Isnin, Julai 23, 2018

ZAHID NAFI ADA ADIK IPAR BERNAMA AMIN

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan pembabitannya dalam syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dilaporkan melakukan penipuan pengambilan pekerja dari Nepal, serta bersedia disiasat.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata syarikat tersebut bukan miliknya atau anggota keluarganya dan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat berkenaan.

"Sila kemukakan bukti jika saya terlibat atau ada salah menggunakan kuasa atau mana-mana anggota keluarga saya yang terlibat.... saya sedia berdepan (siasatan)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang mendakwa Bestinet dimiliki oleh adik iparnya iaitu Amin Abdul Nor yang terlibat dalam sindiket penipuan pekerja dari Nepal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak mempunyai anggota keluarga bernama Amin Abdul Nor seperti yang didakwa.

"Orang Bangladesh la Amin tu, saya tidak mempunyai adik ipar bernama Amin. Saya difahamkan syarikat itu telah memulakan perniagaan sebelum saya masuk (menyertai) Kementerian Dalam Negeri lagi," katanya.

RUNDING DENGAN PAS HANTAR SATU CALON PEMIKIRAN BAHARU UMNO



REMBAU 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS dan UMNO seperti 'adik beradik' dalam meletakkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, sebagai suatu tanggapan yang baik.

Beliau berkata, tidak salah untuk mereka mencapai kata sepakat demi kebaikan dan yang penting adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama supaya tiada sesiapa rugi kerana ego sendiri.

"Itu namanya adik beradik, siapa patut beralah dia akan beralah. Tetapi beralah kerana mencari kebaikan bukan kerana sesuatu yang tidak baik. Kita perlu meneroka pemikiran politik baharu yang tidak menyebabkan berpecah belah kerana ini boleh menyebabkan rakyat kucar kacir dan negara kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau di sini, hari ini oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata rundingan dengan PAS supaya menghantar seorang sahaja calon dari parti pembangkang adalah konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan UMNO.