Khamis, November 23, 2017

JANGAN CALONKAN SEMULA AHLI PARLIMEN YANG PONTENG

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Tindakan dalaman telah diambil terhadap anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu yang menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga telah menasihatkan anggota Parlimen BN supaya lebih serius untuk menghadiri sesi Dewan Rakyat.

"Yang penting kita menang tetapi sebenarnya saya telah ambil tindakan...tindakan dalaman. Saya telah menasihatkan mereka, mereka harus lebih serius hadiri persidangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan misi bantuan makanan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh di perkarangan Parlimen, hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian berkenaan.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan itu sebelum ia berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Ulasan saya, tindakan dalaman kepada mereka yang ponteng persidangan Dewan Rakyat itu tidak memadai. Mereka hendaklah tidak dicalonkan semula dalam PRU akan datang sebagai hukuman serius kepada mereka yang memalukan imej BN kecuali mereka ada tugas rasmi di luar.