkan infrastruktur dan peringkat akar umbi (bola sepak Kelantan)," katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak penajaan di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, beliau menerima peruntukan berjumlah RM16 juta daripada Dr Vida, selaku penaja utama pasukan Kelantan menghadapi Liga Malaysia 2016.

Beliau, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan yang diterima KAFA musim ini, kerana pihaknya masih dalam proses rundingan.

Annuar Musa berjanji akan melunaskan gaji pemain yang masih tertunggak secara berperingkat.

Beliau berkata KAFA tidak dapat membayar gaji pemain secara penuh kerana ia akan mengakibatkan aliran kewangan persatuan itu, selepas dibelenggu krisis kewangan sepanjang 2015.

"Musim 2015, kita defisit dengan jumlah yang agak besar...dari segi KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), pemain, cukai dan jurulatih. Selepas mendapat penajaan yang agak selesa, kita beri keutamaan kepada bayaran gaji.

"Kita akan hantar satu surat jadual pembayaran kepada pemain dan mereka yang ada tunggakan, kita akan bayar secara berperingkat supaya aliran tunai kita tidak terjejas...tumpuan utama akan diberi kepada penyediaan pasukan," katanya.


Dalam pada itu, Annuar meminta pemain menampilkan komitmen tinggi agar pasukan Kelantan yang bakal dikenali juga sebagai 'Pamoga Qu Puteh The Red Warriors' musim ini, dapat memenangi setiap perlawanan dalam Liga Malaysia.

"Musim lepas merupakan peringatan kepada KAFA untuk mengharungi cabaran Liga Malaysia yang melihatkan perubahan landskap sehingga kita menduduki tangga terbawah. Kita mesti melakukan perubahan untuk kekal kompetetif," katanya.

Jumaat, Januari 15, 2016

KALAU RAZAK MASIH PM, DAH LAMA RAZAK PECAT RAFIDAH



Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pasti akan kecewa dengan situasi semasa negara, kata bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz.


"Saya selalu kata, Tun Razak benar-benar akan kecewa jika beliau tahu apa yang berlaku kepada negara pada masa ini," kata Rafidah pada Seminar Khas Memperingati Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua 1970-1976), di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, budaya politik yang membolehkan negara menjadi kuat dan dihormati semakin terhakis hari ini dan tumpuan juga tidak lagi diberikan kepada pembangunan negara.


Secara khusus, beliau mempersoalkan dasar pendidikan negara yang semakin tidak berkualiti hari ini.


Menurut Rafidah, polisi pendidikan hari ini menjadi sempit kerana penekanan kepada bahasa Melayu sehingga mengabaikan bahasa Inggeris.


"Beliau (Razak) tidak pernah terfikir bahawa pendidikan harus ditafsirkan sebagai hanya Melayu.


"Pergi jahanam dengan bahasa lain di dunia. Tidak, beliau tidak pernah bercakap seperti itu," katanya.


Malah dalam Umno mesyuarat Majlis Tertinggi ketika itu, Rafidah berkata, semua mereka bertutur dalam bahasa Inggeris.


Rafidah yang dilantik dalam Kabinet Razak sebagai senator ketika berusia 30 tahun dan adalah juga ahli Majlis Tertinggi semasa pada Razak memimpin Umno.


Beliau kemudian menjadi menteri penuh semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.


Ulasan saya, jika Razak masih menjadi PM, beliau akan memecat Rafidah yang korup.


Semasa beliau jadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri mulai 1987 beliau telah menyalahgunakan kuasa sehingga menantunya turut dapat saham peruntukan khas Bumiputera yang dikeluarkan oleh MITI.


Walaupun beliau tidak masuk dalam mesyuarat tersebut, tetapi pegawai meluluskan permohonan itu kerana dia adalah menantu Rafidah.


Jika ia berlaku di zaman Razak jadi PM sudah lama Razak memecat Rafidah dari kabinet.


Malah ketika beliau jadi menteri berapa ramaikah orang Melayu yang beliau telah lahirkan sebagai usahawan yang berjaya?


Sebagai ketua wanita Umno pun beliau gagal menolong ketua wanita bahagian apatah lagi mahu menolong orang Melayu menjadi usahawan yang berjaya.Sebab itu beliau kalah mempertahankan jawatan ketua wanita di tangan Dr Zaharah Sulaiman pada tahun 1996.




Sebab itu apabila sudah tidak jadi menteri, Rafidah tak perlu cakap banyak kerana sewaktu ada kuasa dahulu pun kamu tidak menolong orang.

Khamis, Januari 14, 2016

KAMI RELA MATI KERANA TUN RAZAK, KATA ARSHAD AYUB




Untuk mendapatkan gambaran tentang sikap tekun bekerja yang diwarisi Datuk Seri Najib daripada ayahandanya, bersempena ulang tahun ke-40 kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah, Bernama mendapatkan pandangan bekas pegawai kanan kerajaan, Tan Sri Arshad Ayub.

Arshad, 87, yang berkhidmat selama 10 tahun di bawah Tun Razak sebagai pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM dan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara atau UiTM), dan kemudian sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara, memulakan temu bual dengan berkata: "Bagi saya dan pegawai kanan kerajaan lain ketika itu, Tun Razak boleh dikatakan bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun".

Sejajar dengan kedudukan Malaysia yang melalui tahun-tahun awal penubuhannya, perkara yang menjadi keutaman Tun Razak ketika itu ialah pembangunan luar bandar dan usaha membasmi kemiskinan, termasuklah penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang beliau ilhamkan, dan sejak itu menjadi agensi paling berjaya di Dunia Ketiga dan amat disanjung tinggi kerana kemampuannya memecahkan tembok kemiskinan di luar bandar.

