Sabtu, Jun 29, 2019

AHLI POLITIK KENA BERUBAH JANGAN AMBIL RASUAH



SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Ahli politik di negara ini perlu bebas rasuah sebagai langkah permulaan untuk mencapai negara bebas rasuah," kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.



Beliau berkata, ia kerana kegiatan rasuah terbesar dalam negara dipercayai melibatkan ahli politik selain berlaku dalam kalangan pengurusan parti politik itu sendiri.



"Pihak pertama yang kena berubah adalah ahli politik… mereka ini yang kena berubah kalau mahu orang lain berubah (tidak mengamalkan rasuah).



"Banyak kegagalan amalan mereka (untuk mencegah rasuah), mungkin mereka terlupa atau buat-buat lupa atau tidak sengaja termasuk berkaitan political funding," katanya dalam program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.



Abu Kassim berkata, dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini yang tegas memerangi rasuah, beliau yakin gejala rasuah dalam kalangan ahli politik dapat dibendung.



Pendekatan itu termasuk melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) sebagai usaha komited ke arah negara bebas rasuah.



"Antara langkah itu juga, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan anggota Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka.



"Sebelum ini (kerajaan terdahulu), susah nak isytiharkan harta, tetapi hari ini kesemua anggota Parlimen telah mengisytiharkan harta mereka masing-masing," katanya.



Dalam pada itu, Abu Kassim meminta semua pihak memberi peluang kepada Latheefa Beebi Koya untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu dikritik hanya kerana beliau pernah mengganggotai parti politik.



"Beri sokongan kepada Latheefa, bukan nilai beliau dengan mengkritik di mana asal usul beliau... tapi siapa beliau, ketegasannya, sikap berkecuali, 'fear or favour' orang itu, ia harus diberi sokongan.



"Lantikan Latheefa ikut kaedah sedia ada, memang perlu libatkan Parlimen tapi garis panduan itu belum sempurna prosesnya. (Datuk Seri) Mohd Shukri Abdull maklumkan kepada Dr Mahathir, kerjanya sudah selesai, jadi Perdana Menteri lantik Latheefa guna proses sedia ada," katanya.



Latheefa, 46, dilantik ke jawatan itu menggantikan Mohd Shukri, selepas Mohd Shukri memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.



Susulan pelantikan itu juga, Latheefa keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Jun lepas, berkuatkuasa serta merta.



-- BERNAMA

Jumaat, Jun 28, 2019

PAS TAK KAN SERAH KERUSI KEPADA UMNO

TANAH MERAH, 27 Jun (Bernama) -- Kerjasama Umno dan Pas lebih kepada dendam khususnya parti Umno selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata rakyat harus melihat adakah gabungan terbabit untuk perjuangan Melayu atau sebagai matlamat selamatkan periuk nasi pemimpin parti yang terbabit.

"Perlu ingat kedua-dua parti itu mempunyai ideologi dan fahaman berbeza serta matlamat politik mereka tidak akan ke mana-mana jika fahaman mereka tidak sehaluan.

"Jika benar gabungan itu untuk Melayu maka kita serahkan apa tindakan mereka seterusnya dan rakyat sendiri perlu membuat penilaian," katanya pemberita selepas merasmikan majlis Hari Potensi Tadika Kemas Tanah Merah di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Ipoh di sini, hari ini.

Mohamad Suparadi berkata kerjasama itu hanya dibincangkan diperingkat jawatankuasa tertinggi dan tidak secara menyeluruh.

"Ia hanya dibentangkan dalam Muktamar Pas begitu juga Umno hanya bercakap perkara itu dalam ceramah-ceramah politik sahaja.

"Pada pandangan masyarakat ia masih tidak jelas dan setakat ini tiada perjanjian secara persefahaman secara rasmi," katanya.

Beliau berkata dengan gabungan itu juga mungkin akan berlaku perebutan kerusi antara Pas dan Umno.

"Kemungkinan akan berlaku perebutan kerusi di peringkat Parlimen dan di Kelantan sendiri saya yakin Pas tidak semudahnya akan menyerahkan kerusi yang mereka sandang kepada Umno sewenangnya.

"Begitu juga sebaliknya di peringkat pusat, Pas juga mungkin akan bertindak sebaliknya kerana mereka juga sebelum ini sudah lama keinginan membina sebuah kerajaan di peringkat pusat sendiri," katanya.

