Khamis, Oktober 01, 2009

UNDI POS JUGA BERPIHAK KEPADA PAS


Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata undi pos yang dicanang oleh pembangkang kononnya menjadi senjata utama kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lalu di Bagan Pinang.

Katanya pada pilihan raya umum 2008, majoriti BN di Bagan Pinang merosot kerana undi pos berpihak kepada pembangkang.

"Pembangkang tidak boleh kata undi pos itu advantage (memberi kelebihan) kepada BN kerana pada 2008 disebabkan mereka dapat banyak undi pos pada ketika itu iaitu 1,800 undi kalau nak bandingkan dengan 2004," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Seremban semalam.

Mohamad bagaimanapun yakin BN akan dapat mengukuhkan kedudukan kerana pada 2008, pengundi yang memilih BN bertambah kepada 6,430 berbanding hanya 5,000 lebih pada 2004.

"Jadi jangan kita tuduh dan tohmah yang macam-macam pasal undi pos ini. Pasal itu saya katakan kita perlu kerja kuat dan kita perlu menyakinkan semua orang untuk pastikan kemenangan kita tapi saya rasa yakin dan percaya BN akan dapat pertahankan kerusi kita di sana," katanya.

Mohamad yakin calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan berjaya menawan hati rakyat Bagan Pinang kerana popularitinya di kalangan mereka yang tinggal di Telok Kemang, Bagan Pinang serta Port Dickson.

"Senang kerja kita dalam BN, tak payah nak tarik ke hulu ke hilir hendak memperkenalkan calon, siapa tidak kenal Tan Sri Isa kan? Jadi sebahagian daripada kita punya kerja sudah selesai," katanya.