Felda kemudiannya muncul sebagai pemilik ladang terbesar di dunia, yang terlibat dengan penanaman kelapa sawit dan pengeluaran minyak sawit sebagai tonggak utama menjana pendapatan kukuh bagi berpuluh-puluh ribu penduduk luar bandar. Tanpa Felda, mereka pastinya terpaksa menyara kehidupan dengan pendapatan yang begitu menyedihkan.

Berdasarkan latar belakang demikian, Felda mendapat tempat yang amat dekat di hati Najib, manakala peneroka Felda di bandar dan pusat pertumbuhan baharu di seluruh negara pula sentiasa mendapat perhatian khusus serta keutamaan beliau.

Begitu banyak insentif dan pemberian diberi kepada Felda sejak beliau menjadi pedana menteri dan banyak lagi akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang sebaik sahaja harga minyak sawit yang rendah sekarang, kembali meningkat.

Arshad, yang memiliki ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kelulusan daripada Kolej Pertanian di Serdang ketika itu, berkata: "Beritahu saya kolam atau tasik mana di negara ini yang Tun Razak tidak pernah lepaskan benih ikan ke dalamnya?

"Pokok sawit mana yang tidak pernah beliau lihat, jalan raya mana yang tidak paernah beliau lawati atau universiti mana yang bukan beliau bina (pada zamannya)?".

Satu lagi kejayaan besar Tun Razak ialah membandarkan kawasan luar bandar dan Arshad menyebut tentang perbandaran yang dibina daripada kawasan hutan seperti Bandar Penawar dan Tenggara di Johor, Jengka di Pahang dan Bandar Ketengah di Terengganu.

Tun Razak juga amat yakin dengan manfaat memberi Bumiputera asas yang kukuh dalam bidang pendidikan sebagai satu cara yang pasti untuk mengatasi kemiskinan serta membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi. Untuk tujuan ini, beliau mewujudkan ITM yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang mempunyai kampus di seluruh negara.

"Sepanjang 10 tahun saya menerajui ITM dan beliau menjadi PM, tidak pernah sekali pun beliau mengeluarkan kata-kata negatif tentang ITM atau cara saya mentadbirnya," kata Arshad, yang diberi kredit sebagai arkitek bagi kejayaan institusi itu, yang kini dikenali sebagai UiTM.

Arshad berkata Tun Razak memberi tumpuan utama terhadap pendidikan dalam bidang profesional, yang menyaksikan fokus diberi terhadap beberapa bidang seperti perakaunan, insurans dan pemasaran, yang tidak ditawarkan universiti lain, dan langkah ini menyebabkan lepasan ITM menjadi rebutan ramai di pasaran pekerjaan.

Bagaimanapun, kebijaksanaan Tun Razak dalam memilih orang yang tepat untuk menjalankan sesuatu tugas istimewa merupakan perkara yang paling mengagumkan Arshad.

"Beliau memilih pemimpin yang tepat untuk mentadbir sesuatu agensi kerana dengan cara ini, mereka akan bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan programnya, bukan untuk Tun Razak, tetapi untuk negara dan rakyat," kata Arshad.

Antara nama yang beliau sebut ialah Raja Tan Sri Alias Muhammad Alias Raja Muhammad Ali yang menerajui Felda selama 35 tahun, dan tokoh tersohor lain seperti Raja Tun Mohar Badiozaman, Tan Sri Ishak Tadin, Tan Sri Taib Andak dan Tan Sri Aziz Yassin.

Kebolehan bukan Melayu seperti Tan Sri Thong Yaw Hong, Tan Sri Chong Hon Nyan, Tan Sri Michael Chen dan Tan Sri Rama Iyer juga menyerlah dalam pasukan Tun Razak.

"Penjawat awam yang menerima amanah daripada beliau memiliki sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam memastikan rancangan beliau mencapai kejayaan. Motto kami ketika itu ialah 'ayuh kita bekerja untuk beliau dan ayuh kita jayakan program beliau'. Mungkin, kami juga rela mati kerananya," kata beliau.

Arshad berharap semangat seperti itu akan dihidupkan kembali di bawah pentadbiran anak beliau, Najib.

"Saya mempunyai kenangan manis mengenai Tun Razak. Seperti kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Ini amat tepat bagi diri Tun Razak.

"Beliau meninggalkan kesan yang amat besar terhadap kita semua dan negara, hasil daripada usaha beliau hingga ke akhir hayat," kata Arshad.

Sejak mula menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, beban tugas yang terpaksa dipikul Datuk Seri Najib Tun Razak amat berat dan menyeksakan berikutan banyak perkara yang perlu ditanganinya bagi mengatasi masalah negara, terutama dalam mengharungi kelembapan ekonomi dunia.

Para pemerhati berpendapat sikap Najib yang amat tekun dalam melaksanakan tanggungjawabnya, adalah diwarisi daripada ayahandanya iaitu perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia genap 40 tahun lepas pada usia 53 tahun.





Pada Sabtu baru-baru ini, Najib menjalani pembedahan kecil di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membuang ketumbuhan benigna pada tangan beliau.

Dalam kenyataannya, HKL berkata Najib menjalani pembedahan itu sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang sejurus selesai pembedahan.

Bagi kebanyakan pekerja di negara ini, keadaan demikian berkemungkinan besar mendorong mereka memohon cuti sakit, lebih popular disebut sebagai 'MC', tetapi perkara itu tidak sedikit pun terlintas di hati Najib.

