Memaparkan catatan dengan label zahid hamidi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label zahid hamidi. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 23, 2018

UMNO BINCANG KEDUDUKAN ZAHID BULAN HADAPAN

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- UMNO dijangka membincangkan kedudukan Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Majlis Tertinggi bulan hadapan, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata setakat ini kedudukan Ahmad Zahid, yang menghadapi tuduhan di mahkamah, tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.

“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada UMNO telah membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Zahid.

Jumaat lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15

Rabu, Ogos 08, 2018

JOHARI JANGAN PIJAK ORANG YANG SUDAH JATUH



KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Datuk Seri Johari Abdul Ghani terus menghormati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun beliau sudah tidak lagi berkuasa.

"Jika seseorang sahabat itu kini jadi miskin dulu kaya atau sahabat dulu berkuasa sekarang tidak lagi dalam keadaan itu harus dihormati.

"Dan dalam keadaan itu kalau berbeza pendapat sekali pun, ada kaedah-kaedah sahsiah yang baik untuk nyatakannya.

"Bagi saya janganlah pijak kepala seseorang apabila tengkuk telah berada di paras buah pinggang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di luar Dewan Rakyat.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri Umno, Johari yang berkata Najib tidak patut dibenarkan berkempen di SUngai Kandis.

Najib yang juga bekas presiden Umno sedang berhadapan pertuduhan rasuah dan ia mungkin membawa tanggapan negatif terhadap Umno, kata Johari.

Selain itu, Johari juga berkata era bekas presiden Umno itu telah berakhir dan parti itu perlu mengorak langkah ke hadapan serta berubah selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Najib turun berkempen menyokong calon BN, Datuk Lokman Adam pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis.

Lokman tewas kepada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Selasa, Julai 24, 2018

ZAHID TEMUI KU LI RUNDING MASA DEPAN UMNO





KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi Tengku Razaleigh Hamzah, pesaing beliau dalam pemilihan parti itu bulan lalu, bagi membincangkan masa depan Umno.

"Alhamdulillah, saya baru saja menziarahi Tengku Razaleigh Hamzah. Bertanya khabar dan membincangkan hala tuju Umno demi ke arah yang lebih baik. Kami bersifat semangat setiakawan," ciap Zahid di Twitter.

Beliau berkongsi gambar pertemuannya dengan Anggota Parlimen Gua Musang itu di kediaman Razaleigh yang dikenali sebagai replika Rumah Putih.

Zahid menewaskan Razaleigh dalam pertarungan tiga penjuru merebut jawatan presiden Umno bulan lalu yang turut menampilkan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin. Razaleigh mendapat undi paling sedikit dalam pertandingan itu.

Perjumpaan dengan Razaleigh selepas Khairy menjarakkan dirinya daripada kepimpinan Umno di bawah Zahid.

Khairy enggan menerima sebarang jawatan dalam Umno supaya beliau dapat terus bersikap kritikal.

Menurut pemerhati politik, tindakan Zahid merendah diri mengunjungi Ku Li di pejabatnya menunjukkan Zahid berjiwa besar kerana selaku Presiden Umno beliau tidak perlu tunduk kepada Ku Li.

Tetapi Zahid menghormati Ku Li sebagai bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn dan pemerhati politik berharap pertemuan mereka berdua dapat menguatkan lagi Umno.




Isnin, Julai 23, 2018

ZAHID NAFI ADA ADIK IPAR BERNAMA AMIN

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan pembabitannya dalam syarikat Bestinet Sdn Bhd yang dilaporkan melakukan penipuan pengambilan pekerja dari Nepal, serta bersedia disiasat.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata syarikat tersebut bukan miliknya atau anggota keluarganya dan beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat berkenaan.

"Sila kemukakan bukti jika saya terlibat atau ada salah menggunakan kuasa atau mana-mana anggota keluarga saya yang terlibat.... saya sedia berdepan (siasatan)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita yang mendakwa Bestinet dimiliki oleh adik iparnya iaitu Amin Abdul Nor yang terlibat dalam sindiket penipuan pekerja dari Nepal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak mempunyai anggota keluarga bernama Amin Abdul Nor seperti yang didakwa.

"Orang Bangladesh la Amin tu, saya tidak mempunyai adik ipar bernama Amin. Saya difahamkan syarikat itu telah memulakan perniagaan sebelum saya masuk (menyertai) Kementerian Dalam Negeri lagi," katanya.

Khamis, Jun 21, 2018

KEENGGANAN ZAHID BERDEBAT BUKTI UMNO TAK AKAN BERUBAH DI BAWAH ZAHID



TEMERLOH: AHMAD Zahid Hamidi membayangkan beliau tidak berminat untuk berdebat dengan calon presiden Umno, seperti yang diusulkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pemilihan parti itu hujung bulan ini.

"Tidak apalah… itu cadangan daripada dia (Tengku Razaleigh)," katanya, seperti dipetik Bernama.

