Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan

Selasa, November 20, 2018

SAIFUDDIN CADANG YB YANG ENGGAN POTONG GAJI UNTUK PARTI DIPAMERKAN DALAM BUKU KONGRES TAHUNAN

SHAH ALAM: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan nama  ahli ahli parlimen dan ADUN-ADUN PKR yang culas memotong gaji mereka sebanyak 10 peratus untuk parti dipamerkan dalam buku kongres agung tahunan.

Cadangan itu diterima sebulat suara oleh para perwakilan PKR yang bersidang Ahad lalu ketika Saifuddin menggulung perbahasan.

Katanya, selepas PRU 2008, hanya tiga orang yang tidak mengisi borang potongan gaji melalui Angkasa.

"Selepas PRU 2013, ramai juga yang tak hantar borang. Oleh itu saya merayu kepada semua ahli parlimen dan ADUN yang menang pada PRU 2018 dapat mengisi borang potongan gaji," katanya kerana melalui potongan gaji mereka ia dapat membayar gaji kakitangan PKR dan sewa pejabat PKR di seluruh negara.

Katanya lagi, yang saya hairan masa pemilihan parti, mereka sanggup keluarkan dana yang banyak untuk berkempen di seluruh negara tetapi suruh potong gaji untuk parti mereka enggan.

" Saya harap mereka tak culas lagi kerana mereka jadi YB kerana PKR dan jadi menteri kerana PKR. Oleh itulah berkorbanlah untuk parti sebanyak 10 peratus atau 20 peratus," tegasnya lagi.

Rabu, November 07, 2018

PKR DI AMBANG PERPECAHAN APABILA BALUN SESAMA SENDIRI?



PETALING JAYA 7 Nov. - Lawatan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Sarawak menjelang pemilihan terakhir parti berkenaan Sabtu ini dipertikai.

Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya berkata, lawatan berkenaan tidak wajar dan sangat dipersoalkan, kerana beberapa isu membabitkan bahagian berkenaan.


Peguam PKR itu berkata, antaranya Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sendiri kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain pertambahan mendadak ahli di kawasan itu kepada 13,000 orang.

Pertambahan mendadak keahlian itu, kata beliau, menjadi Julau merupakan kawasan bagi ramai ahli PKR dan mampu menentukan keputusan atau `King Maker’ pemilihan.

Pada masa yang sama Sng, kata Latheefa, turut secara terbuka mengumumkan kesetiaannya kepada kem yang diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan hari ini, Latheefa berkata Wan Azizah, yang juga timbalan perdana menteri dilihat bersama pula bergambar dengan Sng semasa lawatannya.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan mengapa lawatan Wan Azizah mesti dibuat menjelang pemilihan PKR di Sarawak. Kenapa timbalan perdana menteri tidak melawat selepas pemilihan parti?”

Beliau mendakwa lawatan Wan Azizah juga melibatkan kedudukannya dan aset kerajaan, dengan menyatakan Wan Azizah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.

“Ini diumumkan dengan kehadiran Sng, yang juga calon di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti.

“Dalam keadaan ini, penting bagi timbalan perdana menteri menerangkan sebab lawatannya ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak. Orang ramai berhak tahu,” katanya.


Khamis, November 01, 2018

DR XAVIER YAKIN DAPAT KEKALKAN JAWATAN NAIB PRESIDEN

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar yakin beliau dapat mengekalkan jawatannya dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang.

Beliau yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata beliau kini berada dalam ranking ketiga dalam senarai calon calon Naib Presiden PKR yang ditandingi Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Datuk Johari Abdul.

Mengenai pemilihan PKR di Sabah minggu depan, beliau telah menemui semua ahli Sabah dan beliau berharap mereka dapat mengundinya.

Bercakap mengenai isu keahlian yang kecoh di satu cabang di Sarawak, beliau berkata apa yang ada di atas mejanya mengenai keahlian baru PKR sudah beliau selesaikan.

"Apa yang dikata oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Ismail Nasution tidak betul," katanya

Sabtu, Ogos 25, 2018

PERTIMBANG SEMULA PERATURAN PEMILIHAN PKR

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menimbang semula peraturan yang diperkenalkan pada pemilihan parti kali ini agar lebih realistik demi kepentingan semua calon yang bertanding.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata adalah sukar jika peraturan baharu yang diperkenalkan oleh JPP tidak pratikal kerana pemilihan PKR sangat mencabar berikutan ia melibatkan 800,000 anggota di seluruh negara.

