Ahad, Mei 23, 2010

SHAHIR JUARAI AKADEMI FANTASIA


Rezeki memihak Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 22, apabila dinobatkan sebagai juara program TV realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan juara oleh pengacara AF8, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley. Beliau yang menyampaikan lagu Biru Mata Hitamku nyanyian asal kumpulan Wings dan lagu baru, Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan dan lirik oleh Edry KRU.

Persembahannya itu memukau lebih 10,000 penonton yang membanjiri stadium berkenaan selain dinilai pengkritik tetap, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie serta pengkritik undangan, Ning Baizura. Sebelum ini, Shahir pernah tersingkir dalam konsert ketujuh, bagaimanapun diumumkan masuk selepas mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) ‘AF Masuk’ tertinggi sebanyak 68 peratus pada konsert kelapan.

Graduan Diploma Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa itu menerima hadiah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian ke Hong Kong Disneyland, bekalan Brand’s Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket ke New York tajaan Maybelline New York dan beberapa hadiah menarik lain termasuk telefon bimbit LG Prada tajaan LG Electronics berserta trofi.

Naib juara, Siti Adira Suhaimi atau Adira, 19, dari Ranau, Sabah menyanyikan Tiru Macam Saya (Datuk Sheila Majid) dan Ku Ada Kamu ciptaan dan lirik oleh Edry KRU. Adira membawa pulang hadiah kereta Satria Neo 1.6 CPS HL tajaan Proton, baucar percutian tajaan May-belline dan beberapa hadiah menarik lain serta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik Muhd Shahril Firdaus Eli atau Daus, 22, dari Kuching, Sarawak yang mendendangkan Doktor Pakar Cinta (Yusry KRU) dan Kenapa? ciptaan dan lirik oleh Edry KRU. Kejayaan itu membolehkan graduan Diploma Perakaunan, Politeknik Kuching itu membawa pulang hadiah set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo dan beberapa hadiah lain.
Tempat keempat diraih Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Maulana, 22, dari Johor Bahru menyampaikan lagu Susun Silang Kata (Aizat) dan RSVP ciptaan dan lirik oleh Edry KRU.

Emirza Azwan Zulazrin Chew atau Iwan, 20, dari Seremban, Negeri Sembilan yang menyampaikan lagu Relaku Pujuk (Spider) dan VIP ciptaan dan lirik oleh Edry KRU menduduki tempat kelima.