Khamis, September 24, 2015

PAS UTAMAKAN GAJI EXCO DARIPADA PERJUANGAN DI SELANGOR?

 Anggota exco daripada PAS masih kekal dalam kerajaan Selangor dan tiada sebarang perubahan dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri buat masa ini, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu walaupun terbentuk pakatan pembangkang baharu semalam dikenali sebagai Pakatan Harapan, tanpa penyertaan PAS.

Pakatan baharu itu disepakati PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

"Pembentukan gabungan itu hanya melibatkan perancangan politik (pakatan) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ia tiada kaitan dengan PAS dan pentadbiran negeri di Selangor...ini perancangan masa depan parti-parti politik untuk hadapi cabaran-cabaran semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wifi Selangorku di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai status anggota exco PAS negeri ini dengan penubuhan pakatan baharu tersebut.

Penubuhan Pakatan Harapan itu diumumkan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada sidang media di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata PAS dialu-alukan untuk turut serta dalam pakatan tersebut.

"Kita sedang berbincang belum lagi tutup pintu...PKR berpendirian pintu masih terbuka untuk PAS," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, barisan Exco dari PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor kekal memegang jawatan mereka dan akan melaksanakan tugas seperti biasa.

Ahmad Yunus yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi negeri berkata, sehingga kini tiada sebarang keperluan untuk mengadakan mesyuarat atau pertemuan bagi membincangkan kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.

"Semua Exco PAS akan kekal dan menjalankan tugas kami seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain Ahmad Yunus, dua lagi anggota exco PAS negeri ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan pesuruhjaya PAS Selangor (exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar) serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Mengulas isu ini, saya berpendapat dalam soal ini PAS kena tegas kerana ia sudah buat keputusan tidak mahu menyertai Pakatan Harapan.

Maka semua ADUN PAS tidak perlu lagi menyokong kerajaan PKR di Selangor. Jika PAS menarik diri, ini bermakna kerajaan PKR akan tumbang dan Azmin mungkin terpaksa meminta Sultan Selangor membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Atau adakah Exco PAS sayang kepada gaji dan elaun mereka masih lagi mahu menyertai kerajaaan PKR. Dalam perjuangan PAS kena istiqomah maka sudah sampai masanya bagi PAS keluar dari menyertai kerajaan PKR.  Kalau mereka masih dalam kerajaan Selangor, ini bermakna mereka lebih pentingkan kebendaan dqaripada perjuangan Islam.