Katanya bagaimanapun PH perlu lebih bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang dalam usaha memenangi hati rakyat.

"Mungkin sebelum ini, PH belum cukup sedia sepenuhnya di Kelantan namun untuk kali ini kami buktikan yang kami juga mampu menunjukkan kemampuan memimpin di negeri ini.

"Berilah kami masa kerana baru setahun sahaja PH memerintah dan jika tidak mampu tunai manifesto maka rakyat boleh buat keputusan dan memilih kerajaan yang mereka mahukan," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Jun 27, 2019

TAK HABIS HABIS DENGAN PENYERAHAN JAWATAN PM

oleh SHAHBUDDIN EMBUN

Sejak kebelakangan ini, ada pulak pihak yang sibuk menimbulkan isu siapakah Perdana Menteri (PM) Malaysia ke 8. Sebenarnya ini bukan satu isu pun kerana sudah dipersetujui yang Tun Mahathir bakal menyerahkan tugas dan tanggungjwan ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biarlah segala yang dirancang ini berjalan dengan baik tanpa sebarang masaalah.


Namun memandangkan kita tinggal di sebuah negara yang bergelar Malaysia, maka akan timbullah pelbagai andaian dan spekulasi tentang jawatan PM ini. Sebenarnya isu tentang PM bukan hanya berkisar pada siapakah yang bakal menerajui kempimpinan negara, tetapi juga pernah dijadikan isu tentang bangsa bukan Melayu yang boleh menjadi PM.


Apatah lagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga merupakan hak PM dan ini memungkinkan jawatan TPM juga boleh dipegang oleh bangsa bukan Melayu. Di negara kita jawatan TPM sama seperti jawatan Ketua Setiausaha Negara dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, iaitu ianya merupakan jawatan ‘ciptaan’ pentadbiran dan tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Jika dilihat pada Perlembagaan Persekutuan, memang tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa bukan Melayu tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam pentadbiran, Parlimen atau badan kehakiman. Namun secara hakikat dan realistiknya Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya juga mestilah seorang Melayu yang beragama Islam .


Ini disebabkan oleh faktor yang paling jelas iaitu majoriti penduduk negara ini terdiri daripada bangsa Melayu yang juga merupakan penduduk asal Tanah Melayu . Perlu diingatkan juga bahawa nama Malaysia sebelum merdeka adalah Tanah Melayu. Dan jika dilihat dari sudut sejarah, pihak penjajah iaitu Brirtish juga telah mengikitraf Malaysia sebagai Malay States.
Dan jika kita lihat dari segi sejarah yang lebih silam, maka negara ini pernah diperintah oleh golongan yang bergelar raja atau sultan yang mana kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Itu sebabnya isu PM dan TPM yang terdiri daripada bangsa Melayu tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu. Kita sudah lama mempertahankan sistem ini yang terbukti berkesan menjadi tunjang kekuatan negara kita.


Apabila isu ini dibincangkan ada yang berpendapat , ianya adalah bertujuan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu . Bagi penulis ianya bukanlah satu kesalahan, kerana apa yang lebih mustahak ialah kepentingan ini adalah berdasarkan pada prinsip sejagat yang memberi keutamaan kepada elemen keadilan dalam menjalani kehidupan di sebuah negara yang berbilang kaum.
Itu sebabnya juga beberapa dotrin asas perlembagaan perlu dipelihara dan mesti dipertahankan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Keistimewaan Melayu serta kaum di Sabah dan Sarawak.
Dalam hal ini adalah lebih baik rakyat Malaysia tidak lagi membangkitkan perkara atau isu yang sudah dimuktamadkan serta sudah terbukti berkesan . Adalah lebih baik kita memberikan tumpuan kepada pentadbiran kerajaan yang lebih bersih, tidak ada rasuah, mementingkan integrit, telus dan terus melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Selasa, Jun 18, 2019

HAZIQ DILANTIK KERANA WAKILI SARAWAK

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau dibuat setelah mengambil kira keperluan kementerian itu untuk wakil Sarawak dan Sabah.

Menurut Shamsul Iskandar, Haziq Abdullah memohon untuk bekerja di kementerian tersebut setelah SUSK pertama beliau meletakkan jawatan.

"Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan.

"Setelah ditemuduga dan mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjelaskan isu pelantikan Haziq.

Haziq yang berasal dari Sarawak juga merupakan Ketua AMK Santubong.