"Ya, saya tahu ada beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menyuarakan pandangan dan ada yang tidak setuju dengan beberapa peraturan baharu oleh JPP yang dilihat tidak realistik dan pratikal.

"Saya sendiri juga melihat perkara itu (peraturan baharu) tidak sesuai dan sepatutnya JPP mengambil kira beberapa perkara sebelum buat peraturan tersebut kerana pemilihan PKR adalah satu-satunya parti yang menjalankan undi terus dari semua anggota parti yang mendaftar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kesyukuran dan Korban Perdana anjuran pertubuhan bukan kerajaan Yayasan MyPrihatin di Guar Perahu di sini hari ini yang turut menyaksikan yayasan tersebut menyerahkan dua ekor lembu untuk dikorbankan dan dan dimasak dalam kenduri untuk penduduk Permatang Pauh tersebut

Selasa, Ogos 21, 2018

ABDULLAH SANI DIBERI SURAT AMARAN?

PETALING JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Dua calon yang bertanding bagi pemilihan PKR tahun ini diberi surat amaran kerana melanggar etika pemilihan apabila mengeluarkan kata-kata kesat dan berbentuk tuduhan terhadap calon lain yang bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR, Dr Syed Hussin Ali berkata tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap kedua-duanya jika mereka mengulangi kesalahan itu selepas ini.

“Kita beri surat amaran kerana mereka melakukan kesalahan itu sebelum tempoh rasmi berkempen yang bermula hari ini, namun jika mereka ulangi lagi dalam tempoh rasmi berkempen ini kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas sesi cabutan nombor calon yang bertanding dalam pemilihan PKR 2018 di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Syed Husin bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua calon berkenaan dan memberi amaran sama kepada semua calon lain yang bertanding agar tidak melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata pihaknya menerima 25 bantahan terhadap calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini dengan 24 daripada bantahan untuk calon-calon yang bertanding di peringkat negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, manakala satu bantahan untuk calon yang bertanding di peringkat pusat.

Isnin, Ogos 06, 2018

ELAK KEMPEN BUNUH KAREKTOR CALON



PULAU PINANG 4 Ogos – Anggota PKR yang bakal mengundi pada pemilihan parti itu September ini diingatkan agar mengawasi disiplin dan tidak terdorong menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter.


Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR mengamalkan amalan politik terbuka dan anggota parti bebas menyokong dan memilih calon mereka yang bertanding pada pemilihan parti itu.


“Mereka bebas memberikan kecenderungan dan sokongan tapi disiplin yang harus mereka awasi adalah tidak terjebak untuk menjalankan kempen yang bersifat pembunuhan karakter atau mencipta fitnah dan tuduhan melampau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Bank Makanan di Tesco Extra Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan anggota parti agar membuat pilihan berdasarkan komitmen calon-calon bertan­ding terhadap perjuangan parti, sumbangan idea dan kreativiti mereka.

Pemilihan PKR akan berlangsung selama sembilan minggu mulai September dengan 5 Ogos adalah hari penamaan calon-calon yang ingin bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat.

Sementara itu ditanya tentang kenyataan UMNO yang meng­umumkan untuk tidak bertan­ding dan memberi laluan kepada Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia nanti, Saifuddin Nasution berkata, ia adalah baik dan menandakan ke arah mewujudkan sistem dua parti di negara ini.

“Dengan kerjasama ini (Barisan Nasional dan Pas) pada PRK DUN Sungai Kandis dan Seri Setia menunjukkan Pas dan UMNO saling mengambil pendekatan terbuka, bagi saya itu sangat baik ke arah satu kejelasan kepada rakyat untuk memudahkan rak­yat membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan memerlukan blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan tugas semak dan imbang dalam membina negara.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan penyandangnya, Profesor Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia, Khamis lepas manakala kerusi DUN Sungai Kandis kosong apabila penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Kedua-dua wakil rakyat itu adalah daripada PKR. – BERNAMA


Isnin, Julai 09, 2018

PKR PERLU KAJI SISTEM E VOTING SEBELUM LAKSANAKANNYA

GOPENG, 8 Julai (Bernama) -- Kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap sistem e-voting yang pertama kali akan digunapakai dalam pemilihan PKR demi memastikan tahap keberkesanannya tidak dipersoal oleh anggota parti.

Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata walaupun sistem itu mampu mempercepatkan proses pengundian, kekangan daripada sudut kemudahan jaringan jalur lebar perlu diambil kira.

"Ada kawasan yang baik, ada yang kurang dan ada yang tiada langsung jaringan jalur lebar. Jadi, cabaran daripada sudut ini perlu diberi tumpuan.

