Selasa, September 30, 2014

TIMBALAN SPEAKER JEJAS ADUN, JADI EXCO TAK JEJAS ADUN PULA

SHAH ALAM: Kesibukan tugas seorang timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan faktor PAS mungkin menolak kerusi itu, lapor portal Selangor Kini. Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata meskipun keputusan belum dibuat mengenai perkara tersebut, jika PAS menolak tawaran itu, ia kerana faktor kesibukan kerja. Katanya jawatan itu dilihat bakal menjejaskan peranan mereka untuk berkhidmat sepenuhnya sebagai wakil rakyat. "Jika PAS menolak, ia kerana PAS mahu semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang tidak dilantik menjadi exco berperanan sepenuhnya sebagai Adun di dalam Sidang Dewan Negeri dan tidak sibuk dengan tugas timbalan speaker,” dia dipetik sebagai berkata. Katanya keputusan untuk tawaran tersebut akan diumumkan sebelum Sidang DUN Selangor pada November akan datang. Pelantikan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali minggu lalu menyaksikan rombakan barisan kepimpinan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Dalam barisan exco negeri terbaru, tiga Adun PAS dilantik sebagai exco berbanding empat sebelum ini. Ini dilihat menimbulkan lagi konflik sedia ada Pakatan Rakyat dalam isu Selangor. Namun Azmin mempertahankan tindakannya dengan menyatakan kerusi tersebut akan diberikan kepada exco PAS yang tidak dilantik semula. Jawatan timbalan speaker dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang dari empat exco PKR. Semalam, memetik daripada laman Facebook beliau, Iskandar yang juga Adun Chempaka turut membuat kenyataan sama dengan menegaskan masih belum ada sebarang kata putus berhubung tawaran tersebut. Perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam pertemuan exco dan mantan exco PAS dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam semalam, kata Iskandar.