Rakyat Malaysia dan pihak yang berminat untuk mengetahui tentang kesihatannya mendapat jawapan berikut daripada



Najib melalui akaun Twitter beliau: "Saya sedang sembuh, terima kasih atas ingatan baik kalian".

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong yang mendoakan beliau segera sembuh melalui akaun Twitternya.

Ramai rakyat Singapura turut mempamerkan sikap prihatin mereka dan mendoakan agar Najib lekas sembuh melalui tulisan dalam Facebook mereka sambil menyifatkan beliau sebagai "orang Malaysia paling mesra dengan Singapura".

Lee membuka cerita mengenai Najib yang menjalani pembedahan itu kepada 934,996 individu yang "menyukai" (Like) catatan Facebooknya apabila beliau menyatakan kegembiraannya tentang pembedahan itu yang berjalan lancar dan menambah kata: "Berhajat untuk segera berjumpa beliau".

Dalam kalangan pemimpin dunia sekarang, Najib dan Lee mempunyai hubungan yang amat unik dan hasilnya, hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat dengan rakyat Malaysia dan Singapura berada pada tahap paling erat dalam sejarah.

Keunikan yang dimaksudkan ialah bapa masing-masing, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew, pernah menjadi perdana menteri pada waktu yang sama dan ini sesuatu yang tidak terdapat pada mana-mana pemimpin dari dua negara yang ada ketika ini.

Ketika mengucapkan segera sembuh kepada Najib, rakyat Singapura juga menasihati beliau supaya tidak terlalu bimbang dan sebaliknya memberi tumpuan terhadap usaha meletakkan Malaysia di landasan betul, di samping menyuarakan harapan mereka agar hubungan antara kedua-dua negara terus diperkukuh dan digerakkan ke hadapan.

Seorang warga Singapura, Joseph Tan, memberi penghormatan yang begitu istimewa kepada Najib apabila beliau menulis: "Pada penilaian saya, jels sekali, beliau adalah PM terbaik bagi Malaysia untuk membina hubungan menang-menang yang memanfaatkan dengan jiran terdekatnya, Singapura.

"Semoga beliau akan berjaya mengurus dan mengatasi cabaran getir terhadap kedudukannya pada tahun-tahun akan datang".

Sesungguhnya, apa yang disuarakan oleh jiran kita adalah sesuatu yang ikhlas kerana mereka dapat melihat betapa sikap tidak mesra bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Singapura menyebabkan hubungan kedua-dua negara berada dalam keadaan 'kadang kala baik, kadang kala tidak', dan Dr Mahathir tidak pernah memberi kredit yang sewajarnya kepada republik itu, walaupun kebanyakan pemimpin dunia lain berbuat demikian.

Sikap Najib yang tekun bekerja sekali lagi dipamerkan apabila pada Isnin, iaitu hanya beberapa hari selepas menjalani pembedahan tangannya, beliau berucap pada majlis perhimpunan pagi bulanan yang dihadiri para menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri di halaman yang dipanahi sinaran terik mentari.

Mesej yang disampaikan cukup jelas - beliau mahu para menteri dan penjawat awam bekerja dengan lebih tekun dan bersikap lebih bertanggungjawab ketika negara mendepani keadaan yang amat mencabar dari segi ekonomi serta dalam menghadapi ancaman daripada kumpulan militan Daesh.

Najib juga adalah perdana menteri yang paling kerap melawat Sabah dan Sarawak, bukan sahaja ke ibu negerinya, malah rumah panjang di pedalaman.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan Najib sebagai perdana menteri yang paling mengambil berat terhadap negeri itu, selain Sabah. - BERNAMA

Rabu, Januari 13, 2016

DAP CAKAP TAK SERUPA BIKIN



Kumpulan pendesak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menyambut sinis penegasan terbaru DAP bahawa mereka bukan parti anti-Melayu atau anti-Islam.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan itu berjaya membuatkan beliau “terkejut” dan tidak boleh tidur malam.

“Kenyataan itu bukan baharu. DAP juga mengulanginya semasa persidangan Pakatan Harapan.

“Mereka juga berjanji mempertahankan Islam, Bahasa Malaysia, kedaulatan raja-raja Melayu dan keistimewaan Melayu.

"Kenyataan mereka itu menyebabkan saya terkejut, saya tak boleh tidur 50 jam," katanya pada sidang media di ibu pejabat PERKASA semalam.

Ibrahim sebaliknya mendakwa parti itu sering kali dilihat mempertikai perkara berkaitan orang Melayu dan agama Islam.

Beliau berkata, dalam aspek ekonomi, DAP mempersoalkan berhubung dasar ekonomi baru untuk menyusun semula masyarakat Melayu.

Ibrahim turut membangkitkan komposisi kaum dalam barisan kepimpinan parti itu.

"Mereka menyatakan bukan parti perkauman, (tetapi) semua jawatan penting dalam DAP adalah Cina," katanya.

Ulasan saya, penegasan DAP bahawa mereka tidak anti Melayu, tidak anti Islam tidak cukup selagi mereka tidak menggugurkan konsep Malaysian Malaysia bahawa semua rakyat Malaysia sama rata.

DAP melaungkan semangat Malaysian Malaysia yang menyebabkan orang Melayu takut masa depan mereka tidak terjamin jika Pakatan Harapan memerintah.

