Rabu, September 02, 2009

ADUN PONTENG BERSYUKUR


"Saya bersyukur kerana masih dapat meneruskan khidmat kepada rakyat dan pengundi di Kota Siputeh serta tidak dihukum dengan perkara yang bukan sengaja saya lakukan."


Itu reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.


Abu Hasan berkata, sebagai ahli politik veteran, beliau telah bersedia untuk menerima sebarang keputusan SPR tetapi simpati memikirkan nasib pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut yang berasa gelisah dengan kes berkenaan.


"Kes yang menimpa saya ini ada hikmahnya. Ujian yang dihadapi ini membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk meningkatkan usaha bagi menabur bakti kepada penduduk di DUN Kota Siputeh," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kampung Teluk Tenggiri di Jerlun semalam.


Abu Hasan memberitahu, dia dimaklumkan masih kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selepas dihubungi oleh ADUN Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ketua Pembangkang negeri pada pukul 4.40 petang ini.


Katanya, sepanjang dua minggu sejak Abdul Isa memaklumkan kesnya itu kepada SPR, beliau tetap menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat seperti biasa.


Menurut beliau, kesnya itu tidak merungsingkannya kerana sebagai manusia biasa, beliau reda dengan sebarang ketentuan daripada Allah SWT.


Dalam pada itu, beliau mahu kesnya itu dijadikan peringatan oleh semua wakil rakyat di negara ini supaya tidak lalai untuk memaklumkan segera kepada Speaker jika mereka tidak dapat hadir ke persidangan DUN.
"Dengan keputusan SPR hari ini, saya mengingatkan ADUN-ADUN supaya lebih berhati-hati mengenai kes seumpama ini kerana ia merupakan kes pertama kali berlaku dalam sejarah negara," katanya.