Khamis, September 25, 2014

KISAH SEORANG SETIAUSAHA POLITIK

Hari ini saya bersama Abdullah Karim (Tapa) menemui bekas Setiuasaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Nordin Yaani di rumahnya di Alor Gajah, Melaka. Ketika Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menjadi Ketua Menteri Melaka (1982-1994), Nordin menjadi setiausaha politiknya. Beliau begitu dipercayai oleh Rahim. Sesiapa yang mahu menemui Rahim, tidak perlu menemui Rahim, cukup menemui Nordin sahaja untuk menyelesaikan masalah. Pernah orang mengadu kepada Rahim mengenai tindak-tanduk Nordin, Rahim jawab," apa yang Nordin cakap itu adalah cakap sayalah". Jadi orang tak bernai menyanggah Nordin kerana apa sahaja tindakan Nordin adalah direstui Rahim. Begitu besarnya peranan setiausaha politik menteri di zaman dahulu seperti mana peranan Tan Sri Abdullah Ahmad (Dolah Kok Lanas) ketika menjadi Setiausaha Politik Tun Razak. Mengimbau kembali peranannya di zaman Rahim, Nordin berkata Rahim beritahunya selagi saya jadi ketua menteri, kamu ikut saya sebagai setiausaha politik. Nordin patuh kepada Rahim sehinggalah Rahim jatuh, barulah Nordin mendapat tempat bertanding di DUN Sungai Udang pada tahun 1995 hingga 1999. Beliau menang dan terus dilantik Exco Pertanian Negeri Melaka sepenggal. Nasibnya kurang baik kerana pada pilihanraya umum 1999, beliau digugurkan bertanding. Kini berusia 73 tahun beliau kelihatan sihat dan ketika kami sampai di rumahnya, beliau sedang berkebun di balakang rumahnya. Apa yang menarik pada tahun 1994, Rahim mahu Tan Sri Ali Rustam menjadi Ketua Menteri selepas beliau tetapi ada orang menasihati Rahim supaya melobi Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melantik timbalan ketua bahagian alor gajah, Datuk Mohd Zain sebagai Ketua Menteri yang baru. Katanya, jika Ali jadi Ketua menteri susah bagi rahim mahu kembali semula dalam politik Melaka. Sebaliknya kalau zain yang jadi ketua menteri, senang bagi Rahim muncul kembali dalam politik kerana sebagai timbalan ketua bahagian sudah pasti Zain setia kepada Rahim. Tapi Ali sudah ditakdirkan Allah menjadi Ketua Menteri juga selepas Datuk Abu Zahar Isnin pada tahun 1999. Lambat lima tahun kerana sepatutnya pada tahun 1994 beliau yang menggantikan Rahim Thamby Chik. Rahim berjaya membersihkan namanya apabila kesnya tidak dibawa oleh Peguam Negara ke mahkamah. Peguam Negara dapati tidak ada kes. maka Rahim mahu kembali aktif semula menjadi ketua bahagian alor gajah yang kini diketuai Zain yang juga Ketua Menteri Melaka pada tahun 1995. Rahim bercadang melawan Zain tetapi Nordin menemui Zain dan beritahunya bahawa dia cadang pujuk Rahim tanding timbalan dan beri laluan percuma kepada Zain yang sudah jadi ketua menteri. Nordin pergi temui Rahim di rumahnya di Melaka. Nordin tawarkan jawatan yang disandangnya timbalan ketua bahagian kepada Rahim dan beliau sedia tidak bertanding sebarang jawatan asalkan zain menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian. Sebagai ketua menteri tidak manis jawatan ketua bahagian dicabar. rahim setuju dengan kompromi itu di mana zain kekal ketua bahagian, rahim bertanding timbalan dan Ibrahim durum sebagai naib ketua. tetapi Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden Umno tidak mahu Rahim aktif semula dalam politik. Anwar arahkan Zain supaya memanggil Nordin bertanding timbalan menentang Rahim. Sebagai Exco yang patuh kepada ketua menteri, Nordin terpaksa melawan bekas bossnya Rahim. Sebenarnya bukan Nordin lawan rahim tapi Rahim yang mencabar Nordin kerana ketika itu beliau adalah penyandang jawatan timbalan ketua bahagian. Rahim dapat 90 undi manakala Nordin mendapat 220 undi. Beliau dianggap sebagai melawan taukeh walaupun Rahim tahu Nordin melawannya kerana arahan Anwar ibrahim. Begitulah politik tidak ada kawan yang kekal dan musuh yang abadi. Tapa rapat dengan Nordin sewaktu beliau jadi setiuasaha politik ketua menteri. Suatu hari Nordin beritahu Tapa supaya isi borang untuk dicalonkan pingat PJK. tapa sebagai wartawan majalah perempuan menerima PJK dari Yang Dipertua Negeri Melaka atas cadangan Nordin Yaani. Begitulah kawan yang menolong kawan. Walaupun kawan saya pernah jadi srtiausaha politik menteri besar tapi dia tak pernah panggil saya supaya ambil pingat walaupun kami sama sama aktif dalam politik. Tapi ketika anak saya minta kerja, dia tolong anak saya dapat kerja. Menurut Nordin Yaani, jadi setiausaha politik dahulu seronok menolong orang. Berbeza dengan sekarang ramai setiausaha politik menteri ada kepentingan perniagaan dan mereka bukan ikhlas mahu menolong rakyat.Katanya, jadi setiausaha politik lebih seronok dari exco. beliau kini menerima pencen exco dan setiuasaha politik lebih kurang RM6,00sebulan dan tak berniaga pun. Hanya beliau aktif dalam Perkasa negeri melaka sebagai Y
ang Dipertua.

Rabu, September 24, 2014

AZMIN TAKKAN LANTIK BEKAS EXCO PAS PENGKHIANAT?

PETALING JAYA, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali hari ini enggan mendedahkan barisan Exco kerajaan negeri bayangannya sehingga Jumaat. Beliau berkata ini kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mendapatkan persetujuan daripada parti sekutunya iaitu DAP dan PAS. "Adalah tidak adil untuk saya dedahkan butiran perbincangan, kerana ini melibatkan semua ketiga-tiga parti, bukan PKR sahaja," kata ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini. Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan barisan Exco kerajaan negeri Selangor, Jumaat ini. Menurut beliau, mesyuarat mengenai calon barisan Exco yang pertama sudah diadakan semalam dan kini di peringkat kedua dengan keputusan akhirnya akan dicapai esok. Ditanya respons DAP dan PAS, Mohamed Azmin berkata biarpun pemimpin tertinggi PAS sedang sibuk bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, namun beliau sentiasa berkomunikasi tentang senarai Exco. Pilihan raya kecil itu akan berlangsung esok berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos lepas. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. -- BERNAMA NMA NAA RV RHM