Shamsul Iskandar pada Khamis lepas (13 Jun) memaklumkan Haziq, individu yang mengaku terlibat dalam video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, digantung tugas sebagai SUSK beliau.

Menurut Shamsul Iskandar, sebelum berkhidmat di Kementerian Industri Utama, Haziq juga pernah berkhidmat dengan beberapa pimpinan PKR antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian, yang kini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (Sivarasa Rasiah dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.

Haziq juga pernah membantunya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan Parlimen, katanya.

-- BERNAMA

Isnin, Jun 17, 2019

MAKLUMAT AHLI PKR TIDAK SUKAR DIPEROLEH

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata maklumat anggota parti itu tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun beliau berkata maklumat setiap ahli parti itu tidak sukar diperoleh jika ada mana-mana pihak berkehendak untuk mendapatkannya dengan cara menghubungi individu dan mereka yang terbabit.

"Ia bukan satu rahsia untuk dimiliki oleh mana-mana pihak, sebagai setiausaha agung dan ketua pentadbiran di pejabat tidaklah menjadi kerja buat kami untuk menghebahkan maklumat parti kepada mana-mana pihak.

Tentang nombor telefon dan alamat pemimpin parti dari peringkat nasional, negeri dan cabang sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk diperolehi pada pemilihan parti yang lepas misalnya apabila pemilihan calon yang bertanding, usaha untuk mengumpul data-data asas adalah satu 'prasyarat' dalam menggerakkan setiap jentera parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri PKR dan perjumpaan tertutup bersama pemimpin dan cabang PKR Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar serta pemimpin PKR negeri.

Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memaklumkan bahawa penyebaran video lucah membabitkan beliau (Mohamed Azmin) disebar menerusi kumpulan WhatsApp yang mempunyai nombor-nombor ketua cabang dan pemimpin peringkat bawahan PKR.

Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau berkata presiden PKR meminta kepada anggota parti agar menjaga disiplin dan tidak tergesa-gesa mengambil pendirian terhadap isu yang melanda parti itu pada masa kini.

Beliau berkata PKR menolak permainan politik jijik dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan berhubung isu yang mengaitkan Mohamed Azmin.

"Kita meminta beliau (Mohamed Azmin) tabah dan sabar menghadapi ujian ini," katanya.

--BERNAMA

Sabtu, Jun 15, 2019

MPM MASIH KEKAL DENGAN PENDIRIAN TUBUH RCI UNTUK ADIB


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Terlalu banyak kontroversi dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib.


Isu keterangan saksi pakar merupakan salah satu isu yang mengundang perbualan umum sehingga menjadi sesuatu yang kontroversi. Keterangan Prof Shahrom Abdul Wahid, menyatakan bahawa punca kecederaan Allahyarham Adib adalah kerana Allahyarham telah ditarik keluar dan dipukul.

Kenyataan ini bertentangan dengan keterangan saksi pakar forensik pihak pendakwaan , Dr Ahmad hafizam yang mengatakan Adib tidak dipukul dan keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang sedang mengundur. Dalam hal ini, kredibiliti pakar forensik tersebut telah dipersoalkan apabila beliau dilihat mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah. 

Terdapat juga isu Pejabat Peguam Negara yang telah memfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai. 

Dan pastinya isu penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili tiga pihak dalam prosiding inkues siasatan kematian Allahyarham Muhammad Adib iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib juga telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Kemudian timbul pula dakwaan, ada pihak telah menghantar surat mengarahkan KPKT menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan kerana kononnya tindakan peguam berkenaan telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mewakili kerajaan.

Mengapakah tidak ada bantahan tentang isu itu sebelum ini? Kenapa isu ini hanya timbul pada akhir pendengaran? Dan sekiranya kedudukan peguam Syazlin Mansor yang mewakili tiga pihak berkepentingan iaitu KPKT, Bomba dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib mewujudkan konflik berkepentingan, sepatutnya Peguam Negara telah mengambil tindakan lebih awal selaku penasihat kepada kerajaan dalam hal ini.


Kemudian baru-baru ini Peguam, Syazlin Mansor telah mengubah pendirian dengan mengumumkan akan terus mewakili keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam prosiding inkues kematian mangsa.

