Memaparkan catatan dengan label ponteng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ponteng. Papar semua catatan

Khamis, November 23, 2017

JANGAN CALONKAN SEMULA AHLI PARLIMEN YANG PONTENG

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Tindakan dalaman telah diambil terhadap anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga telah menasihatkan anggota Parlimen BN supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

"Yang penting kita menang tetapi sebenarnya saya telah ambil tindakan...tindakan dalaman. Saya telah menasihatkan mereka, mereka harus lebih serius hadiri persidangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan Parlimen, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian berkenaan.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan itu sebelum ia berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Ulasan saya, tindakan dalaman kepada mereka yang ponteng persidangan Dewan Rakyat itu tidak memadai. Mereka hendaklah tidak dicalonkan semula dalam PRU akan datang sebagai hukuman serius kepada mereka yang memalukan imej BN kecuali mereka ada tugas rasmi di luar.


Selasa, Disember 15, 2009

APABILA 71 AHLI PARLIMEN BN PONTENG


Bajet 2010, belanjawan sulung yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas dilantik sebagai Perdana Menteri April lalu, diluluskan dengan perbezaan undi amat tipis oleh Dewan Rakyat lewat malam tadi.

Bacaan kali ketiga diluluskan dengan 66 menyokong manakala 63 menolak — menjadi ujian kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Difahamkan ini kali pertama satu bajet diluluskan dengan perbezaan undi yang tipis, di mana jika ditolak boleh membawa implikasi negatif terhadap kerajaan pimpinan BN.

Pembangkang menganggap ia sebagai satu "kejayaan besar" buat PR yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dikatakan hampir 'berjaya' untuk menumbangkan kerajaan BN.

The Malaysian Insider difahamkan pemimpin tertinggi kedua-dua BN dan PR telah segera mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas wakil-wakil mereka yang tidak berada di Parlimen malam tadi.

Berdasarkan amalan kerajaan demokratik, jika bajet tidak diluluskan ia boleh dianggap sebagai keputusan undi tidak percaya terhadap kerajaan semasa, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan yang baru.

Sebelum undian bacaan kali ketiga berlangsung, bajet itu diluluskan dengan perbezaan satu undi ketika ia melibatkan perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri — kementerian terakhir di peringkat jawatankuasa kali ini.

Pakatan pernah mempertimbangkan pendekatan ini ketika membahaskan Bajet 2009 tahun lalu selepas usaha projek 16 September Anwar gagal.

Perkembangan itu dikatakan telah mencetuskan suasana cemas di Parlimen malam tadi sehingga Najib terpaksa bergegas ke Parlimen untuk mengambil bahagian dalam sesi pengundian.

Turut mengambil bahagian dalam undian bacaan kali ketiga ialah Najib yang dilaporkan bergegas ke Parlimen selepas berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini malam tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga bergegas ke Parlimen dari lokasi majlis tersebut.

Kini, BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat manakala PR 82 manakala tiga yang lain adalah Bebas.

Dewan Rakyat ditangguhkan kira-kira 11.15 malam tadi selepas bacaan kali ketiga diluluskan.

Najib membentangkan Bajet 2010 bernilai RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyatpada 23 Oktober lalu.

Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan 1 Malaysia, Kemakmuran Bersama memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub ketika mengulas perkembangan tersebut berkata ia menunjukkan bahawa kehadiran PR semakin dirasakan.

"Kehadiran kami dirasakan... kami telah menunjukkan satu indikator penting malam ini (malam tadi)," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS kepada The Malaysian Insider.

"Keputusan (dengan perbezaan) satu undi di peringkat jawatankuasa dan tiga undi di peringkat bacaan kali ketiga telah memberi satu keyakinan bahawa kami boleh melakukan sesuatu yang signifikan di Parlimen... bahawa PR menjadi pakatan alternatif yang serius," katanya lagi.

"Kalau mengikut amalan House of Commons, jika bajet (2010) ditolak bermakna wujudnya undi tidak percaya terhadap kerajaan semasa," katanya.