Selasa, September 23, 2014

MB TAK MAHU TASIK KENYIR JADI GAJAH PUTIH

KUALA TERENGANU, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan meneruskan segala projek yang dirancang sebelum ini dengan menambah baik atau disesuaikan mengikut keperluan serta keadaan semasa. Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata segala perancangan perlu ada penambahbaikan dan penyesuaian termasuk dari segi pelaksanaannya. "Sebab itu kerajaan bercadang untuk menubuhkan Majlis Pembangunan Pelancongan Negeri Terengganu, yang berperanan membantu kerajaan bagi mengenal pasti apakah keperluan yang akan dilaksanakan di Tasik Kenyir untuk memastikan tasik itu tidak menjadi projek Gajah Puteh. "Kita tidak mahu perkara yang telah kita laksanakan (zon bebas cukai Tasik Kenyir), tidak diteruskan yang nanti akan menimbulkan masalah kerana rakyat akan melihat bahawa projek itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan ada lagi yang belum dilaksanakan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di sini hari ini. Ahmad Razif berkata beliau turut mendapat komitmen daripada kerajaan pusat yang akan membantu bagi membangunkan Tasik Kenyir yang dijangka akan dibuka pada Sept tahun depan. "Kita mahu pelabur-pelabur dari luar dan dalam negara untuk sama-sama membangunkan tasik itu bagi memastikan impaknya nanti akan dapat dinikmati negeri ini dan rakyat keseluruhannya. Menjawab soalan tambahan Hanafiah Mat (PAS-Cukai) yang mencadangkan kerajaan supaya semua kerja perlu dilakukan secara tender terbuka, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan memberi perhatian serius mengenai perkara ini. Katanya ini kerana dasar kerajaan negeri Terengganu sekarang ialah berbelanja secara berhemah.

AKHIRNYA ANAK SINGAPURA JADI MB SELANGOR

SHAH ALAM, 22 Sept (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Pelantikan itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi Bernama di sini petang ini. "Ya saya sahkan surat pelantikan (sebagai menteri besar baharu) telah diserahkan kepada Mohamed Azmin padas Isnin. "Pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Mohamed Azmin dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu," katanya ketika diminta mengesahkan pelantikan Mohamed Azmin berikutan surat pelantikan itu yang tersebar luas di media sosial pada Isnin. Mohamed Azmin ketika ditemui oleh wartawan di Ibu Pejabat PKR di Damansara, lewat petang ini, turut mengesahkan menerima surat pelantikan tersebut dan menerima secara positif jawatan itu. Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada pukul 10.30 Selasa pagi. Pengesahan daripada Mohamed Azmin dan Mohamad Munir itu sekali gus menamatkan teka teki siapa pengganti Abdul Khalid bagi mengisi jawatan tertinggi pentadbiran Selangor itu. Setiausaha Sulit Sultan Selangor itu awal hari ini memberitahu Bernama bahawa nama menteri besar Selangor yang baharu hanya akan diumumkan Selasa pagi. Ini kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah belum memberi perkenan untuk pihaknya mengumumkan pelantikan itu, katanya. Ketika ditanya mengenai penyebaran surat pelantikan itu di media sosial, Mohamad Munir berkata ia berada di luar kawalannya. "Kita memang ingin umumkan nama menteri besar yang baharu esok sekali dengan penjelasan mengapa pihak istana memilih Mohamed Azmin sebagai menteri besar Selangor yang baharu. Saya tidak boleh halang jika perkara ini (penyebaran surat pelantikan) berlaku," katanya. Difahamkan, salinan surat berkenaan turut diedarkan kepada pihak media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya Isnin petang. Kandungan surat bertarikh 22 Sept (Isnin) yang ditandatangani Mohamad Munir itu antara lain memaklumkan bahawa Sultan Selangor telah berkenan melantik Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuat kuasa Selasa (23 Sept). Surat berkenaan juga meminta Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak hadir ke Istiadat Angkat Sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan menteri besar di Istana Alam Shah pada pukul 10.30 pagi pada Selasa. Sebelum ini, nama Mohamed Azmin serta dua lagi iaitu Adun Cempaka Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu. Bagaimanapun, ramalan lebih tertumpu kepada Adun Bukit Antarabangsa itu, yang genap mencapai usia 50 tahun pada 25 Ogos lepas. Ketiga-tiga Adun berkenaan telah diterima mengadap Sultan Sharafuddin baru-baru ini yang disifatkan pemerhati politik sebagai langkah untuk baginda membuat penilaian. Penggantian Abdul Khalid berlaku selepas pakatan rakyat mengambil tindakan yang dikenali sebagai "Langkah Kajang" di mana Adun Kajang Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. Bagaimanapun Anwar hilang kelayakan bertanding apabila Pendakwa Raya menang rayuan dalam kes liwat membabitkan Anwar dengan seorang pembantunya. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar bertanding dan memenangi kerusi itu. Pada 9 Ogos lepas, PKR memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu tetapi tidak diperkenan oleh pihak istana. Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008. Dalam reaksi kepada pelantikan Mohamed Azmin, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub meminta semua pihak supaya menghormati keputusan istana melantik Adun Bukit Antarabangsa itu. "Kami di pihak PAS mengambil pendekatan setiakawan dalam Pakatan Rakyat dan menghormati konsep raja berperlembagaan. "Kedua-dua pendekatan itu harus seimbang, jadi apabila pihak istana telah membuat keputusan semua pihak harus akur," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin. Sehingga berita ini ditulis, Bernama belum mendapat reaksi daripada DAP terhadap pelantikan Mohamed Azmin. Sementara itu, Naib Presiden Gerakan Datuk A.Kohilan Pillay yang menyambut baik pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor berkata timbalan presiden PKR itu kini memikul tugas besar untuk menangani kes denggi yang semakin meningkat di Selangor yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk. "Pelantikan menteri besar yang baharu tepat pada masanya tatkala pelbagai isu mendepani rakyat Selangor," katanya kepada Bernama. Kohilan, yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Gerakan Selangor berkata kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang itu perlu membina lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah untuk keperluan anak Selangor dan penduduk dari negeri lain yang telah berhijrah ke Selangor. Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Tan Sri M. Kayveas berkata semua orang perlu akur dengan perintah dan perkenan Sultan Selangor. Bagaimanapun, beliau berharap Azmin Ali dapat meneruskan usaha-usaha yang ditinggalkan oleh Abdul Khalid serta dapat melaksanakan tugas dengan baik. -- BERNAMA