Janji DAP sewaktu pelancaran Pakatan Harapan tidak cukup kerana DAP cakap tidak serupa bikin. Apa Lim Guan Eng buat untuk orang Melayu di Pulau Pinang sehingga ADUN PKR menangis dalam Dewan Undangan Negeri. Apa DAP buat di Pulau Pinang sehingga azan masjid pun tidak boleh menggunakan pembesar suara di kawasan Cina.

Jika DAP perbetulkan dua perkara ini baru orang Melayu percaya DAP bukan anti Melayu dan bukan anti Islam. Oleh itu seperti kata Ibrahim Ali orang Melayu jangan mudah percaya dengan janji manis DAP.

Selasa, Januari 12, 2016

AMANAH DAN DAP BERTELAGAH PASAL RATU CANTIK?



Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka kesal dengan penganjuran pertandingan Miss Tourism 2015/16 di Melaka baru-baru ini yang disifatkan bertentangan syariat Islam dan adab ketimuran.

"Jelas sekali pertandingan Miss Tourism ini haram di sisi Islam kerana pakaian yang menjolok mata, tidak sopan dan hadirin pula terdiri dari kaum lelaki dan wanita.

"Lebih malang lagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sendiri turut hadir memeriahkan acara tersebut," kata ketuanya Mahani Othman Basir.

Menurut Mahani, kerajaan Melaka sebelum ini dilihat banyak menganjurkan aktiviti agama seperti majlis 'Melaka Berselawat' tetapi ia masih tidak memberi keinsafan kepada pimpinan negeri apabila membenarkan program maksiat diadakan di negeri itu.

"Malah mereka sendiri hadir memberikan sokongan padu kepada program maksiat sebegini.

"Kami sebagai kaum wanita berasa terhina kerana jelas sekali program ini mengeksploitasi wanita dengan mempamerkan bentuk badan dan aurat mereka kepada kaum lelaki," katanya.

Sehubungan itu pihaknya mendesak kerajaan negeri Melaka memohon maaf khususnya kepada semua wanita di negeri itu kerana menggalakkan program sumpama itu.

"Kami tidak rela anak-anak muda di negeri ini terjebak dengan program-program lalai dan tidak bermanfaat malah haram di sisi Islam.

"Apa perasaan kita jika anak-anak kita sendiri mendedahkan sebahagian badan mereka kepada kaum lelaki seperti yang berlaku dalam program ini?," soal Mahani.

Selain itu, katanya, pihaknya juga kesal kerana program maksiat seperti ini terus diadakan atas alasan untuk menarik pelancong datang ke Melaka.

"Apakah kerajaan negeri sanggup menggadaikan nilai-nilai agama dan adab ketimuran dengan menghalalkan program Miss Tourism ini hanya kerana alasan dangkal untuk menggalakkan pelancongan.

"Sudah keringkah idea mereka untuk mengalakkan pelancongan sehingga sanggup memperjudikan hukum agama dan adab-adab ketimuran kita," soalnya.

Ulasan saya, adakah kenyataan Amanah ini direstui oleh rakan kongsinya DAP dan PKR? Selama ini DAP marahi PAS kerana mahu laksanakan hukum hudud tetapi kenyataan Amanah ini sudah tentu menimbulkan kemarahan DAP yang tidak suka lihat Amanah terlalu ekstrim.

Kalau begini gayanya maka nampaknya Pakatan Harapan tidak kekal lama apabila ada ahli Amanah ekstrim macam orang PAS pula.

Sehingga ini DAP belum jawab kenyataan Ketua Wanita Amanah Melaka kerana jika DAP jawab secara terbuka sudah tentu akan meretakkan Pakatan Harapan yang baru diisytihar Sabtu lalu.

DAP tidak kesah ada pertandingan ratu cantik kerana ahli DAP merestui orang Cina mendedahkan aurat malah jika Amanah mahu mengharamkan pertandingan ratu cantik maka  ahli ahli MCA dan Gerakan akan menghentam DAP yang bersekongkol dengan Amanah yang ekstrim.

Isnin, Januari 11, 2016

MAMPUKAH BARU BIAN TUMBANGKAN ADENAN SATEM?



Pilihanraya negeri Sarawak kali ini agak menarik kerana calon Ketua Menteri bukannya pilihan kerajaan pusat. Dahulu Kuala Lumpur yang menghantar Rahman Yaacub dan Taib Mahmud mengetuai kerajaan negeri tetapi pilihan Adenan Satem mengejutkan kerana Kuala Lumpur lebih menyenangi Abang Johari.

Namun demikian untuk survival kerajaan pusat, Kuala Lumpur masih memerlukan Adenan Satem walaupun beliau agak melampau mahu sekolah di Sarawak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang dilihat itu adalah asas dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Adenan mengatakan Kuala Lumpur bodoh tetapi pemimpin pusat berdiam diri kerana kemenangan BN lebih penting di Sarawak daripada menjawab keceluparan mulut Adenan. Rakyat Sarawak melihat Adenan lebih berani dari Taib Mahmud dalam mengembalikan kuasa autonomi Sarawak.

Mampukah calon Ketua Menteri Pakatan Harapan Baru Bian menumbangkan kerajaan BN Sarawak? Bagi rakyat Sarawak isu nasional yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan seperti isu 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion tidak ada kena mengena dengan rakyat Sarawak.

Ketegasan Adenan Satem jika Najib Razak bersalah dalam isu 1MDB, Sarawak akan menarik sokongan kepada BN Pusat menunjukkan Adenan lebih popular dari Pakatan Harapan. Rakyat Sarawak lebih suka memenangkan BN Sarawak daripada memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan yang mana DAP, PKR dan Amanah merupakan parti yang berasal dari Semenanjung juga. Sebaliknya mengekalkan BN Sarawak bermakna mengekalkan parti yang bertapak di Sarawak.