“Pada pandangan saya, ada cubaan untuk mengacau ganggu prosiding inkues ini terutamanya dalam hal berkaitan keterangan yang dikemukakan saksi pakar,” begitu yang dinyatakan oleh Syazlin dalam sidang akhbar yang dianjurkan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di ibu pejabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) baru baru ini.Syazlin juga menyatakan rasa peliknya kerana isu perlantikannya dibangkitkan apabila dia mula menyoal teori pakar forensic patologi HKL dan membawa saksi pakar Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid untuk membantu inkues.


Apa yang pasti segala kontroversi yang terdapat dalam inkues ini akan menjejaskan kepercayaan awam terhadap keputusan inkues ini nanti. 

Disebabkan pelbagai isu dan kontroversi yang timbul ini, maka jangan salahkan rakyat jika ada yang membuat kesimpulan bahawa ini semua adalah satu konspirasi untuk menutup punca kematian sebenar Allahyarham Adib. Itu sebabnya isu ini perlu ditangani dengan berkesan agar integriti kehakiman dan perundangan di negara ini tidak dicalar. 
 
Dan sebagaimana yang pernah disarankan oleh pelbagai pihak, termasuklah dari Majlis Perundangan Melayu (MPM) , Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah sebaik baik kaedah dalam menangani isu kontroversi kematian Mohammad Adib ini .

Sekali lagi ditegaskan, RCI perlu ditubuhkan bukan hanya untuk menyiasat kematian anggota bomba terbabit, tetapi juga insiden rusuhan kuil tersebut.

Dalam hal ini, RCI sememangnya jalan terbaik untuk dijadikan sebagai kayu pengukur agar kejadian menyedihkan yang telah meragut nyawa ahli pasukan keselamatan negara tidak akan berulang pada masa hadapan.

MPM kekal dengan pendirian bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan hendaklah ditubuhkan bagi penyiasatan menyeluruh dilakukan keatas tragedi kematian Allahyarham Adib ini. Penubuhan Suruhanjaya ini adalah mengikut punca kuasa yang diberikan undang-undang berkaitan iaitu Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 atau Akta 119. Akta 119 ini merupakan undang-undang dibuat sebelum merdeka dan ia telah disemak semula pada tahun 1973.

Jumaat, Jun 14, 2019

SIAPA PEMILIK HP 01161196918?



BALIK PULAU: Sebuah laporan polis dibuat terhadap individu yang tidak dikenali yang mencipta kumpulan WhatsApp yang digunakan untuk menyebarkan klip video seks yang didakwa memaparkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Klip video berdurasi 1 minit 29 saat itu tersebar semalam selepas tiga klip video lain tersebar pagi Selasa lalu. Kesemua video memaparkan latar bilik dan individu sama.

Ketua Cabang PKR Taman Sri Indah (Balik Pulau) John Ooh Sin Hwa berkata, klip video terbaru yang tersebar pada pukul 6.45 petang semalam itu sama dengan klip video sebelum ini yang ditularkan melalui kumpulan WhatsApp.

Ooh menerima klip video itu dalam kumpulan WhatsApp yang dicipta oleh pengguna dengan nombor telefon +6011 6119 6918.

"Saya buat laporan polis untuk meminta polis menyiasat pemilik nombor berkenaan," kata Ooh selepas membuat laporan polis di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ooh berkata dia membuat laporan polis itu kerana berpendapat dalang yang menyebarkan klip video itu cuba mengaitkan Azmin dalam skandal seks.

Pada 11 Jun, wartawan dan ahli PKR dimasukkan ke dalam dua kumpulan WhatsApp, masing-masing diberi nama 'Jemputan Hari Raya xxxx'. Tiga klip video yang pertama disebarkan melalui kumpulan WhatsApp itu.




Pada 12 Jun, modus operandi sama digunakan untuk menyebarkan sebuah lagi klip video dalam kumpulan WhatsApp bernama 'Azmin Ali Part 2/4'.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa dia merupakan salah seorang individu di atas katil dalam klip video berkenaan.

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengumumkan bahawa Haziq digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanannya.

Sementara Azmin menafikan sebarang penglibatan dalam skandal itu.

Khamis, Jun 13, 2019

SETIAUSAHA POLITIK AZMIN UGUT HAZIQ



KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengulangi dakwaannya bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Hari ini, dia sekali lagi tampil di laman Facebook dan mendakwa rakaman video yang disebarkan sebelum ini bukan kali pertama mereka bersama.

“Pertama kali di Grand Continental Kuching, tiga tahun lalu, kemudian di Pullman Kuching semasa Pemilihan Parti (PKR) pada Oktober tahun lalu.