Sabtu, September 20, 2014

MH370: ANIFAH SELAR LAPORAN AKHBAR ASING

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menolak dakwaan yang disiarkan sebuah akhbar asing berhubung juruterbang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. Beliau merasa kecewa dengan akhbar berkenaan yang menerbitkan berita yang tidak sah yang semata-mata berdasarkan dakwaan seorang penyiasat kemalangan udara dari New Zealand. "Teori Ewan Wilson mengenai keadaan mental Kapten Zaharie Shah adalah tidak berasas yang hanya boleh menimbulkan rasa sedih dan trauma kepada anggota keluarga dan rakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau mengulas artikel yang diterbitkan The Huffington Post UK pada 16 Sept yang memetik seorang pakar penerbangan sebagai mendakwa kemungkinan kapten pesawat MH30 'membunuh diri' kerana sakit mental dan tindakan beliau telah menyebabkan mereka di dalam pesawat terkorban. "Tiada perasaan dan pertimbangan diberikan kepada orang tersayang mangsa yang masih menunggu khabar berita tentang kehilangan pesawat dan kesedihan yang timbul. "Ketika pengakhiran kepada peristiwa itu belum dicapai dan siasatan masih dijalankan, namun Huffington Post merasa sesuai pula untuk menerbitkannya tanpa memikirkan tentang perasaan dan kesedihan mereka yang terlibat dalam insiden berkenaan," katanya. Wilson, seorang juruterbang komersial veteran yang juga penulis buku 'Good Night Malaysian 370: The Truth Behind The Loss Of Flight 370', turut mendakwa terdapat lima lagi insiden pembunuhan dan membunuh diri melibatkan penerbangan komersial. Pesawat Malaysia Airlines MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL menuju Beijing. -- BERNAMA NAN RV HM