"Kita bimbang proses demokrasi ini tidak berjalan dengan baik sepertimana yang diharapkan oleh pucuk pimpinan sebelum pemilihan dijalankan pada Ogos hingga September ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini, malam tadi.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pihaknya sedang menjalankan ujian terhadap sistem e-voting bertujuan mengenal pasti sebarang masalah sebelum proses pengundian berlangsung. membabitkan 800,000 anggota PKR seluruh negara.....

Jumaat, April 06, 2018

PAKATAN HARAPAN MUNGKIN GUNAKAN LOGO PKR UNTUK PERDAYAKAN ORANG MELAYU



KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mungkin menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai strategi untuk 'memperdaya' orang Melayu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau menarik perhatian bahawa DAP berkata ia tidak akan menggunakan logonya sendiri dalam PRU14 manakala logo Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin menyebabkan pengundi Cina menjauhkan diri kerana imej Islamnya, jadi yang tinggal hanyalah logo PKR.

"Penggunaan logo PKR sebagai logo bersama adalah strategi untuk 'memperdayakan' orang Melayu supaya mempercayai bahawa pakatan itu telah menjadi lebih Melayu," katanya menerusi catatan di laman blog di sskeruak.blogspot.my.

Salleh seterusnya berkata pemimpin pakatan pembangkang dan beberapa penganalisis politik telah menyatakan bahawa 'Tsunami Cina' yang bermula pada 2008 telah memuncak pada 2013.

"Ini bermakna pakatan pembangkang lebih kurang sudahpun memaksimumkan asas sokongan Cina dan jika mereka mahu menang lebih daripada 80 kerusi Parlimen tanpa bantuan PAS, maka ia harus berlatarbelakangkan 'Tsunami Melayu'," katanya.

Menurut Salleh, mewujudkan 'Tsunami Melayu' sepatutnya menjadi peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ada berkata ini gagal berlaku.

"Dan tanpa 'Tsunami Melayu', pencapaian pakatan pembangkang mungkin lebih buruk berbanding pilihan raya umum 2013, apatah lagi memenangi 120 kerusi Parlimen yang mereka sasarkan," katanya.

-- BERNAMA

Selasa, September 05, 2017

SEPATUTNYA PKR KETUAI PAKATAN HARAPAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Setelah PAS keluar dari Pakatan Rakyat, sepatutnya PKR yang menguasai Pakatan Harapan di Terengganu. Sebaliknya PPBM diberi 15 kerusi manakala PKR lapan kerusi AMANAH tujuh  kerusi dan DAP dua kerusi dalam PRU 14 yang ditularkan dalam grup whatsapp hari ini.

PKR yang lebih lama bertapak di Terengganu sejak tahun 1999 dengan memenangi kerusi parlimen Kemaman terpaksa beri laluan kepada PPBM yang baru berusia setahun jagung. Malah PPBM tidak pernah ada kerusi dalam DUN Terengganu sebaliknya PKR menang di DUN Bandar pada PRU 13.

Pada PRU 14, PKR kena beri laluan kepada DAP  di DUN Bandar manakala DAP akan bertanding di dua DUN, Bandar dan Chukai. Di Chukai, DAP akan menentang BN dan PAS yang disandang oleh Hanafiah Mat.

Pada PRU 13, Hanafiah menang dengan majoriti 2,446 undi. Beliau mendapat 12,457 undi manakala calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mendapat 10,011 undi. Dikatakan undi cina sebanyak 6,000 mengundi PAS dan ada yang tidak keluar mengundi kerana pengundi Cina tidak berkenan kepada calon BN, maka PAS menang.

Dengan masuknya DAP di Chukai mampukah DAP mendapat undi yang solid dari 6,000 pengundi Cina yang akan menjadi penentu kepada perpecahan undi orang Melayu? Berjayakah DAP mencipta sejarah di Terengganu dengan memenangi kedua-dua kerusi DUN?

PPBM diperuntukkan 15 kerusi iaitu Jerteh, Hulu Besut, Langkap, Batu Rakit, Tepoh, Teluk Pasu, Wakaf Mempelam, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang,Ajil, Rantau Abang, Paka dan Kijal.

PKR diberikan lapan kerusi iaitu Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir, Ladang, Telemong, Bukit Besi, Sura dan Air Putih.

AMANAH yang sepatutnya diberi peranan utama untuk menentang PAS diberikan tujuh kerusi iaitu Kuala Besut,Jabi, Bukit Tunggal, Batu Buruk,Alor Limbat, Rhu Rendang dan Kemasik.