Populariti Adenan dalam kalangan rakyat Sarawak dengan gaya bersahajanya, disenangi ramai.

Malah ungkapan Ooo Haa dan You, You yang menjadi trademark beliau, kini menjadi ikutan pelbagai lapisan masyarakat.

Kali terakhir pilihan raya Sarawak diadakan pada 16 April 2011, dengan BN di bawah kepemimpinan Ketua Menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud menguasai majoriti 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan - tewas 15 kerusi kepada pakatan pembangkang, masing-masing 13 (DAP), 2 (PKR) dan 1 (Bebas).

Untuk pilihan raya negeri kali ini, 11 kawasan DUN baharu dipertandingkan, menjadikan 82 kerusi DUN, terbanyak berbanding negeri lain.

Sebelas kerusi baharu itu ialah DUN Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kabong, Telian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Daripada 11 kerusi baharu itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tonggak kekuatan BN Sarawak dijangka diagihkan sekurang-kurangnya lima kerusi. Jumlah pengundi berdaftar di Sarawak setakat suku tahun ketiga (ST3) 2015 adalah 1,131,956 orang.

Dalam dua pilihan raya negeri lalu, PBB menang semua 35 kerusi yang ditandingi dan dijangka terus mengulangi kecemerlangan itu kali ini.

Andai PBB yang kini diterajui Adenan sekali lagi menyapu bersih semua kerusi DUN ditandingi, bermakna PBB mendapat 40 kerusi, iaitu kurang dua kerusi meraih majoriti mudah, untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Adenan sebelum ini menyatakan kesediaan BN menghadapi pilihan raya itu tanpa rasa gentar terhadap saingan masing-masing.

“Bukan baru kini kita berpilihan raya, menang juga kita. Mana-mana pun kita menang.“Kita akan menang kalau kita tidak banyak cerita sama sendiri, gaduh sama diri, gaduh itu gaduh ini. Saya ni menyindir, ada parti di Malaya (Semenanjung), tak henti-henti kelahi.

Ikut PBB, tidak ada kelahi (gaduh) banyak,” katanya. PBB bagaimanapun menaruh keyakinan kepada konsep perkongsian kuasa dan sebab itulah ia bertahan kukuh sepanjang masa.

Untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-11 kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memperoleh RM75 juta daripada bajet keseluruhan RM181 juta yang dimohon daripada kerajaan Pusat.

Seramai 21,000 petugas SPR turut dikerahkan untuk melancarkan proses pilihan raya itu nanti dari peringkat pegawai pengurus sehinggalah tukang kebun untuk membersihkan kawasan peti undi.

Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd. Yusof memberitahu, pihaknya sudah `turun naik’ Sarawak sejak tahun lalu lagi.

Kini, cuma menunggu tarikh pembubaran DUN negeri sahaja yang dijangka bila-bila masa dari sekarang.

“Antara keperluan logistik yang ditambah termasuklah 11 helikopter, menjadikan 33 kesemuanya untuk membawa kertas dan peti undi ke kawasan pedalaman dan terpencil.

“Fokus utama SPR adalah kawasan luar bandar, ditambah dengan 11 kerusi baharu sebahagian besar terletak di luar bandar, kami cuma tunggu pengumuman bubar DUN daripada Ketua Menteri, Adenan Satem,” katanya.



Ahad, Januari 10, 2016

ZAHID MAHU HUFFAZ JADI TOKOH PROFESIONAL


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu huffaz di negara ini hanya sekadar menjadi imam masjid atau surau semata-mata, sebaliknya menjadi tokoh profesional yang kaya dengan ayat al-Quran.

"Saya mahu mereka jadi jurutera, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara yang mampu jadi imam, jadi khatib baca khutbah bukan sahaja hari Jumaat tetapi pada Hari Raya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Huffaz Aqso Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab 2015 di Masjid Tanah, Melaka semalam.

Pada majlis itu seramai 76 huffaz diberi sijil dan anugerah setelah berjaya menyelesaikan program hafazan al-Quran dalam tempoh tiga bulan.

Turut hadir isteri timbalan perdana menteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam, dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Datuk Md Yunos Husin.

Sehubungan dengan itu Dr Ahmad Zahid mencadangkan kurikulum maahad tahfiz di seluruh negara perlu diseragamkan untuk menghasilkan huffaz profesional cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata penyeragaman kurikulum itu dapat mengelakkan 'caca marba' dalam sistem pendidikan maahad tahfiz di negara ini dan mewujudkan satu silibus berkesan untuk maahad tahfiz tersebut.

"Saya selaku TPM (Timbalan Perdana Menteri) amat menggalakkan agar banyak maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara oleh kerajaan negeri, persekutuan, swasta atau orang persendirian.

"Tetapi saya menyeru kepada pengendali sekolah ini mesti mempunyai satu kurikulum khusus seluruh negara. Ada juga pondok buruk, banglo tinggal jadi maahad, bukan kita tidak mahu banyak huffaz tetapi kita mahu ada juga kualiti, ada nilai akademik dan Quranic," katanya.



Ahmad Zahid menyeru kerajaan negeri dan pihak terlibat agar bersepadu dalam membela kebajikan maahad tahfiz serta pelajarnya, supaya pelajar terbabit tidak 'dizalimi' dalam usaha mereka menimba ilmu.

"Di samping mencari pahala, jangan dizalimi dan ketepikan hak anak-anak ini untuk hidup selepas jadi huffaz. Mereka harus ada nilai akademik, nilai ekonomi dan nilai terbaik," katanya.