Selasa, September 16, 2014

TPM LANCAR PERODUA AXIA

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Perodua Axia, model terbaharu keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., (Perodua) yang merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara dilancarkan secara rasmi hari ini. Pelancaran tersebut yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, melambangkan kejayaan Perodua dalam menghasilkan model ke-10 syarikat itu sejak ditubuhkan pada tahun 1993. Model Axia yang turut digelar kereta kompak hijau didatangkan dalam empat varian iaitu Standard E, Standard G, Edisi Khas dan Advance dengan jaminan pengeluaran selama lima tahun. Berkonsepkan EEV, Perodua Axia dengan kuasa enjin 1.0 liter mampu memberi penjimatan bahan api sehingga 21.6 kilometer bagi setiap liter dan ditawarkan dengan pelbagai fungsi unik. Dengan menyasarkan pengguna daripada pelbagai peringkat kumpulan, Perodua Axia ditawarkan pada harga atas jalan bermula serendah RM24,900 hingga RM45,300 sebuah bagi pasaran Semenanjung Malaysia. Perodua Axia merupakan model pertama dihasilkan di kilang baharu Perodua yang juga berkonsepkan cekap tenaga iaitu Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. dengan sokongan syarikat pengeluar kereta Jepun, Daihatsu Motor Company. Yang turut hadir sempena pelancaran itu ialah Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa dan Pengerusi Daihatsu Motor, Koichi Ina. Muhyiddin ketika berucap dalam majlis itu berkata, kesanggupan untuk melabur dalam industri automotif seperti yang dilakukan Perodua mampu membantu mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kenderaan EEV menjelang 2020 seperti termaktub dalam Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) 2014. "Bagi Malaysia, harapan kami bukan sahaja menjadi hab EEV pada tahun 2020 tetapi merangkumi kitaran industri automotif hijau. "Model baharu ini akan meletakkan penanda aras dalam soal kualiti, pengurusan kos serta produktiviti dalam pasaran EEV dan Perodua telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing serta berkembang di negara ini," katanya. Sementara itu, beliau berkata, industri automotif merupakan antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah RM30 bilion pada tahun lalu serta menawarkan sebanyak 550,000 peluang pekerjaan. Menurutnya, sebanyak 150,000 peluang pekerjaan baharu dalam industri itu dijangka diwujudkan menjelang 2020 dengan 80 peratus daripadanya merupakan pekerja mahir dan separuh mahir tempatan.

Isnin, September 15, 2014

PAS SENGAJA PERLEKEH GELARAN USTAZ CALON BN

TUMPAT, 15 Sept (Bernama) -- Tindakan PAS memperlekehkan gelaran ustaz pada Mat Razi Mat Ail disifatkan sebagai sengaja untuk menghina calon Barisan Nasional (BN) kerana calon mereka bukan dalam kalangan ustaz pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor. Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata tindakan PAS itu juga menunjukkan kedangkalan parti itu tentang gelaran sebenar ustaz yang merujuk kepada maksud sebagai tuan, guru, ketua ataupun profesor jika di Mesir. "Tak perlu timbul masalah ini. Yang penting calon BN sendiri tidak pernah mendakwa dirinya ustaz. Mungkin dia buka madrasah dan sebab itu dipanggil masyarakat sekeliling sebagai ustaz. "Artis-artis yang masuk PAS juga digelar ustaz dan ustazah...tidak ada siapa pun nak mempertikaikannya," katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Telaga Bata di sini, hari ini. Sebelum ini PAS mempertikaikan gelaran ustaz diberikan kepada Mat Razi yang disifatkan tidak layak diberi gelaran itu kerana calon BN itu bukan seorang guru agama sepenuh masa. Fathul Bari mendakwa tindakan PAS itu juga sebenarnya bertujuan untuk membunuh karektor calon BN. "Ini semata-mata mahu membunuh karektor calon BN. Ini bukan cara Islam yang sepatutnya kita bersaing secara sihat dan bukannya mengkritik gelaran itu atau cara memakai jubah dan berkopiah calon BN ini," katanya. Beliau berkata PAS perlu melihat kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebelum ini yang menyebut syarat menjadi menteri besar sendiri tidak menyebut ia semestinya seorang ulama. PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 25 Ogos lepas akibat kanser hati. Mat Razi akan ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. Hari pengundian ditetapkan 25 Sept ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. -- BERNAMA ZBI AZE RHM