Jawatankuasa buat Kementerian Kementerian Dalam Negeri adalah yang terakhir sebelum dibacakan kali ketiga.

Difahamkan suasana cemas itu bermula sebaik sahaja selesai sesi penggulungan peringkat Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Seperti lazimnya, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan kaedah meminta suara ahli sama ada bersetuju ataupun menolak.

Memandangkan kehadiran anggota Dewan Rakyat kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang selalu tidak penuh, maka Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng mengesyorkan agar undi belah bahagian dijalankan.

Ketika syor itu diluluskan kehadiran wakil rakyat PR dilihat begitu ramai berbanding BN.

Apabila pengundian dijalankan ke atas perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri, ia diluluskan dengan 64 menyokong manakala 63 menolak.

Situasi yang sama berulang semasa pengundian bacaan kali ketiga dilangsungkan atas permintaan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M. Kulasegaran agar undi belah bahagian dijalankan.

Kali ini Bajet 2010 diluluskan dengan 66 menyokong manakala 63 menolak.

Rabu, September 02, 2009

ADUN PONTENG BERSYUKUR


"Saya bersyukur kerana masih dapat meneruskan khidmat kepada rakyat dan pengundi di Kota Siputeh serta tidak dihukum dengan perkara yang bukan sengaja saya lakukan."


Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.


Abu Hasan berkata, sebagai ahli politik veteran, beliau telah bersedia untuk menerima sebarang keputusan SPR tetapi simpati memikirkan nasib pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang berasa gelisah dengan kes berkenaan.


"Kes yang menimpa saya ini ada hikmahnya. Ujian yang dihadapi ini membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk meningkatkan usaha bagi menabur bakti kepada penduduk di DUN Kota Siputeh," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kampung Teluk Tenggiri di Jerlun semalam.


Abu Hasan memberitahu, dia dimaklumkan masih kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selepas dihubungi oleh ADUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ketua Pembangkang negeri pada pukul 4.40 petang ini.


Katanya, sepanjang dua minggu sejak Abdul Isa memaklumkan kesnya itu kepada SPR, beliau tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat seperti biasa.


Menurut beliau, kesnya itu tidak merungsingkannya kerana sebagai manusia biasa, beliau reda dengan sebarang ketentuan daripada Allah SWT.


Dalam pada itu, beliau mahu kesnya itu dijadikan peringatan oleh semua wakil rakyat di negara ini supaya tidak lalai untuk memaklumkan segera kepada Speaker jika mereka tidak dapat hadir ke persidangan DUN.
"Dengan keputusan SPR hari ini, saya mengingatkan ADUN-ADUN supaya lebih berhati-hati mengenai kes seumpama ini kerana ia merupakan kes pertama kali berlaku dalam sejarah negara," katanya.

Selasa, September 01, 2009

SEMUA YB BOLEH PONTENG


Semua ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) boleh pontengi sidang Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan negeri selepas ini tanpa perlu takut mereka kehilangan jawatan.


Ini adalah kerana mereka tidak perlu mengosongkan kerusi seperti yang berlaku pada kes ADUN Kota Siputeh, kedah. Keputusan SPR ini memberi galakan kepada semua wakil rakyat untuk ponteng sidang dewan tanpa memaklumkan kepada Speaker. Syabas SPR yang suka lihat wakil rakyat ponteng. Kalau tak nak datang sidang dewan, tak payah jadi wakil rakyatlah.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan bahawa tiada kekosongan berlaku pada kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh di Kedah.


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kerusi itu masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sharif yang memenanginya pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas.


Katanya SPR dalam mesyuaratnya pada Selasa sebulat suara memutuskan bahawa Adun Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.


"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh Adun Kota Siputeh diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.


Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.SPR pada 17 Ogos lalu menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail berhubung kekosongan luar jangka yang dikatakan berlaku di kerusi Kota Siputeh.


Pemakluman itu menyatakan bahawa Adun kawasan berkenaan, Abu Hassan gagal menghadiri sesi DUN dengan tidak memperoleh kebenaran Speaker sebanyak dua kali berturut-turut, sekaligus menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.


Dalam hal ini, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.