Mengulas mengenai huffaz yang dilahirkan sekolah tersebut, Ahmad Zahid melahirkan rasa bangga memandangkan sejak penubuhannya pada 2010, sekolah itu mampu melahirkan huffaz yang berkualiti dan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran daripada 20 universiti terkemuka dunia.

"Alhamdulillah... berkat komitmen isteri saya dan adik beradik beliau, kita berjaya. Allah uji saya dan isteri, kita tahu ujian demi ujian datang. Tiada perkara yang mudah, tetapi berusaha lebih keras dan bijak, untuk capai kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankan kejayaan lebih sukar," katanya.

Tapak bagi pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu diwakafkan oleh keluarga Hamidah dan Ahmad Zahid serta isterinya masing-masing merupakan pengasas dan timbalan pengasas sekolah berkenaan.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata masyarakat Islam perlu bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan kalangan bukan Islam dalam usaha menuntut ilmu.

"Saya rasakan untuk berjaya harus ada kerjasama erat tanpa mengira apa sahaja latar belakang agama, bangsa dan keturunan," katanya.

Sabtu, Januari 09, 2016

MENANTI KEJUTAN 2016



Oleh Shahbudin Hj Embun
(sudah keluar dalam Berita Harian)

Tahun 2015 merupakan tahun pembuka jalan kepada hubungan antara Umno dan PAS. Adakah tahun 2016 akan menjadi tahun yang merealisasikan gabungan ini ataupun sekadar menjadi tahun yang terus membincangkan isu ini tanpa terjalinnya sebarang ikatan.

Ini adalah antara isu 2016 yang bakal dinantikan oleh kita semua? Bagaimana pula dengan kedudukan Umno sebagai parti utama di negara kita. Jika tahun 2015 melihat Umno bergolak dengan pelbagai isu yang boleh memecahbelahkan parti itu, adakah 2016 akan menyaksikan pergolakan yang lebih hebat atau menjadi tahun yang menjadi saksi kepada kematangan Umno dalam menyelesaikan isu-isu ini.

2016 baru sahaja bermula dan rakyat Malaysia seolah-olah sudah bersedia dengan pelbagai kejutan politik yang bakal melanda negara kita. Oleh itu apa kata kita berbalik kepada isu pergabungan Pas dan Umno. Pelbagai pihak dari Umno dan juga Pas yang telah memberikan pandangan tentang isu ini. Ada yang bersetuju dan ada juga yang merasakan pergabungan ini tidak perlu dilakukan.

Pas telah membuktikan yang parti ini mampu memainkan peranan penting dalam merubah senario politik di negara kita.Lihat sahaja peranan yang dimainkan oleh parti ini semasa bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Penulis merasakan penyokong Pakatan Rakyat pastinya akan berasa lebih yakin dapat menakluki Putrajaya jika momentum gabungan lama dapat diteruskan selepas PRU 13 yang lalu. Namun sebagaimana yang diramalkan oleh kebayakan penganalisis politik, bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus tidur sebantal jika mempunyai mimpi yang berbeza.

Tahun 2015 menyaksikan berlakunya pergeseran antara Pas dan DAP yang akhirnya menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat. Dan ini pastinya telah menjejaskan kekuatan pakatan pembangkang yang sebenarnya masih memerlukan Pas jika ingin mengambilalih Putrajaya.

Pakatan Harapan yang baru dibentuk untuk menggantikan Pakatan Rakyat masih belum cukup matang dan kuat untuk menentang Barisan Nasional.Dan walaupun Umno dan Barisan Nasional juga menghadapi masalah dalaman, namun Umno serta parti komponen Barisan Nasional masih kuat dan padu untuk terus membawa cabaran dan memikul tanggungjawab memimpin  negara.

Walaupun dalam keadaan senario politik yang sukar diramalkan pada hari ini, Umno dan Barisan Nasional akan terus menjadi pilihan rakyat berdasarkan pada kematangan dan pengalaman yang dimiliki oleh parti yang memerintah ini.Barisan Nasional telah diduga dan diuji dengan pelbagai ujian. Kita lihat akan perbandingan ini.Pakatan Rakyat boleh berpecah disebabkan pergeseran antara DAP dan Pas dan ketidakupayaan Parti Keadilan Nasional yang bertindak sebagai pihak pendamai. Namun dalam Barisan Nasional, walaupun berlakunya ketidaksefahaman dan pergolakan, tetapi semangat solidariti dalam Barisan Nasional menyaksikan  gagasan ini terus kuat dan utuh.

Inilah kelebihan yang terdapat pada Barisan Nasional dan tidak dimiliki oleh pakatan pembangkang yang masing-masing mahu menjadi wira dalam perjuangan mereka.Dan jangan lupa akan pendekatan kesederhanaan yang diamalkan oleh Barisan Nasional yang masih mampu mendekati hati rakyat yang sudah mula muak dengan cara pakatan pembangkang yang lebih menjurus kepada pendekatan yang lebih ekstrim.

Namun persoalannya ialah adakah Umno memerlukan Pas? Tidak ada jawapan ya atau tidak dalam persoalan ini.Apa yang lebih penting ialah dua parti besar Melayu ini sudah mula berjinak-jinak untuk bersama-sama duduk satu meja dan membincangkan soal kerjasama politik yang akan memberikan satu dimensi baru dalam senario politik tempatan.