Jika senarai yang dikeluarkan oleh Pakatan Harapan ini benar, maka BN sudah dapat kenalpasti calon muda untuk berhadapan dengan calon pembangkang. Pastikan calon yang lama digugurkan supaya ada peremajaan di kalangan calon BN. BN perlu berubah untuk meletakkan calon muda yang lebih berkaliber, yang berpelajaran, yang bersih dan digemari rakyat bawahan.

Tidak pasti calon MB Pakatan Harapan  siapa? Adakah ia dari PPBM? Adakah Razali Idris atau Datuk Zulkifli Mohamad (gambar paling kanan). Rakyat akan membandingkan calon MB Pakatan Harapan dengan calon MB BN. Jika Zulkifli yang jadi pilihan Pakatan Harapan maka Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman lebih digemari rakyat untuk kekal sebagai MB.

Kali ini pengundi memilih wakil rakyat berdasarkan personaliti calon. Oleh itu BN kena pastikan calon mesra rakyat yang dipilih untuk berhadapan dengan calon parti pembangkang.


Sabtu, Ogos 26, 2017

HARI HARI TERAKHIR KERAJAAN PKR SELANGOR?

SEPANG, 26 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang dengan PAS Selangor meskipun PAS negeri itu berhasrat untuk bertanding sebanyak 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata isu itu dapat diselesaikan dalam bentuk perbincangan. PKR sedia berbincang dengan semua pihak.

"Ia adalah perkara biasa bagi mana-mana parti politik untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita apabila ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya ke tanah air dari lawatan kerja ke Zurich, Switzerland.

Khamis lalu, PAS Selangor mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 42 kerusi DUN Selangor, termasuk kerusi yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (DUN Kajang) dan Mohamed Azmin (DUN Bukit Antarabangsa).

PAS juga mahu bertanding semula di kerusi Parlimen Gombak yang kini turut disandang Mohamad Azmin.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu menafikan bahawa terdapat perbincangan rasmi antara PKR dengan PAS berhubung pembahagian kerusi berikutan tersebarnya gambar kunjungan beliau bersama Wan Azizah terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

"Ini merupakan satu ziarah kerana masalah kesihatan beliau (Hadi). Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, kita menziarahi antara satu sama lain," katanya.

Mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Universiti Selangor (UNISEL) dan Menteri Besar Incorporated (MBI), Mohamed Azmin berkata beliau mahu SPRM bertindak adil dan profesional.

"Kerajaan negeri, MBI dan UNISEL akan memberikan semua dokumen dan kerjasama (yang diperlukan).

"Siasat secara terbuka, telus dan profesional... tiada perkara akan disorok. Semua proses (pembayaran) berjalan dengan telus dan terbuka demi menjamin perjalanan akademik dan keselesaan di Unisel," katanya.

Selasa lalu, SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta dipercayai oleh MBI kepada sebuah syarikat swasta.

Syarikat swasta itu dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk UNISEL di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

PAS dah setuju bertanding 42 kerusi DUN di Selangor tapi PKR masih mahu berunding dengan PAS bukti PKR tiada penyokong akar umbi. Sebaliknya selama ini calon calon PKR menang kerana sokongan jentera PAS.

Sudah terbukti bahawa kerajaan PKR Selangor sedang menghadapi hari hari terakhir sebagai kerajaan di negeri tersebut.
-- BERNAMA

Selasa, Februari 14, 2017

PAS KENA TEGAS DENGAN PKR



KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pas dilihat terus menzahirkan penolakan parti itu terhadap DAP dan PAN apabila terbaharu, parti itu menegaskan ia bakal mengkaji semula hubu­ngan dengan PKR selewat-lewatnya pada muktamar tahunan yang dijangka berlangsung di Kedah pada April ini.

Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberikan ‘isyarat’ kerjasama antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Abdul Hadi menolak memberi komitmen di­suarakan oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad ber­hu­bung tempoh sebulan yang di­berikan kepada Pas untuk mem­­buat keputusan sama ada menyertai pakatan pembangkang atau sebaliknya.


“Kita sudah ada dasar, kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN, ini keputusan kita, mudah sahaja. Tidak perlu tunggu masa, tidak perlu tunggu sebulan, apabila sudah ada hubungan dengan DAP dan PAN, habislah.

“PKR pun kita akan buat keputusan, insya-Allah selewat-lewatnya masa muktamar, kita akan lihat kerjasama dengan PKR. Begitu juga dengan kedudukan Pas di Selangor, kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas di sini hari ini.

Untuk rekod, pakatan pembangkang ketika ini didahului DAP yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rak­yat, diikuti PKR, PAN dan juga PPBM.

