Memaparkan catatan dengan label adun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adun. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 28, 2016

PRK SUNGAI BESAR: ADUN SUNGAI PANJANG VS ADUN MERU


SUNGAI BESAR, 27 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO di hadapan kira-kira 2,000 penyokong itu pelancaran jentera PKR itu di Pusat Arahan BN di Sungai Panjang, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Budiman diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, selepas mengambil kira pelbagai aspek.

"Apa yang penting, calon ini disenangi oleh semua peringkat terutama akar umbi dan diterima oleh rakan-rakan dari semua kaum.

"Kombinasi semua ini akan menjadi faktor penentu kemenangan BN di PRK Parlimen Sungai Besar nanti.

"Terlalu ramai layak jadi calon dan kita pilih anak tempatan yang boleh jalankan tugas dengan baik, muda, berkaliber serta boleh meneruskan kerja-kerja wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon," katanya.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di sini, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.



Sementara itu PAS mengumumkan Abdul Rani Osman ADUN Meru sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, sebentar tadi.

Turut hadir naib presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga pesuruhjaya PAS Selangor, anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga ketua pemuda PAS dan Presiden IKATAN Tan Sri Shiekh Kadir Fadzir.

"Ini pilihan raya kecil dan kita memerlukan tokoh yang terjun bersama rakyat.

"Calonnya adalah Dr Abdul Rani Osman. Saya difahamkan, beliau ada darah Banjar dan Jawa. Semua anak Adam," kata Hadi disambut laungan takbir.

Abdul Rani merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan ADUN Meru sejak 2008.

Sebelum mencerubi politik, Rani menjalankan sebuah klinik swasta 'Fitrah' di pekan Meru.


Sementara itu, Abdul Rani sewaktu berucap berjaya memukau hadirin yang hadir apabila dalam ucapannya turut diselitkan dengan bahasa Jawa.

Pakatan Harapan sehingga kini masih belum menentukan parti serta calon yang akan bertanding bagi kedua-dua PRK tersebut.

Selasa, September 30, 2014

TIMBALAN SPEAKER JEJAS ADUN, JADI EXCO TAK JEJAS ADUN PULA

SHAH ALAM: Kesibukan tugas seorang timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan faktor PAS mungkin menolak kerusi itu, lapor portal Selangor Kini. Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata meskipun keputusan belum dibuat mengenai perkara tersebut, jika PAS menolak tawaran itu, ia kerana faktor kesibukan kerja. Katanya jawatan itu dilihat bakal menjejaskan peranan mereka untuk berkhidmat sepenuhnya sebagai wakil rakyat. "Jika PAS menolak, ia kerana PAS mahu semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang tidak dilantik menjadi exco berperanan sepenuhnya sebagai Adun di dalam Sidang Dewan Negeri dan tidak sibuk dengan tugas timbalan speaker,” dia dipetik sebagai berkata. Katanya keputusan untuk tawaran tersebut akan diumumkan sebelum Sidang DUN Selangor pada November akan datang. Pelantikan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali minggu lalu menyaksikan rombakan barisan kepimpinan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Dalam barisan exco negeri terbaru, tiga Adun PAS dilantik sebagai exco berbanding empat sebelum ini. Ini dilihat menimbulkan lagi konflik sedia ada Pakatan Rakyat dalam isu Selangor. Namun Azmin mempertahankan tindakannya dengan menyatakan kerusi tersebut akan diberikan kepada exco PAS yang tidak dilantik semula. Jawatan timbalan speaker dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang dari empat exco PKR. Semalam, memetik daripada laman Facebook beliau, Iskandar yang juga Adun Chempaka turut membuat kenyataan sama dengan menegaskan masih belum ada sebarang kata putus berhubung tawaran tersebut. Perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam pertemuan exco dan mantan exco PAS dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam semalam, kata Iskandar.

Selasa, Disember 07, 2010

ADUN BUAT FITNAH TAK DAPAT PERUNTUKAN


Semalam Teganuku memperkatakan ‘Setengah ADUN Terengganu Tidak Reti Bersyukur? ‘ sebagai entri awal memperkatakan mengenai tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mendakwa peruntukan untuk mereka tidak memadai bagi melaksanakan program untuk rakyat.

Beberapa ADUN BN dikatakan membuat laporan kepada pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kononnya peruntukan tidak sampai ke kawasan mereka untuk melaksanakan projek bagi kemudahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan terkejut apabila mendapat maklumat mengenai tindakan segelintir ADUN berkenaan.

Pertanyaan kini berlegar mengenai siapakah ADUN berkenaan dan benarkah mereka tidak mendapat peruntukan sedemikian?

Difahamkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menyediakan laporan penuh bagi dikemukakan kepada Menteri Besar mengenai peruntukan tahunan untuk ADUN sejak 2008 hingga akhir tahun ini.