Sebenarnya kerjasama seperti  ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan boleh dilaksanakan dengan berjaya. Lihat sahaja ketika Pas dan DAP masih bersahabat dahulu.Perbezaan antara kedua-dua parti itu diibaratkan seperti langit dan bumi tetapi masih boleh bekerjasama.Dan tentunya Umno dan Pas boleh merangka satu formula untuk bersama-sama berganding bahu demi perpaduan ugama, bangsa dan masa depan negara kita.

Dalam keghairahan melihat kedua-dua parti ini menjalin hubungan yang lebih baik, perlu diingatkan juga bahawa ianya masih di peringkat awal lagi. Itu sebabnya kita perlu bersabar dan menyerahkan kepada barisan pucuk kepimpinan Umno dan Pas supaya menetapkan agenda dan apakah bentuk persefahaman yang bakal diwujudkan nanti.

Kebijaksanaan yang dimiliki oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti pastinya mampu menghasilkan satu gabungan mantap yang akan memberi kelebihan kepada semua pihak yang terbabit termasuk juga parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Tahun 2015 juga menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diuji dengan pelbagai cabaran dan adakah tahun 2016 akan menyaksikan senario yang sama akan berulang. Ketenangan beliau menghadapi segala dugaan ini telah membuktikan bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mampu untuk terus membawa kejayaan untuk Malaysia. Perlu diingatkan juga bahawa secara umumnya Umno dan Barisan Nasional  telah berdiri teguh di belakang Najib .

Apa yang lebih penting ialah sokongan ini diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dan bukan sekadar retorik sahaja.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah beberapa kali menyeru kepada semua pemimpin untuk sama-sama mengharungi kapal yang bergelora  bersama nakhoda dan bukan terjun meninggalkan kapal.

Semangat seperti inilah yang perlu ada pada setiap pemimpin Umno dan Barisan Nasional jika mereka mahukan semula kepercayaan yang lebih menyeluruh daripada  rakyat terhadap Barisan Nsional. Inilah cabaran sebenar untuk Umno dan Barisan Nasional umumnya pada tahun 2016.

Hari ini kita sering mendengar yang jangkamasa setahun berlalu dengan begitu pantas sekali. Oleh itu, jangan terkejut  kerana dalam sekelip mata sahaja dimensi dan senario politik di negara kita boleh berubah apabila berlakunya sesuatu kejutan. Selamat datang 2016.





Jumaat, Januari 08, 2016

DR VIDA SUDAH LAHIRKAN 50 JUTAWAN PAMOGA QU PUTEH



Belum pernah saya hadiri majlis sidang akhbar seperti majlis sidang akhbar Astro petang semalam  di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Biasanya selepas habis sidang akhbar wartawan bergegas pulang tetapi kali ini mereka menunggu penaja konsert Mega Gegar Vaganza yang akan diadakan di Istana Budaya minggu hadapan sehingga maghrib untuk wawancara eksklusif dengan Datuk Seri  Vida.

"QU Puteh, Barulah Putih', satu slogan yang mungkin agak kelakar pada pendengaran, malah sesetengah orang berasa terganggu apatah lagi apabila diulang berkali-kali. Hakikatnya, slogan tersebut telah berjaya melonjak kembali populariti pengasas produk kecantikan terkenal tanah air, Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.


Slogan tersebut dilihat memberi impak besar kepada perniagaannya dan menjadi sebutan ramai tidak kira daripada anak kecil hinggalah dewasa, biarpun pada masa sama tidak kurang yang memperolok dan memperlekeh dengan melempar kata-kata kurang enak. Malah cucu saya yang baru berusia satu tahun setengah sudah pandai meniru aksi Dr Vida yang meletakkan dua jarinya di pipinya (lihat video).

Tidak cukup dengan itu, Vida turut dikritik hebat dengan penampilannya yang sentiasa ‘disinari’ kilauan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki.

Berilah gelaran apa pun, bagi Vida, sedikit pun tidak menjadi ‘kudis’, malah dia amat berbangga kerana sekurang-kurangnya slogan yang dianggap kelakar serta penampilan yang dianggap keterlaluan menjadi sebutan ramai.

Itu sahaja sudah cukup bagus untuk mempopularkan kembali perniagaannya.

Bagaimanapun, ibu kepada empat orang cahaya mata ini mengakui, pada mulanya dia berasa agak tertekan, namun mengambil pendekatan secara positif.

“Tipu kalau saya kata saya tidak terasa hati dengan cakap-cakap orang tetapi demi perniagaan, saya ‘telan’. Hasilnya, sekarang saya cukup bersyukur kerana produk Qu Puteh semakin laris sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Mengenai penampilan saya pula, ‘blink-blink’ sudah sinonim dengan diri saya dan biarlah apa orang hendak cakap. Lagipun saya hanya berpenampilan begitu ketika acara formal sahaja, sedangkan pada hari-hari biasa saya seperti individu-individu lain, ringkas dan selesa.

“Yang pasti hari ini biarlah apa orang nak cakap kerana saya tahu apa yang saya lakukan dan saya positif,” katanya. Dr Vida mula dikenali umum selepas menaja Anugerah Juara Lagu terbitan TV3 pada tahun lepas dan fenomena ini berterusan apabila beliau menaja siaran langsung Gegar Vaganza bulan lepas di Astro Ria yang mendapat rating tertinggi.

Menyedari fenomena Gegar Vaganza, maka Astro membawa Mega Gegar Vaganza ke Istana Budaya selama tiga malam berturut turut mulai 15 Januari dengan membawa 13 orang artis yang menyertai final Gegar Vaganza 1 dan 2 seperti Ayai, Nana, Farahdiya, Acong, Ezad, Nasir Wahab, Haleeda, Haiza dan lain-lain.


