Khamis, Jun 23, 2016

PAS TETAP TOLAK DAP DAN AMANAH

KOTA BAHARU, 22 Jun (Bernama) -- PAS tidak mungkin akan kembali duduk semeja dan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pakatan Harapan kerana sudah serik dengan pengalaman lalu.

Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini parti itu berpendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah kerana sedang memberi tumpuan untuk memperkasakan blok pembangkang ketiga.

"Kita sudah bekerjasama dengan DAP dan kita ada pengalaman dengannya. Jadi mungkin sukar untuk kita ulangi kerjasama itu. Pendirian kami setakat ini, kami tak kan bincang dengan Amanah dan DAP.

"Dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) setakat ini kita masih ada hubungan, masih tidak putus.


""Kita dalam usaha untuk mengukuhkan blok ketiga (dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia). Cuma mungkin ambil masa sedikit," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar meminta kerajaan persekutuan agar memainkan peranan dalam menjelaskan mengenai Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rang Undang-undang itu dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

"Dalam tempoh empat bulan ini (sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober), kita minta supaya kerajaan persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya temasuk media massa untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang apa yang diusahakan ini.

"Kalau kerajaan persekutuan memainkan peranannya dengan sistematik dan bersungguh-sungguh, saya rasa mungkin lepas empat bulan ini semua orang akan sokong rang undang-undang ini, tak ada yang akan lawan," katanya.

-- BERNAMA

SALLEH CABAR DR MAHATHIR KETUAI PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentang Barisan Nasional (BN) secara terbuka sebagai ahli politik pembangkang dan bukannya berselindung di sebalik gerakan bukan politik atau bukan kepartian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata mengambil kedudukan rasmi dalam kepimpinan pembangkang adalah suatu tindakan betul dari segi moral untuk bekas perdana menteri itu lakukan kerana beliau sudah pun memainkan peranan itu secara de facto.

Dalam catatan di dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, beliau berkata sejak bulan lepas BN telah
mencapai kemenangan besar di dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ini kata beliau tercapai walaupun dalam pertengahan penggal pemerintahan kerajaan dan kempen memburuk-burukkan perdana menteri di peringkat global.

"Adalah jelas pihak pembangkang kini berada dalam kedudukan kucar-kacir dan tidak mampu menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat Malaysia dengan menawarkan kerajaan alternatif yang boleh berfungsi. Pembangkang nampaknya memerlukan bantuan," katanya.

"Berdasarkan kesukaran dihadapi pembangkang, Dr Mahathir sepatutnya mengepalai pembangkang dalam pilihan raya akan datang. Tambahan pula, pembangkang perlu menunjukkan keikhlasan mereka untuk menngalu-alukan Dr Mahathir ke dalam pembangkang dengan mengeluarkan jemputan terbuka untuk beliau menjadi anggota dan pemimpin mereka," katanya.

Salleh berkata adalah jelas Dr Mahathir tidak mahu bersara daripada politik dan masih mahu terlibat di dalam kancah politik.

"Dr Mahathir patut sanggup melibatkan dirinya secara sepenuh masa dengan secara rasmi menjadi anggota salah satu perti pembangkang dan menjadi pemimpin parti itu.

Ini akan menunjukkan keikhlasan Dr Mahathir di dalam perjuangan politiknya," katanya.

-- BERNAMA



>> Senarai Berita