Teganuku bertanyakan beberapa ADUN mengenai peruntukan selain menyelidik beberapa kenyataan Ahmad Said mengenai perkara itu sama ada melalui kenyataan akhbar, ucapan Bajet tahunan juga kenyataan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Seperti dilaporkan semalam, peruntukan yang diberikan sebenarnya cukup, malah kadangkalanya Menteri Besar bermurah hati untuk menambah peruntukan untuk musim perayaan dan sebagainya.

Perkara ini diakui oleh beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang ditemui.

Memang benar peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar untuk ADUN bertambah 100 peratus dalam tempoh dua tahun – 2008 dan 2010.

Bantuan Am untuk setiap ADUN pada 2008 ialah RM200,000 kini menjadi RM400,000 setiap DUN sementara Bantuan Pembangunan pula juga bertambah pada jumlah yang sama.

Ini bermakna setiap DUN di bawah BN mendapat RM800,000 setahun pada 2010, iaitu pertambahan sekali ganda berbanding RM400,000 pada 2008.

Pada dasarnya peruntukan untuk ADUN dan Pegarah Pembangunan DUN ( di kawasan yang dimenangi pembangkang, peruntukan adalah seperti berikut:

Bantuan Am:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM250,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Bantuan Pembangunan:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Selain bantuan ini, mulai tahun 2010 setiap Ahli Parlimen / Pegawai Pembangunan Parlimen diberi peruntukan Bantuan Am sejumlah RM200,000.00 kecuali Parlimen Kuala Terengganu yang menerima RM400,000.00.

Exco juga dikatakan menerima tambahan peruntukan Bantuan Am sebagaimana berikut:

i) Tahun 2008 - RM250,000.00 setiap EXCO
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap EXCO
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap EXCO

Apa yang menarik di Terengganu, setiap ADUN dan PPD turut menerima bantuan seperti Peruntukan Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah mulai 2010 sebanyak RM50,000 bagi setiap DUN.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan Ihya Ramadhan (untuk Exco & ADUN) mulai tahun ini (2010) iaitu RM10,000.00 setiap Exco dan RM 8,000.00 bagi setiap ADUN.

Malah Menteri Besar turut bersetuju menaikkan Peruntukan Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Exco & ADUN) seperti berikut:

i) Tahun 2008 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
(kecuali YB. Toh Chin Yaw RM5,000.00)
Tahun 2008 - RM 6,000.00 setiap ADUN

ii) Tahun 2009 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2009 - RM 6,000.00 setiap ADUN

iii) Tahun 2010 - RM15,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2010 - RM10,000.00 setiap ADUN

Apakah peruntukan seperti ini belum mencukupi untuk ADUN Terengganu?

Berapakah lagi jumlah yang perlu mereka dapati untuk menjamin mampu berkhidmat kepada rakyat?

Atau apakah sesetengah ADUN ini jenis tamak. tidak tahu berterima kasih?

(dipetik dari www.teganuku.blogspot.com)

Sabtu, Julai 17, 2010

MUHYIDDIN KECEWA SIKAP EMPAT ADUN


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh empat wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang, Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Muhyiddin disambut kehadirannya bagi merasmikan mesyuarat tersebut.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

Rabu, September 02, 2009

ADUN PONTENG BERSYUKUR


"Saya bersyukur kerana masih dapat meneruskan khidmat kepada rakyat dan pengundi di Kota Siputeh serta tidak dihukum dengan perkara yang bukan sengaja saya lakukan."


Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.


Abu Hasan berkata, sebagai ahli politik veteran, beliau telah bersedia untuk menerima sebarang keputusan SPR tetapi simpati memikirkan nasib pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang berasa gelisah dengan kes berkenaan.


"Kes yang menimpa saya ini ada hikmahnya. Ujian yang dihadapi ini membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk meningkatkan usaha bagi menabur bakti kepada penduduk di DUN Kota Siputeh," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kampung Teluk Tenggiri di Jerlun semalam.


Abu Hasan memberitahu, dia dimaklumkan masih kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selepas dihubungi oleh ADUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ketua Pembangkang negeri pada pukul 4.40 petang ini.


Katanya, sepanjang dua minggu sejak Abdul Isa memaklumkan kesnya itu kepada SPR, beliau tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat seperti biasa.


Menurut beliau, kesnya itu tidak merungsingkannya kerana sebagai manusia biasa, beliau reda dengan sebarang ketentuan daripada Allah SWT.


Dalam pada itu, beliau mahu kesnya itu dijadikan peringatan oleh semua wakil rakyat di negara ini supaya tidak lalai untuk memaklumkan segera kepada Speaker jika mereka tidak dapat hadir ke persidangan DUN.
"Dengan keputusan SPR hari ini, saya mengingatkan ADUN-ADUN supaya lebih berhati-hati mengenai kes seumpama ini kerana ia merupakan kes pertama kali berlaku dalam sejarah negara," katanya.