Selasa, September 30, 2014
TIMBALAN SPEAKER JEJAS ADUN, JADI EXCO TAK JEJAS ADUN PULA
SHAH ALAM: Kesibukan tugas seorang timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan faktor PAS mungkin menolak kerusi itu, lapor portal Selangor Kini.
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata meskipun keputusan belum dibuat mengenai perkara tersebut, jika PAS menolak tawaran itu, ia kerana faktor kesibukan kerja.
Katanya jawatan itu dilihat bakal menjejaskan peranan mereka untuk berkhidmat sepenuhnya sebagai wakil rakyat.
"Jika PAS menolak, ia kerana PAS mahu semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang tidak dilantik menjadi exco berperanan sepenuhnya sebagai Adun di dalam Sidang Dewan Negeri dan tidak sibuk dengan tugas timbalan speaker,” dia dipetik sebagai berkata.
Katanya keputusan untuk tawaran tersebut akan diumumkan sebelum Sidang DUN Selangor pada November akan datang.
Pelantikan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali minggu lalu menyaksikan rombakan barisan kepimpinan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Dalam barisan exco negeri terbaru, tiga Adun PAS dilantik sebagai exco berbanding empat sebelum ini. Ini dilihat menimbulkan lagi konflik sedia ada Pakatan Rakyat dalam isu Selangor.
Namun Azmin mempertahankan tindakannya dengan menyatakan kerusi tersebut akan diberikan kepada exco PAS yang tidak dilantik semula.
Jawatan timbalan speaker dikosongkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai salah seorang dari empat exco PKR.
Semalam, memetik daripada laman Facebook beliau, Iskandar yang juga Adun Chempaka turut membuat kenyataan sama dengan menegaskan masih belum ada sebarang kata putus berhubung tawaran tersebut.
Perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam pertemuan exco dan mantan exco PAS dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada malam semalam, kata Iskandar.