Bercerita serba sedikit mengenai perniagaan yang diusahakan, jelas wanita kelahiran Machang, Kelantan, ini, dia memang seorang yang minat berniaga, malah mula menjual nasi lemak dan kuih muih seawal usia sembilan tahun.

Tidak terhenti setakat itu, ‘kerjayanya’ diteruskan sehinggalah beliau membuat keputusan untuk menjual barangan kecantikan pada usia 12 tahun dan berterusan sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sememangnya seorang wanita yang tidak boleh duduk diam, Vida berkata, pelbagai jenis pekerjaan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan duit.

“Seawal darjah tiga saya sudah mula berniaga, tetapi waktu itu bukan niat untuk membantu orang tua sebab keluarga saya boleh dikatakan agak senang.

“Apa yang dilakukan waktu itu hanyalah semata-mata untuk dapat duit kerana saya bercita-cita tinggi ingin memiliki segala-galanya apabila dewasa nanti seperti kereta, motosikal, dan rumah sendiri.

“Jadi untuk mendapatkan apa yang dihajati, saya pernah bekerja di kilang, menjual pokok bongsai, dan tidak ketinggalan bekerja di restoran makanan segera,” katanya bersungguh.

Turut mengakui dirinya seorang yang sukakan cabaran, beliau memberitahu, segala yang dilakukan adalah kehendak dirinya sendiri malah bersyukur kerana keluarga sentiasa menyokongnya.

Setelah lama berbual dan bercerita mengenai pengalaman berniaga, dikejutkan pula dengan pengalaman kerjanya sebelum bergelar usahawan kosmetik.

Berkelulusan Ijazah Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), menurut anak bongsu daripada tiga beradik ini lagi, beliau pernah bergelar cikgu sekolah selama 12 tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Pooi Lam. Inilah kelebihan Dr Vida yang boleh bercakap dalam bahasa mandarin.

Sanggup meletak jawatan ‘24 jam’ gara-gara ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan.

Vida bangga kerana sekurang-kurangnya segala perancangan yang diatur berjalan dengan lancar sehingga ke hari ini.

Setelah berhempas pulas menjual produk orang lain, akhirnya beliau tampil dengan produk jenama Vida Beauty yang terdiri daripada sabun, krim siang, dan krim malam.

Bertitik tolak daripada situ, beliau meneruskan langkah dengan mengeluarkan minuman kesihatan, Pamoga pada tahun 2010 dengan 
harapan ingin melawan pasaran antarabangsa.

Nasib menyebelahi apabila produk tersebut yang dihasilkan daripada gamat dan buah delima mendapat sambutan dan kekal sehingga hari ini.

Perjalanan Vida tidak terhenti di situ, malah selepas Pamoga dilancarkan beliau membuat perancangan seterusnya dengan mengeluarkan pula minuman untuk pencerahan pada tahun 2013.

Habis sahaja berbicara mengenai perjalanan kerjayanya, Vida tidak ketinggalan menceritakan serba sedikit kisah arwah anak-anaknya yang terkorban dalam kebakaran pada Ogos 2013.

Akibat daripada peristiwa tersebut, beliau menjadi sugul dan menyepikan diri selama setahun lebih kerana terlalu bersedih dan banyak memikirkan apa yang telah berlaku.

“Saya mengalami konflik identiti akibat daripada kematian anak-anak saya kerana berlaku secara tiba-tiba.

“Masa itu tiada apa yang difikirkan melainkan takut mati dan ketika itu jugalah segala-galanya (perniagaan) diuruskan oleh kakitangan saya.

“Saya bukan sahaja tidak mempedulikan perniagaan dan apa yang berlaku di sekeliling, malah saya juga tidak bertenaga untuk bekerja. Alhamdulillah segala-galanya dapat diatasi setelah mendapat nasihat daripada mereka yang berpengaruh dalam bidang agama,” ulasnya lagi yang turut memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biologi dari Universiti Monash.

Menyentuh pula mengenai rumah tangganya, beritahu Vida, beliau telah melangsungkan perkahwinan terbaharu pada 3 Oktober 2014.

Menyatakan tiada jodoh dengan bekas suami sebelum ini, Vida berkata, hari ini dia cukup bahagia dengan Fairuz Ahmad Zainuddin di samping dua orang anaknya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 10, dan Muhammad Eric Zacquan, 8.

Menyatakan segala yang berlaku ada hikmahnya, Vida hari ini akan meneruskan perancangan yang telah diatur dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan lebih banyak produk kesihatan dan kecantikan.

Sebagai seorang usahawan, beliau telah melahirkan 50 orang jutawan Pamoga daripada 500 orang stokis. Beliau berazam melahirkan lebih ramai jutawan yang mahu berniaga produk beliau.

Sebagai usahawan yang berjaya, beliau menasihati bakal usahawan supaya berniaga sepenuh masa dan komited dengan perniagaan mereka dan jangan cepat putus asa jika gagal.

"Saya sudah tiga kali jatuh tetapi dengan pendekatan baru menaja program tv, perniagaan saya naik semula dan sebelum ini saya banyak tersalah beli iklan di akhbar yang merugikan saya," katanya.

Walaupun ada orang menganggap beliau over, tetapi sebagai usahawan beliau tidak boleh berdiam diri lagi dalam menjayakan perniagaannya.

"Apa guna saya menaja program sampai berjuta juta jika saya tidak dapat promosi produk saya," katanya.

Beliau bersyukur dengan peningkatan perniagaannya sekarang dan berazam akan memasuki pasaran antara bangsa tidak lama lagi.