Penjelasan Abdul­ Hadi terhadap hu­bungan dengan PKR itu memberi gambaran jelas bahawa tiada ruang untuk Pas berkompromi soal kerjasama membabitkan parti-parti pembangkang yang mempunyai hubu­ngan dengan DAP serta PAN.

Meskipun sebelum ini beliau dilihat mempertahankan kerjasama antara Pas-PKR selepas memutuskan hubungan dengan DAP selain tidak mahu mempunyai kaitan dengan PAN, namun nada Abdul Hadi kali ini berbeza.

Menyentuh sama ada masih ada ruang untuk Pas bekerjasama dengan parti-parti lain, Abdul Hadi dengan tegas memberitahu, sekiranya berkaitan dengan isu-isu tertentu khususnya syariat Islam, parti itu tidak mempunyai masalah.

“Kita terbuka dengan semua isu yang tidak menimbulkan masalah, tetapi kalau politik ada masalah kerana DAP dan penyokongnya, PAN yang menentang Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). Tentang pelaksanaan syariat, itu kita jadikan sempadan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, berhubung perhimpunan menyokong pindaan RUU 355 yang bakal diadakan Sabtu depan di Padang Merbok dekat sini, Abdul Hadi berharap semua parti dianggotai orang Islam menyokongnya memandangkan meninggikan martabat mahkamah syariah merupakan satu kewajipan.

Ulasan saya, PAS kena tegas dengan PKR. PKR pun ada hubungan dengan DAP maka PAS kena tinggalkan PKR. Jangan bimbang PAS hilang jawatan Exco di Selangor kerana yang penting PAS tidak hilang prinsip. PKR juga menolak RUU355 maka PAS tak perlu kaji lagi hubungan dengan PKR. Buat keputusan sekarang tak perlu tunggu muktamar bulan April ini.

Rabu, Disember 21, 2016

DAP, PKR DAN PAN TIDAK DIBENARKAN BERTANDING DI SABAH



KOTA KINABALU 20 Dis. - Belum pun selesai isu pembahagian kerusi antara pakatan pembangkang diketuai DAP de­ngan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Semenanjung, krisis dalam kalangan pembangkang menular ke Sabah apabila parti pembangkang tempatan ‘tidak membenarkan’ DAP, PKR dan PAN meletakkan calon di negeri itu pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).



Lajim Ukin


Perkara itu yang diumumkan Ketua Pembangkang nege­ri, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) di Dewan Hakka di sini semalam, disifatkan satu tamparan kepada pakatan harapan.

Lajim yang merupakan Pre­siden Harapan berkata, keputusan itu bagi membolehkan parti pembangkang tempatan bergabung dan menang besar pada PRU-14 sekali gus mentadbir negeri ini.

“Setakat ini kita meminta supaya parti-parti berpusat di Semenanjung memberi ruang secukupnya kepada par­ti pembangkang tempatan un­tuk menggalas tanggungjawab bagi memastikan kita berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita bimbang jika PKR dan DAP yang mempunyai kekuatan di negeri ini turut bertanding, perkara itu hanya akan menguntungkan BN kera­na memecahkan undi kepada pembangkang,” katanya.

Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias menambah, apa yang pen­ting DAP dan PKR memberi fokus kepada kemenangan di Semenanjung serta menye­rahkan tanggungjawab pilihan raya umum di negeri ini kepada parti pembangkang tem­patan.

Beliau berkata, bagi kerusi yang dimenangi PKR dan DAP boleh diserahkan kepada parti pembangkang tempatan untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Sebagai contoh, jika PKR kuat di Penampang, lebih baik perundingan dapat dilakukan agar mereka (PKR) tidak perlu bertanding dan meletakkan calon di sana. Biar kami menggalas tanggungjawab itu dan penyokong-penyokong mereka sokong parti pembangkang tempatan,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini empat parti pembangkang tempatan iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Reformasi Negeri (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Harapan telah membuat perjumpaan tertutup untuk membincangkan tindakan berdepan pilihan raya umum kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Walau bagaimanapun katanya, satu mesyuarat meja bulat akan diadakan bersama kesemua parti pembangkang tempatan termasuk Warisan yang dijangka diadakan pada pertengahan Januari tahun depan bagi memperhalusi manifesto, pembahagian kerusi dan sebagainya.

Lajim menjelaskan bersedia untuk bekerjasama dengan pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan, tetapi mereka perlu mematuhi tuntutan dan hak rakyat negeri ini.

