Khamis, Oktober 22, 2009

NALURI TERATAI DIARAH BAYAR TUNGGAKAN GAJI


Mahkamah Buruh Bangi mengarahkan Naluri Teratai Sdn. Bhd., pemilik akhbar WATAN membayar tunggakan gaji sebanyak RM41,949.00 kepada tiga orang bekas kakitangan WATAN dalam tempoh 30 hari mulai semalam.




Ketika membuat keputusan tersebut, hakim Mahkamah Buruh, Nor Halina Haron berkata jika majikan itu gagal membayar tuntutan itu, barang-barang Naluri Teratai akan disita dan dilelong selepas tamat tempoh pembayaran tersebut.




Tiga orang bekas kakitangan itu ialah bekas editornya, Mohd. Zabidi Haji Saidi yang menuntut tunggakan lima bulan gaji sebanyak RM17,500; bekas jurugambarnya Baharul Hafiz Abu Bakar sebanyak RM16,557.00 dan bekas wartawan, Zainora Zakaria sebanyak RM7,892.00.




Nor Halina Haron membuat keputusan itu setelah ahli lembaga pengarah Naluri Teratai, Wan Bahador Wan Ismail gagal menghadiri perbicaraannnya semalam buat kali kedua. Kali pertama beliau dipanggil menghadiri perbicaraan pada bulan lepas tetapi beliau juga tidak hadir.




Wan Bahador tuan punya permit akhbar WATAN menerbitkan semula akhbar itu pada 1 Ogos 2008 setelah mengambilalih permit itu daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Bagaimanapun WATAN hanya bertahan setahun sahaja dan penerbitan terakhir diterbitkan pada bulan April tahun ini. WATAN mempunyai hampir 15 orang kakitangan tetapi hanya lima orang bekas kakitangan sahaja yang membuat tuntutan tunggakan gaji di Mahkamah Buruh termasuk Azam Hamzah dan Shahilan M. Alias.