Ahad, September 13, 2015

BN SELANGOR PATUT AMBIL KESEMPATAN PERBALAHAN PAKATAN RAKYAT

Sudah dua kali PRU, BN kalah di Selangor sejak PRU 2008. Ramai yang meramalkan selagi Pakatan Rakyat (PKR) memerintah Selangor, agak sukar BN merampas kembali negeri tersebut. Dahulu tokoh korporat Khalid Ibrahim menerajui Selangor, negeri itu mempunyai rezab yang mencecah RM2 billion.

Kini di bawah Azmin Ali, rezab Selangor terus meningkat. Ini menunjukkan tiada rasuah dalam pemberian projek yang menyebabkan tiada ketirisan. Integriti seperti ini yang sukar diamalkan oleh kerajaan BN di Selangor dahulu baik di zaman Muhammad Muhd Taib, Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo.

Selangor tidak sama seperti Terengganu dan Kedah. BN kalah di Terengganu pada PRU 1999 tetapi pada PRU 2004 BN menang kembali. Begitu juga di Kedah, BN kalah pada PRU 2008 tetapi BN berjaya merampas kembali Kedah pada PRU 2013.

Maka Selangor akan dilihat seperti Kelantan. Setelah BN tumbang pada PRU 1990, sudah enam penggal PAS memerintah Kelantan. Maka PR dijangka memerintah Selangor beberapa penggal seperti PAS di Kelantan.

Bezanya Kelantan negeri miskin tetapi Selangor negeri kaya serta pengundinya pula berpelajaran tinggi. Maka peluang untuk BN menang semula di Selangor agak tipis kecuali tukar pengerusi BN Selangor sekarang, Noh Omar.

Ahli Umno sendiri meluat dengan Noh Omar maka peluang untuk BN merampas kembali Selangor semakin tipis. Cari penggantinya yang lebih berintegriti. Ini adalah peluang terbaik bagi BN merampas kembali Selangor dalam suasana PR sedang berkrisis.

Azmin masih memerlukan PAS tetapi DAP tidak mahu PAS berada dalam PR. Maka krisis ini perlu diambil kesempatan oleh pemimpin BN Selangor. Azmin tahu jentera PRU PKR tidak kuat. Selama ini PKR menang kerana sokongan jentera PAS.Tanpa jentera PAS, sudah pasti PKR akan hilang banyak kerusi di Selangor.

Malah dalam suasana sekarang jika PAS keluar dari PR, kerajaan PKR akan tumbang. Azmin sendiri akan menjadi MB PKR yang paling sekejap jadi MB Selangor. Sebab itu Azmin berkata ia bukan kenyataan peribadi beliau yang mahu PAS berada dalam PR tetapi pendirian PKR. PKR tahu selama ini jentera PRU mereka bergantung kepada jentera PRU PAS. Penyokong PAS berkempen kerana Allah. Tak bayar pun tak apa sebaliknya mentaliti penyokong PKR sama dengan mentaliti penyokong Umno. Tak ada upah, tak ada kempen.

DAP terus mengasak PKR tidak menerima PAS dalam PR 2.0 kerana Parti Amanah sudah ada untuk menggantikan PAS. biarpun Amanah ada wakil rakyat percuma dalam parlimen sekarang seperti Raja Bahrin, Mahfuz Omar, Dr Mujahid Rawa, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi, percayalah mereka akan kalah dalam PRU akan datang kerana akar umbi sudah sebati dengan PAS. Amanah boleh menarik pengundi muda yang profesional tetapi pengundi tua tetap bersama PAS. Sebab itu jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah yang akan menang ialah calon BN dengan syarat BN Selangor mengenepikan semua pemimpin yang sudah ada rekod buruk.

Dalam pergeseran parti-parti dalam PR, jika BN Selangor masih gagal menawan Selangor, ini bermakna Selangor akan selama-lamanya berada dalam genggaman PR. Oleh itu BN Selangor perlu buat perubahan segera. Pemimpin yang sibuk cari projek untuk kepentingan peribadi wajar disingkir dan pilihlah calon yang bersih untuk menghadapi PRU 2018. Ketua bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunus dan Ketua Bahagian Kuala Selangor, Ishak Harun merupakan calon yang bersih yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin BN Selangor.