Khamis, November 17, 2016

BERANIKAH ADAM ISYTIHAR HARTA?

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menggesa Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly untuk mengisytiharkan harta yang dimilikinya secepat mungkin.

"Saya rasa lagi cepat saudara Adam isytiharkan harta, lebih mudah. Sebaik sahaja anda tunjukkan yang anda tiada apa untuk disembunyikan dan semuanya telus, dengan itu saya fikir ia akan hentikannya (spekulasi)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya beliau sendiri akan sekali lagi mengisytiharkan hartanya pada Selasa atau Rabu hadapan setelah berbuat demikian pada Mac tahun lepas.

Beliau turut menyarankan kesemua anggota politik termasuk penjawat awam supaya mengisytiharkan harta secara terperinci untuk mengelakkan penyelewengan.

Media sebelum ini melaporkan kemewahan luar biasa Adam yang didakwa memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah meskipun baru memegang jawatan dalam PKR.

Ulasan saya, walaupun Adam Rosly bukan ahli parlimen atau ADUN tetapi apa salahnya beliau isytiharkan harta jika beliau menjadi jutawan dalam usia muda kerana bisnes eksport perabot ke luar negara.

Soalnya, beranikah beliau isytihar harta atau adalah harta miliknya adalah milik bossnya, Zuraidah. Adakah Adma hanya proxy sahaja? Biarlah SPRM menyiasat sama ada harta yang diperolehinya hasil makan rasuah atau harta yang sah.


-- BERNAMA

Isnin, Mac 05, 2012

PKR MIMPI DI SIANG HARI


PKR berhasrat bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata ketika ini PKR negeri sudah memuktamadkan senarai calon untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang bagi kerusi berkenaan di kalangan anak jati Terengganu yang disifatkan calon boleh menang.

Beliau berkata, hasrat PKR bertanding di 14 kerusi itu akan dibincangkan bersama pakatan pembangkang peringkat Pusat pada satu mesyuarat khas dalam tempoh terdekat dan senarai calon itu akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac ini.

"Hasrat kita ini kerana keadaan PKR yang lebih baik ketika ini, selain PKR sendiri mempunyai ramai calon berwibawa dan boleh menjanjikan kemenangan kepada pakatan pembangkang. Kita sudah kenal pasti calon dan yang pasti, mereka anak jati Terengganu dan berpeluang menang berdasarkan referendum rakyat.

"Setakat ini, kita belum boleh dedahkan kawasan bertanding, tetapi calon dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan PKR Pusat. Ini juga simbolik PKR sudah melakukan persiapan dan bersedia lebih awal untuk menempuh PRU-13 yang diuar-uarkan semakin hampir," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ketua Cabang Kuala Terengganu berkata, PKR tidak lagi bergantung kepada rakan pembangkang, sebaliknya mahu menggerakkan jentera sendiri.

"Kita mahu PKR mewakili kerusi dalam setiap kawasan Parlimen di negeri ini dan sudah menyiapkan jentera kerana kita tidak mahu terlalu bergantung kepada rakan dalam pakatan seperti PRU-12," katanya.

Ketika PRU-12 pada 2008, calon PKR bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Dungun, serta lima kerusi DUN iaitu di Kota Putera, Besut; Permaisuri, Setiu; Seberang Takir, Kuala Nerus; Bandar, Kuala Terengganu dan Telemong, Hulu Terengganu, namun gagal memenangi mana-mana kerusi.

Ketika ini, Terengganu memiliki lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dengan dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN dikuasai PAS.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat ketika dihubungi berkata, PAS maklum mengenai hasrat pimpinan PKR mengenai agihan kerusi itu, namun enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada mesyuarat PR Pusat untuk membuat keputusan.

"Saya sendiri menjadi pengerusi mewakili PAS pada mesyuarat bagi menentukan kerusi yang akan diwakili parti dalam pakatan pembangkang ketika itu dan setakat ini belum ada apa-apa keputusan kerana masih dalam perbincangan," katanya.

Ulasan saya, nampaknya PKR mimpi di siang hari. Masakan PAS nak beri 14 kerusi kepada PKR manakala PAS tanding 18 kerusi. Gilakah PKR ini? Lima kerusi kalah pada pilihanraya umum lalu masakan PAS nak beri laluan kepada PKR tanding 14 kerusi di Terengganu.

Kuat sangatkah PKR sampai mahu tanding 14 kerusi? Oleh itu masalah perebutan kerusi antara PAS dengan PKR patut memberi kelebihan kepada UMNO untuk mengekalkan kerajaan BN Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.

