Sabtu, Januari 09, 2016

MENANTI KEJUTAN 2016



Oleh Shahbudin Hj Embun
(sudah keluar dalam Berita Harian)

Tahun 2015 merupakan tahun pembuka jalan kepada hubungan antara Umno dan PAS. Adakah tahun 2016 akan menjadi tahun yang merealisasikan gabungan ini ataupun sekadar menjadi tahun yang terus membincangkan isu ini tanpa terjalinnya sebarang ikatan.

Ini adalah antara isu 2016 yang bakal dinantikan oleh kita semua? Bagaimana pula dengan kedudukan Umno sebagai parti utama di negara kita. Jika tahun 2015 melihat Umno bergolak dengan pelbagai isu yang boleh memecahbelahkan parti itu, adakah 2016 akan menyaksikan pergolakan yang lebih hebat atau menjadi tahun yang menjadi saksi kepada kematangan Umno dalam menyelesaikan isu-isu ini.

2016 baru sahaja bermula dan rakyat Malaysia seolah-olah sudah bersedia dengan pelbagai kejutan politik yang bakal melanda negara kita. Oleh itu apa kata kita berbalik kepada isu pergabungan Pas dan Umno. Pelbagai pihak dari Umno dan juga Pas yang telah memberikan pandangan tentang isu ini. Ada yang bersetuju dan ada juga yang merasakan pergabungan ini tidak perlu dilakukan.

Pas telah membuktikan yang parti ini mampu memainkan peranan penting dalam merubah senario politik di negara kita.Lihat sahaja peranan yang dimainkan oleh parti ini semasa bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Penulis merasakan penyokong Pakatan Rakyat pastinya akan berasa lebih yakin dapat menakluki Putrajaya jika momentum gabungan lama dapat diteruskan selepas PRU 13 yang lalu. Namun sebagaimana yang diramalkan oleh kebayakan penganalisis politik, bukanlah sesuatu yang mudah untuk terus tidur sebantal jika mempunyai mimpi yang berbeza.

Tahun 2015 menyaksikan berlakunya pergeseran antara Pas dan DAP yang akhirnya menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat. Dan ini pastinya telah menjejaskan kekuatan pakatan pembangkang yang sebenarnya masih memerlukan Pas jika ingin mengambilalih Putrajaya.

Pakatan Harapan yang baru dibentuk untuk menggantikan Pakatan Rakyat masih belum cukup matang dan kuat untuk menentang Barisan Nasional.Dan walaupun Umno dan Barisan Nasional juga menghadapi masalah dalaman, namun Umno serta parti komponen Barisan Nasional masih kuat dan padu untuk terus membawa cabaran dan memikul tanggungjawab memimpin  negara.

Walaupun dalam keadaan senario politik yang sukar diramalkan pada hari ini, Umno dan Barisan Nasional akan terus menjadi pilihan rakyat berdasarkan pada kematangan dan pengalaman yang dimiliki oleh parti yang memerintah ini.Barisan Nasional telah diduga dan diuji dengan pelbagai ujian. Kita lihat akan perbandingan ini.Pakatan Rakyat boleh berpecah disebabkan pergeseran antara DAP dan Pas dan ketidakupayaan Parti Keadilan Nasional yang bertindak sebagai pihak pendamai. Namun dalam Barisan Nasional, walaupun berlakunya ketidaksefahaman dan pergolakan, tetapi semangat solidariti dalam Barisan Nasional menyaksikan  gagasan ini terus kuat dan utuh.

Inilah kelebihan yang terdapat pada Barisan Nasional dan tidak dimiliki oleh pakatan pembangkang yang masing-masing mahu menjadi wira dalam perjuangan mereka.Dan jangan lupa akan pendekatan kesederhanaan yang diamalkan oleh Barisan Nasional yang masih mampu mendekati hati rakyat yang sudah mula muak dengan cara pakatan pembangkang yang lebih menjurus kepada pendekatan yang lebih ekstrim.

Namun persoalannya ialah adakah Umno memerlukan Pas? Tidak ada jawapan ya atau tidak dalam persoalan ini.Apa yang lebih penting ialah dua parti besar Melayu ini sudah mula berjinak-jinak untuk bersama-sama duduk satu meja dan membincangkan soal kerjasama politik yang akan memberikan satu dimensi baru dalam senario politik tempatan.

Sebenarnya kerjasama seperti  ini bukanlah sesuatu yang mustahil dan boleh dilaksanakan dengan berjaya. Lihat sahaja ketika Pas dan DAP masih bersahabat dahulu.Perbezaan antara kedua-dua parti itu diibaratkan seperti langit dan bumi tetapi masih boleh bekerjasama.Dan tentunya Umno dan Pas boleh merangka satu formula untuk bersama-sama berganding bahu demi perpaduan ugama, bangsa dan masa depan negara kita.

Dalam keghairahan melihat kedua-dua parti ini menjalin hubungan yang lebih baik, perlu diingatkan juga bahawa ianya masih di peringkat awal lagi. Itu sebabnya kita perlu bersabar dan menyerahkan kepada barisan pucuk kepimpinan Umno dan Pas supaya menetapkan agenda dan apakah bentuk persefahaman yang bakal diwujudkan nanti.

Kebijaksanaan yang dimiliki oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti pastinya mampu menghasilkan satu gabungan mantap yang akan memberi kelebihan kepada semua pihak yang terbabit termasuk juga parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Tahun 2015 juga menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diuji dengan pelbagai cabaran dan adakah tahun 2016 akan menyaksikan senario yang sama akan berulang. Ketenangan beliau menghadapi segala dugaan ini telah membuktikan bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan mampu untuk terus membawa kejayaan untuk Malaysia. Perlu diingatkan juga bahawa secara umumnya Umno dan Barisan Nasional  telah berdiri teguh di belakang Najib .

Apa yang lebih penting ialah sokongan ini diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dan bukan sekadar retorik sahaja.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah beberapa kali menyeru kepada semua pemimpin untuk sama-sama mengharungi kapal yang bergelora  bersama nakhoda dan bukan terjun meninggalkan kapal.

Semangat seperti inilah yang perlu ada pada setiap pemimpin Umno dan Barisan Nasional jika mereka mahukan semula kepercayaan yang lebih menyeluruh daripada  rakyat terhadap Barisan Nsional. Inilah cabaran sebenar untuk Umno dan Barisan Nasional umumnya pada tahun 2016.

Hari ini kita sering mendengar yang jangkamasa setahun berlalu dengan begitu pantas sekali. Oleh itu, jangan terkejut  kerana dalam sekelip mata sahaja dimensi dan senario politik di negara kita boleh berubah apabila berlakunya sesuatu kejutan. Selamat datang 2016.