“Kami sekali lagi melakukannya di Hotel Grand Hyatt KL semasa tugasan kamu selaku Menteri Pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini dan bulan lalu di Fourpoint Sandakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Haziq berkata kekurangan sokongan yang diterimanya selepas membuat pengakuan semalam menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dalam melaksanakan agenda reformasi.

“Saya dituduh mempunyai agenda politik oleh Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) selepas membuat pengakuan bersumpah,” katanya.

Haziq turut mendakwa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya bagi mententeramkan dirinya yang begitu takut.

“Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” katanya.

Haziq berkata beliau begitu kecewa dengan Azmin yang dipandang tingginya tetapi menyedari timbalan presiden PKR itu adalah “lelaki yang sakit” kerana tergamak merakamkan video aksi seks atas ranjang mereka.

“Saya sedari kamu lelaki yang sakit kerana hanya kamu yang yang boleh merakamkan video-video itu sebagai koleksi peribadi selepas menjemput saya ke bilik hotel pada semua kejadian,” katanya.

Haziq berkata dia bimbang lebih banyak video berkenaan akan disebarkan dengan Azmin boleh menafikannya dengan kelebihan sebagai seorang menteri tetapi masa depannya sudah berkahir.

“Kamu juga mempunyai perdana menteri yang berikrar memberi sokongan penuh sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.

“Hanya kebenaran boleh membebaskan saya dan saya amat bimbang dengan keselamatan keluarga dan diri saya.,” katanya.


Haziq juga berharap orang ramai dapat menilai diri sebenar Azmin yang didakwanya sering memanipulasi dan dikelilingi oleh konco-konconya, terutama Hilman; (Exco Pulau Pinang, Dr) Afif (Baharddin); (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Zuraida (Kamaruddin)

Selasa, Jun 11, 2019

HAMID BADOR TIDAK TERFIKIR AKAN KEMBALI SEBAGAI KETUA POLIS NEGARA

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata setelah bersara secara pilihan hampir tiga tahun lepas dalam keadaan negara dilanda skandal 1MDB, beliau tidak terfikir bahawa suatu hari beliau akan kembali sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Beliau berkata sejak persaraannya pada 2016 itu, beliau banyak mendengar suara sumbang berhubung dengan hala tuju serta prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan di situ terbentuk satu tekad dalam dirinya bahawa alangkah indahnya kalau beliau sendiri yang menerajui PDRM dengan maklumat balas yang diterima itu.

"Dengan maklumat balas yang saya dapat daripada bawah, orang kampung, dapat saya menterjemahkan dapatan-dapatan dalam bentuk misi dan visi yang baharu dalam PDRM...Itulah angan-angan yang ada pada saya...Alhamdulillah sekarang saya di sini menjadi Ketua Polis Negara," katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid yang dilantik sebagai KPN pada 4 Mei berkata keputusan yang diambilnya untuk bersara ketika memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada masa itu adalah tepat kerana beliau tidak dapat menerima keadaan yang berlaku setelah ditukar dari PDRM ke Jabatan Perdana Menteri.

“Saya rasa bersalah sekiranya saya meneruskan kerjaya saya. Jadi saya ambil keputusan untuk bersara seikhlas-ikhlasnya dan selepas saya bersara saya tidak lagi muncul di khalayak ramai dan saya tidak menunjukkan apa-apa tanda yang saya minat untuk mencampuri urusan dalam negara," katanya.

"Yang pertama sekali yang ada dalam diri saya, maklumlah saya ini anak polis. Saya dilahirkan di berek polis, dibesarkan di berek polis, Arwah bapa saya seorang konstabel ataupun mata-mata, asam garam dalam kehidupan seorang polis ini telah sebati dalam diri saya," kata Abdul Hamid yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan.

Selepas bersara, katanya, beliau tidak mempunyai apa-apa perasaan bahawa suatu hari kelak akan dipanggil bekerja semula tetapi beliau bersyukur apabila berlakunya perubahan dalam pentadbiran negara.

Dengan perubahan kerajaan ekoran Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas, beliau menyandarkan harapan akan berlaku perubahan kelak yang akan membawa perubahan kepada negara.

"Saya tidak meletak apa-apa ekspektasi atau harapan apabila saya dipanggil untuk bekerja semula dan panggilan yang mengejutkan tiba pada empat atau lima hari selepas PRU14,” katanya ketika mengimbau semula rentetan peristiwa yang membawa beliau kembali ke PDRM.