Rabu, Jun 15, 2011

PKR AMBILALIH SABAH?

Selepas kalah di Sarawak pada pilihanraya negeri baru-baru ini, PKR kini mengidam untuk mengambilalih negeri Sabah. PKR dikatakan sedang berunding dengan SAPP untuk menumbangkan BN Sabah.

Menurut Ketua Cabang PKR Tenom, Datuk Halid Zaman, Datuk Yong Teck Lee sudah hantar wakil untuk berunding dengan PKR Sabah dalam pembahagian kerusi. Yong dikatakan berazam untuk menjadi Ketua Menteri Sabah semula.

Kekalahan pembangkang pada pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi baru-baru ini menunjukkan bahawa perlu ada persepakatan di antara PKR dengan SAPP. Biarlah SAPP tumpu di kerusi Cina manakala PKR tumpu di kawasan Melayu dan Kadazan.

Saya yang baru tiba di Kota Kinabalu pada jam 2 petang tadi dibawa Musli oli ke Hotel Hyatt. Kebetulan Datuk Halid Zaman berada di situ dengan beberapa rakannya membincangkan isu politik semasa.

Walaupun sudah berusia 70 tahun lebih, Datuk Halid masih kelihatan sihat. Mungkin berkat minum air sarang burung. Beliau adalah pengusaha sarang burung walit. Yang peliknya beliau menang menjadi Ketua Cabang PKR di Tenom yang bukan kampung halamannya dan mengalahkan orang muda pula.

Katanya, beliau tidak ada niat untuk menjadi calon semula. Biarlah dia jaga parti sahaja dan beri peluang kepada orang muda untuk bertanding menentang calon-calon BN yang sudah lama.

Menurut beliau, rakyat sudah bosan dengan karenah para pemimpin BN yang mengkayakan diri sendiri.

"Sudah sampai masanya bagi rakyat Sabah menukar kerajaan baru seperti tahun 1976, 1985," kata beliau yang merujuk kepada keberanian rakyat Sabah menumbangkan kerajaan USNO dan kerajaan Berjaya.

PKR yang menjanjikan kerajaan autonomi kepada Sabah mungkin menarik minat rakyat Sabah kerana Sabah sepatutnya setaraf dengan Semenanjung dan Sabah bukannya setaraf dengan mana-mana negeri di Semenanjung.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, kata beliau, kerajaan Sabah akan menjadi keajaan yang lebih berdikari tanpa bergantung kepada keputusan kerajaan pusat.

Selasa, Mac 29, 2011

RAFIZI RAMLI CALON PKR KEMAMAN?






Nampaknya pilihanraya umum semakin hampir. Ke mana sahaja kita pergi, orang ramai bercakap tentang pilihanraya umum. Ramai yang berpendapat bahawa jika BN menang cemerlang dalam pilihanraya umum negeri Sarawak pada April ini, parlimen akan dibubar pada bulan Julai ini.

Di sana sini orang yang melobi jadi calon sedang memasang pelbagai strategi untuk dipilih sebagai calon. Saya hari ini berada di Kuala Terengganu menemui beberapa rakan yang mahu jadi calon. Kebetulan saya sempat menemui Setiausaha PKR Terengganu, Fazli Haji Endut yang merupakan orang Bukit Tumboh, Kuala Terengganu.

Dia meramalkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di parlimen Kemaman menentang calon BN, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Baru-baru ini Rafizi menunjukkan kemampuannya berhujah di RTM1 dengan ahli parlimen BN Hulu Selangor, Kamalanathan dan ternyata beliau seorang yang hebat mematahkan hujah lawan. Saya tak sangka dia orang Kemaman. Manakala di Dungun pula, ahli parlimen Indera Mahkota, YB Azam yang kini Pengerusi PKR Terengganu akan bertanding di situ.

Oleh kerana PKR sudah menyenaraikan siapa calon yang akan bertanding di Kemaman maka saya ingin fokus sedikit calon BN di empat DUN di Kemaman. Di DUN Kijal sudah tentu Mneteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kekal bertanding di situ. Walaupun ada yang berkata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek akan bertukar kerusi dengan Ahmad Said, tetapi tidak mungkin akan berlaku. Dari dahulu pernah Tan Sri Wan Mokhtar menawarkan Ahmad Said bertanding kerusi parlimen, tetapi Ahmad lebih selesa bertanding di kerusi DUN Kijal.

