Jumaat, Mac 24, 2017

KERAJAAN KOMITED BENTANG RUU355


oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) pada sidang Parlimen kali ini.Jelaslah ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan untuk terus memartabat kedaulatan agama Islam  di negara kita ini tanpa menggugat kepentingan agama dan kaum lain di Malaysia.

Sebagaimana maklum,   RUU 355, dibentangkan untuk meminda Seksyen 2 sebagai menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas mereka yang beragama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 senarai negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ini bermakna, RUU355 mempunyai objektif untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan ini termasuklah dalam isu meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara,serta menambah baik gred perkhidmatan para hakim.

Sehingga hari ini isu ini masih dibincangkan lagi di kalangan kita semua dan penulis juga pernah membangkitkan perkara ini. Pastinya juga antara perkara utama yang menjadi perhatian, khasnya bagi mereka yang bukan beragama Islam ialah adakah Akta 355 ini merupakan satu kaedah atau pintu belakang untuk melaksanakan hukuman Hudud.

Perkara ini telah dijelaskan bahawa Akta 355 tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hukum Hudud. Perlu diingatkan juga bahawa Hudud hanya boleh dikaitkan dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. RUU 355 juga bukannya hukum hudud kerana undang-undang ini sudah sedia ada dan pernah dibentangkan untuk pertama kalinya pada tahun 1984. 

Ahmad Zahid telah beberapa kali menegaskan bahawa pemahaman tentang RUU 355 ini adalah mustahak bagi mengelakkan berlakunya persoalan dan kekeliruan yang nampaknya masih lagi berlaku. Bahkan, dalam satu kenyataan , beliau pernah menjelaskan bahawa“RUU 355 adalah undang-undang syariah yang tidak akan mengambil alih sebarang kuasa yang ada pada mahkamah sivil dan ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.

Perlu juga diingatkan sekali lagi bahawa kerajaan begitu komited tidak akan mengabaikan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam mengambil kira kesan pelaksanaan RUU 355 itu nanti.

Dalam hal ini, rata-rata masyarakat Islam tidak ada masalah dengan RUU 355 ini. Bahkan antara yang menyokongnya telah memberikan alasan bagaimana
undang-undang enakmen jenayah syariah yang sedia ada hari ini seolah-olah tidak memberi kesan kepada pelaku jenayah yang beragama Islam.

Kita tidak boleh menutup sebelah mata seolah-olah masyarakat Islam di sini tidak ada masalah langsung dengan kegiatan maksiat , aktiviti judi dan juga minum arak. Masalah seperti ini masih lagi berleluasa dan itu adalah hakikatnya.Lihat sahaja laporan di akhbar-akhbar  harian. Ada sahaja kegiatan maksiat yang dikaitkan dengan mereka yang beragama Islam.

Masyarakat Islam yang mengamalkan cara hidup bermaksiat dan bertuhankan dosa pastinya tidak akan dihormati dan sekaligus memburukkan agama Islam itu  sendiri. Itulah sebabnya adalah menjadi harapan kita semua agar pelaksanaan RUU355 ini dapat menghalang perkara yang tidak sihat ini daripada terus berlaku.Dan pada masa yang sama dapat memberikan rasa keinsafan kepada masyarakat Islam secara umumnya agar tidak mengulangi dan takut untuk melakukan dosa.

Islam juga bermaksud kebaikan dan keadilan. Itu sebabnya bagi mereka yang menyokong RUU355 ini juga jangan sekali kali berasa marah dengan mereka yang masih keliru dan tidak faham dengan perlaksanaan RUU 355 ini. Perjuangan untuk memperkasakan undang-undang Islam bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat.

Usaha ini memerlukan masa, persediaan dan kefahaman yang jelas agar tidak wujudnya sebarang perselisihan atau sesuatu yang mencurigakan nanti, terutamanya bagi sebuah negara seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.