Razaleigh malam tadi berkata, beliau sedia untuk berdebat dengan calon presiden bagi menjelaskan kenapa beliau masuk bertanding pemilihan jawatan tertinggi parti itu.

"Kalau saya berani membuat penjelasan, yang lain-lain pun patut ikut serta dan sanggup membuat penjelasan yang sama," katanya, merujuk kepada Zahid dan seorang lagi calon presiden, Khairy Jamaluddin.


Khairy sementara itu berkata beliau sedia menyahut "cabaran" debat Razaleigh itu.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan Gobind Singh Deo berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak keberatan untuk menyiarkan debat calon presiden Umno itu dan terserah kepada calon-calon yang terlibat.

Zahid ditemui wartawan pada majlis jamuan hari raya Aidilfitri anjuran Umno Pahang di Temerloh, hari ini, yang berlangsung sempena satu pertemuan tertutup dengan pimpinan Umno negeri itu.

Pimpinan Umno negeri diketuai pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Adnan Yaakob dan timbalannya Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan kepimpinan Umno negeri.

Pertemuan itu disertai dua calon timbalan presiden, Mohamad Hasan dan Annuar Musa, serta empat daripada tujuh calon naib presiden iaitu Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid, Tajuddin Abdul Rahman, Johari Abdul Ghani, dan calon ketua wanita, Noraini Ahmad.


Menurut Zahid, Pahang adalah destinasi pertamanya berkempen dan akan diikuti negeri-negeri lain sebelum pemilihan pada 30 Jun ini.

"Ibu pejabat telah mengaturkan pertemuan semua calon daripada semua peringkat untuk pergi ke negeri-negeri bagi memberi peluang kepada calon untuk memperkenalkan diri… ini juga membolehkan mereka mengenali perwakilan seluruh negara," katanya

Ulasan saya, keengganan Zahid berdebat dengan Ku Li dan Khairy membuktikan bahawa Umno tidak akan berubah jika Zahid mengetuai parti tersebut.

Dalam era sekarang, semua calon presiden, calon timbalan presiden, calon naib presiden kena berani berdebat melontarkan visi mereka kepada para perwakilan. Biar perwakilan menilai kehebatan mereka berhujah dan mengemukakan idea untuk masa depan Umno.

Oleh itu para perwakilan hendaklah memilih calon presiden yang berani berdebat bukan sahaja dengan orang dalaman malah berani berdebat dengan orang luar.

Isnin, April 23, 2018

AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO PUN TIADA SEMANGAT KEPARTIAN YANG TINGGI


KUCHING, 23 April (Bernama) -- Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

"...tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau," katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerja beliau ke Sarawak, di bilik VIP, lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

"...tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Mohd Puad akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri (Zahid) pernah menerima tekanan lebih hebat sebelum ini, namun menurutnya sebagai "orang parti " semangat kepartian harus mengatasi kepentingan lain.

"Kalau saya dalam kedudukan beliau (Puad), saya tidak akan keluar parti, apa lagi bertanding sebagai calon Bebas, " katanya.

Menurutnya Mohd Puad sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada 2013, namun nasib tidak menyebelahinya, dan Mohd Puad juga pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Merujuk kepada persiapan PRU di Sarawak, Ahmad Zahid berkata BN perlu berfikiran positif dalam usahanya memenangi kawasan pilihan raya, dan walaupun ketika ini BN negeri menghadapi sedikit masalah dalaman, namun menurutnya ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pilihan raya.

Sementara itu semasa merujuk kepada kemungkinan kemasukan ejen-ejen dari negara asing ke dalam negara dengan niat jahat, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus memantau dengan teliti sekiranya ejen-ejen dari negara asing ini dapat membolosi negara dengan menggunakan pasport dari negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

"Saya yakin perkara ini walaupun sukar, tapi tidak mustahil dan akhirnya kebenaran akan berpihak kepada kita. Kita memang tahu ada sebuah negara di Timur Tengah menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh individu dari negara Palestin yang pakar dalam bidang tertentu, supaya tidak berlaku �intifada´, atau kebangkitan Palestin."

"Kita tahu rakyat palestin ada di serata dunia sebagai ahli profesional dan juga ahli akademik, kerana hak mereka dinafikan oleh sebuah negara yang memusuhi mereka, " katanya.

Beliau berkata kes pembunuhan rakyat Palestin di Sentul baru-baru turut berlaku di negara-negara Eropah, terhadap warga Palestin yang datang mencari rezeki di negara berkenaan, dan beliau yakin polis akan dapat mendakwa mereka yang terlibat dengan kes pembunuhan di Sentul itu nanti.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta sebagai bantuan kepada empat sekolah Cina yang terdiri daripada Tadika Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 7 Matang; SJK Chung Hua Batu 11, Matang; SJK Chung Hua Batu 35, bahagian Serian; dan SJK Chung Hua Syn San Too, Padawan dekat sini.