Di DUN Chukai, jika Datuk Mohamed Awang Tera tidak bertanding, dia bakal diganti oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid atau seorang peguam Ahmad Shahul Hamid atau Mat Bawal yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Di DUN Air Putih, jika Wan Hakim Wan Mokhtar yang dikatakan orang Datuk Seri Idris Jusoh digugurkan sebagai calon, maka dua nama amat popular di sini sama ada Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad atau Tuan Kecil Tuan Tengah, seorang ahli jawatankuasa bahagian yang paling lama.

Nama Wan Ahmad Nizam yang pernah jadi ADUN Air Putih turut disebut-sebut sebagai calon. Memang nasib orang Air Putih yang selalu mendapat orang luar menjadi calon kerana semua anak tempatan tak layak sedangkan anak bekas YB Harun Hassan yang merupakan pengurus kanan Amanah Raya Berhad, Khairuddin Harun boleh ditonjolkan sebagai calon di sini.

Di DUN kemasik, nama IR Rosli Othman yang terlibat dengan kes SPRM sudah pasti digugurkan sebagai calon. Dua nama yang popular di sini ialah ahli jawatankuasa bahagian, Haji Mustafa Abdul rahman atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Mustapha Khalid.


Di parlimen pula, jika Ahmad Shabery yang jarang balik kawasan digugurkan sebagai calon kemungkinan besar Wan Hakim yang akan bertanding di parlimen kemaman. Ramai yang kecewa dengan Shabery yang tidak menolong orang kemaman. Bila orang Kemaman minta tolong dia dengan tender KBS, dia jawab dia tak campur urusan tender sedangkan sebagai menteri dia boleh arah KSU beri tender itu kepada orang kemaman jika harganya bersesuaian. Nampak sangat ada juga menteri yang tak tolong pengundinya.

Dalam perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman tahun lepas, Ahmad said selaku Ketua Bahagian telah menyelar sikap wakil rakyat yang tidak balik kawasan yang hanya nampak muka menjelang pilihanraya. ramai yang menafsirkan ucapan Menteri Besar itu ditujukan kepada Ahmad Shabery Cheek.

Jumaat, Disember 17, 2010

AKHIRNYA KARIM SERTAI PKR


Bekas pemimpin Umno Sabah yang juga individu yang bertanggungjawab membawa parti dari Semenanjung ke negeri itu, Datuk Karim Ghani secara rasmi menyertai PKR.

"Saya rasa berbesar hati kerana PKR menerima saya," kata Karim yang sebelum ini pernah bersama Parti Bersatu Kebangsaan Sabah (Usno).

"Saya telah serahkan borang permohonan terus ke ibupejabat PKR."

Menurutnya, beliau sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Ahmad Thamrin Jaini dan beberapa lagi pemimpin cabang di Sabah.

Ketika ditanya tentang alasan menyertai PKR, beliau berkata alasannya sama apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Umno Sabah.

"Pakatan telah berjanji akan mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak dan berjanji akan menyerahkan 20 peratus royalti minyak kepada kedua-dua negeri ini," kata Karim.

"Ini sama seperti yang saya nyatakan dalam surat perletakkan jawatan kepada Umno Sabah.

"Umno buat saya seperti duduk di tepi 'jamban'," perlinya.

Karim berkata, janji bahawa autonomi Sabah akan dihormati akan membantu ahli Usno bangkit menentang Parti Bersatu Sabah (PBS).

Khamis, Ogos 27, 2009

ROSOL NAFI MASUK PKR


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Abdul Wahid dahulu bukan main lantang tak mahu Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Hinggakan dia pernah berkata sedia meletakkan jawatan sebagai ADUN untuk hadapi pilihanraya kecil Ajil. Tapi bekas guru ini tak tahu bahawa bila letak jawatan dia tak boleh tanding semula untuk lima tahun. Sebab itu dia tak jadi letak jawatan.


Baru-baru ini heboh beberapa ADUN telah menemui Anwar Ibrahim tetapi kononnya mereka telah diberi amaran oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Semalam Rosol secara rasmi menafikan beliau mengetuai kumpulan sembilan ADUN negeri ini untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Rosol turut menyifatkan laporan mengenainya yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider bersifat provokasi selain bertujuan menjatuhkan imej UMNO.



Beliau mengakui masih berlaku masalah dalaman di negeri itu namun tidak pernah berbincang berhubung niat untuk meninggalkan UMNO seterusnya menyertai PKR seperti yang didakwa.



''Saya tetap bertegas bahawa laporan portal tersebut adalah khabar angin semata-mata. Ini tak akan berlaku dalam kumpulan kita.



''Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat UMNO.



''Kita masih lagi wakil rakyat BN, itu tiada kompromi, kita yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri ke-12 ditangguhkan semalam.