Abdul Hamid berkata beliau menerima panggilan daripada seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan beliau dikehendaki datang ke pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya sebelum pukul 3 petang.

Ketika menerima panggilan itu pada pukul 11 pagi, Abdul Hamid berada di kebun sayurnya di Rembau dan terpaksa bergegas balik ke rumah untuk mencari pakaian yang sesuai untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya dapatlah sepasang kot lama yang ada di rumah, lalu saya memandu sendiri dari kampung saya terus ke Putrajaya. Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir menyatakan kepada saya bahawa beliau berkehendakkan saya kembali bertugas membantu beliau.

"Beliau menawarkan saya sebagai Pengarah Cawangan Khas dan saya telah memaklumkan kepada Tun bahawa mungkin ada sedikit kekeliruan atau masalah dari segi teknikal sebab saya dah bersara," kata Abdul Hamid.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri memberitahu saya, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Negara ketika itu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Abdul Hamid diberitahu oleh Dr Mahathir bahawa selepas 15 tahun beliau meninggalkan kerajaan dan balik menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai banyak masalah kerana tidak kenal "siapakah kawan, siapakah lawan" dan ini mungkin akan merencatkan apa jua perancangan yang ada pada beliau untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang dinamik mengikut kehendaknya.

Disebabkan permintaan daripada perdana menteri, Abdul Hamid berkata beliau bersetuju menerima tawaran kembali berkhidmat dengan melaporkan diri dan diberi satu dokumen untuk ditandatangani yang merupakan kontrak selama setahun sebagai Pengarah Cawangah Khas.

Ditanya adakah pada ketika itu sudah timbul ura-ura beliau akan dilantik sebagai KPN, Abdul Hamid berkata: "Sebelum ini ada dibayangkan oleh Tun Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka berkendakkan saya untuk menerajui PDRM di peringkat awal lagi.

"Saya dengan penuh hormat menolak dan sebaliknya saya telah mencadangkan beberapa nama untuk meneruskan jawatan KPN dan Timbalan KPN dan cadangan daripada saya itu telah saya sampaikan secara peribadi kepada Tun dan Menteri Dalam Negeri.

"Selepas itu saya tidak tahu cerita mengenai saya ditawarkan KPN, tetapi timbul sekali lagi pada bulan November gosip di sana sini dan cerita itu memang benar datang daripada Menteri Dalam Negeri sendiri yang menyatakan beliau mendapat arahan daripada perdana menteri yang berkehendakkan saya untuk menerajui PDRM, tetapi sekali lagi saya minta perkara itu dipertimbangkan," katanya.

Pada April lepas, Abdul Hamid berkata beliau dipanggil oleh Perdana Menteri yang bertanyakan kepadanya siapakah Timbalan KPN yang beliau pilih atau cadangkan

Abdul Hamid berkata Perdana Menteri meminta beliau mengemukakan beberapa nama untuk pertimbangannya dan apabila berita itu keluar daripada Dr Mahathir sendiri, beliau tidak berasa terkejut dengan pelantikan Datuk Mazlan Mansor, yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

"Saya bersyukur diberi peluang untuk memimpin PDRM mengikut apa jua visi dan misi saya. Saya juga bersyukur sebab mungkin Perdana Menteri berpendapat elok juga dibenarkan Tan Sri Fuzi Harun meneruskan perkhidmatannya sebagai KPN sehingga tarikh persaraannya (pada 4 Mei lepas),” katanya.

-- BERNAMA

Ahad, Jun 02, 2019

YANG DIPERTUAN AGONG SEBAK MENGIMBAU KENANGAN BERSAMA ALMARHUM SULTAN AHMAD SHAH

TEMERLOH, 1 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini sebak ketika mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Sultan Abdullah juga perlu menghentikan beberapa kali titah ucapan baginda kerana kehilangan kata-kata, selain untuk mengesat air mata pada titah yang berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Sultan Ahmad Shah sepanjang 45 tahun memerintah Pahang.

Baginda bertitah Almarhum ayahanda baginda begitu hebat dalam pelbagai bidang termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan yang menjadi faktor mengapa baginda 'menolak' nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu di sini, yang dirasmikan baginda hari ini.

"Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai sultan baharu, namun saya berpandangan nama saya adalah tidak sehebat atau segah nama Almarhum paduka ayahanda saya.

"Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum," titah baginda semasa berucap merasmikan masjid itu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Anggota Parlimen Temerloh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Sultan Abdullah bertitah pembinaan masjid yang menelan belanja sebanyak RM18.7 juta yang boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu juga adalah atas titah Almarhum sekitar akhir tahun 2013, selepas Temerloh diisytiharkan sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia.

"Sejak kerja dimulakan pada 19 Ogos 2014, Almarhum memberi sepenuh perhatian dan secara langsung memantau serta mengawal kerja pembinaannya seperti kelaziman semua masjid di Pahang yang mendapat sentuhan peribadi baginda dalam hiasan dalaman dan reka bentuk.

"Namun manusia hanya mampu merancang. Almarhum tidak sempat merasmikan masjid ini kerana terlebih dahulu meninggalkan kita. Tahun lalu, saya telah berbincang mengenai hasrat saya supaya masjid ini dirasmikan oleh Almarhum secara persidangan video dari istana di Kuala Lumpur," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah menyifatkan keberangkatan tiba baginda di masjid itu begitu istimewa dan membawa pengertian yang sangat besar kepada baginda dan keluarga serta berharap sebuah galeri berkaitan usaha dan jasa Almarhum dapat diwujudkan di situ.

Pada titah baginda, Sultan Abdullah berkongsi cerita bahawa Almarhum adalah raja yang berjiwa rakyat kerana sentiasa mencari rakyat yang sakit dan antara yang paling pantas melawat, malah ada masanya lebih awal berbanding pegawai kerajaan atau wakil rakyat jika mengetahui ada rakyat ditimpa musibah.

"Almarhum meletakkan penanda aras untuk kita semua supaya proaktif dalam perkara berkaitan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Baginda sentiasa sampai lebih awal daripada masa yang ditetapkan, malah kadang kala lebih awal dari keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang (gelaran Sultan Abdullah sebelum ini).

"Ini menyebabkan saya berada dalam kedudukan yang cukup bersalah sehingga saya terpaksa menyembah mengatakan kepada Almarhum bahawa baginda selalu tiba lebih awal menyebabkan kita yang dipersalahkan kerana lewat," titah baginda.

Sultan Abdullah bertitah jasa Almarhum yang mangkat pada 22 Mei lalu di Institut Jantung Negara pada usia 88 tahun bukan hanya sekadar sebagai Sultan Pahang kelima, namun turut menabur bakti sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Titah baginda, sebagai seorang ketua agama, Almarhum menitahkan supaya lebih banyak masjid dibina yang mana setakat ini terdapat 15 masjid di Pahang yang dinamakan sempena nama baginda, menghadiri pelbagai program keagamaan dan menaik taraf kedudukan mufti.

Suasana juga menjadi sepi apabila Sultan Abdullah selaku anakanda lelaki sulung Almarhum mewakili seluruh kaum kerabat baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga istana, doktor pakar, jururawat, kakitangan hospital, polis, tentera dan semua pihak yang berkhidmat sepanjang hayat Almarhum.

"Jika ada terdapat kesilapan dalam pertuturan yang mungkin terasa di hati, saya berharap dapat dimaafkan dan doakan supaya Almarhum diberikan segala rahmat Allah dan ditempatkan bersama golongan solihin," titah baginda.

-- BERNAMA

Sabtu, Jun 01, 2019

JAMBATAN ANGKAT KT AKAN DIBUKA ESOK JAM 7 PAGI




KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ akan dibuka kepada orang awam pada pukul 7.00 pagi Ahad ini sehingga 17 Jun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembukaan jambatan itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem 'signalling' jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya, dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

“Ujian dijalankan pada tarikh ini adalah kerana ia waktu puncak yang akan memberi gambaran sebenar penyuraian trafik apabila projek ini siap sepenuhnya sekaligus memberi keselesaan sempena musim perayaan Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook rasminya.

Semua jenis kenderaan beroda dibenar menggunakan jambatan itu namun kenderaan tidak dibenar berhenti di jambatan itu.

Pengguna juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan angkat kerana secara teknikal ia masih dianggap sebagai kawasan pembinaan, katanya.

Ahmad Samsuri berkata Polis Diraja Malaysia dan syarikat operator pengurusan jambatan itu akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga dalam tempoh pengujian ini.

“Saya meminta supaya pengguna dapat mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain projek itu dan tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai.

-- BERNAMA