Khamis, Mei 30, 2019

PKBM PERCAYA KERAJAAN AKAN BERLAKU ADIL KEPADA KONTRAKTOR BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia percaya kerajaan Pakatan Harapan akan berlaku adil kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormatnya, Datuk Mokhtar Samad berkata walaupun kerajaan masih belum memutuskan berhubung kuota kepada kontraktor Bumiputera dalam projek tersebut, persatuan optimis nasib dan masa depan kontraktor Bumiputera akan dibela dan tidak diabaikan.

“Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan akan terus memberi layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera sudah cukup melegakan.

“Ahli persatuan menanti dengan penuh harapan akan keputusan kerajaan kelak berkaitan kuota untuk kontraktor Bumiputera. Pastinya keputusan terbaik akan dibuat demi kepentingan semua pihak terlibat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mokhtar berkata anggota persatuan seramai 42,000 itu bersedia sepenuhnya jika diberi kuota khas dan peluang terlibat dalam projek mega tersebut dari segi kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil yang pastinya akan mendapat perhatian kerajaan untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus memberikan layanan istimewa kepada kontraktor Bumiputera termasuk dalam projek ECRL walaupun ia masih belum memutuskan lagi berhubung kuota.

“Saya ingin jelaskan bahawa sistem lama memberikan layanan istimewa (kepada kontraktor Bumiputera) masih ada dan ia berterusan termasuk tender yang dirundingkan. Tender terbuka masih akan dirundingkan tetapi (hanya) dalam kes tertentu,” kata Dr Mahathir pada satu sidang media.

Pada Ahad dilapor Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia meminta kerajaan Pakatan Harapan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bahagian kerja tempatan dalam projek ECRL kepada kontraktor Bumiputera.

Mengikut perjanjian tambahan baharu dimeterai pada 12 April, Dr Mahathir berkata China Communications Construction Co Ltd (CCCC) bersetuju untuk memastikan 40 peratus daripada kerja awam diberikan kepada kontraktor tempatan.

-- BERNAMA