HADI DAKWA PAS TAK BERANI SALAHGUNA WANG RAKYAT

TUMPAT, 15 Sept (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa parti itu berjaya memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun kerana pandai berjimat cermat dalam perbelanjaan. Beliau berkata itulah rahsia pimpinan PAS di Kelantan yang menurutnya tidak berani menyalahgunakan wang kerana bimbangkan dosa dan pahala. "Inilah rahsianya, (pemimpin PAS) tidak terlibat dengan rasuah, tidak terlibat dengan salah laku dan tidak terlibat dengan macam-macam lagi," katanya dalam ceramah pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini lewat malam tadi. Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan tidak melakukan perkara yang salah dan mendakwa hanya parti itu yang memperjuangkan agama Islam di negara ini yang tidak memisahkan antara agama dan politik. Beliau kemudian menggunakan pentas ceramah tersebut untuk mencaci Umno dengan mengatakan anggota parti itu boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka kerana Umno memisahkan agama dan politik. Walaupun sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa isu royalti minyak tidak harus dijadikan modal untuk berkempen pada pilihan raya kecil ini kerana ia sudah menjadi kes mahkamah, namun Abdul Hadi masih berdegil dan menyentuh perkara itu. Pada PRK DUN Pengkalan Kubor, calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, 48, akan ditentang calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47. PRK itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat BN Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. Hari pengundian ditetapkan 25 Sept. -- BERNAMA RHO BD RHM

Ahad, September 14, 2014

GELARAN USTAZ DIBERI OLEH MASYARAKAT KATA MAT RAZI

TUMPAT, 14 Sept (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail berkata beliau tidak meminta dipanggil 'ustaz', namun itu gelaran yang diberikan masyarakat atas khidmat bakti beliau membina Pondok Agama Simpangan di sini. Mat Razi berkata walaupun beliau merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pengurusan Sekolah) Tumpat dan berpakaian formal ketika berada di pejabat, namun ia tidak menghalang beliau memakai jubah di rumah. "Soal panggilan adalah perkara biasa dan bukan satu masalah kepada saya. Kita sebagai pegawai kena pakai pakaian rasmi bila bertugas. Bila di rumah saya berjubah dan perkara ini bukan dilakonkan. Kalau esok nak diumum jadi calon hari ini baharu nak berjubah, ia akan nampak 'kekok'," katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk di Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Telok Jering di sini, hari ini. Mat Razi, 48, menjawab tuduhan dilemparkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang menganggap beliau tidak layak dipanggil ustaz kerana pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berpakaian formal ketika menjalankan tugas. Laporan media sebelum ini melaporkan Wan Rosdi memperlekehkan Mat Razi dengan menuduh bekas pegawai kerajaan itu sebagai ustaz yang kurang kewibawaannya seperti digembar-gemburkan. Mengulas mengenai penerimaan masyarakat terhadap beliau, Mat Razi berkata penerimaan masyarakat setakat ini amat baik dan ada yang bersyukur selepas beliau diumumkan sebagai calon BN bagi DUN itu. "Ini mungkin kerana saya sentiasa bersama Allahyarham (Datuk Noor Zahidi Omar) membantu penduduk terutama dalam soal pendidikan anak-anak di sini," katanya. Dalam pada itu, Mat Razi sekali lagi mengulangi pendirian beliau untuk terus membantu masyarakat dalam DUN Pengkalan Kubor bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Noor Zahidi. "Insya Allah jika saya dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya akan teruskan projek-projek terbengkalai yang tidak sempat disempurnakan oleh Allahyarham selepas beliau jatuh sakit," katanya.
PRK DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47. PRK DUN itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas. Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 25 Sept ini. -- BERNAMA FBA BD MK

Sabtu, September 13, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: PEMUDA TIDAK KECEWA

TUMPAT, 13 Sept (Bernama) -- Pemuda Umno tidak seharusnya patah semangat apabila Ketua Pemuda Umno Bahagian Tumpat Rosidi Kamarudin Mahmod tidak dipilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor. Sebaliknya Ketua Pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata Pemuda Umno akan memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail untuk memenangi pilihan raya PRK itu pada 25 Sept ini. "Kita sokong siapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti," katanya semasa berucap melancarkan skuad pemuda bermotosikal di perhentian bas Tumpat di sini, Sabtu. Turut hadir Rosidi yang sebelum ini disebut-sebut antara mereka yang layak bertanding pada PRK itu. Mat Razi, 48, bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat ditentang calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, dan calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47. PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. Khairy berkata mulai hari ini jentera pemuda mesti bekerja kuat sehingga ke hari pengundian bukan sahaja setakat untuk menang sahaja tetapi mahu kemenangan dengan mendapat majoriti yang lebih besar. Beliau berkata undi dari golongan muda boleh menjadi penentu kemenangan disebabkan 45 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan itu terdiri daripada golongan muda. Sejumlah 24,039 pemilih berdaftar terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH) layak mengundi pada PRK itu. Katanya pemuda mesti menjadi benteng di hadapan untuk menghadapi parti lawan termasuk penyebaran fitnah sepanjang kempen seperti tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri. -- BERNAMA