Memaparkan catatan dengan label tanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tanah. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 23, 2016

RAZIF UMUM ANAK MUDA BOLEH MILIKI TANAH SATU EKAR



KUALA BERANG: Kerajaan negeri sedia mempertimbang untuk membo­lehkan anak watan negeri ini yang berusia 40 tahun ke bawah memiliki tanah dengan setiap seorang mendapat seluas satu ekar (0.4 hektar).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, usaha itu dibuat sebagai salah satu transformasi ekonomi kerajaan negeri bagi memanfaatkan tanah semaksimum yang boleh.


Pada masa sama, jelasnya, langkah itu juga dapat membantu golongan muda di Terengganu yang masih belum mempunyai tanah untuk dijadikan aset selain memberi peluang pekerjaan kepada golo­ngan tersebut.

Sehubungan itu, kata Ahmad Razif, beliau mengarahkan semua pentadbir tanah di setiap daerah agar mengenal pasti tanah yang berpotensi dimajukan sebelum diagihkan kepada golongan muda.

Sebagai permulaan, beliau menjelaskan, sebahagian daripada sejumlah 157 hektar tanah di Kampung Binjai Kertas dan Kampung Nasi Dingin dekat sini akan diagihkan kepada golongan muda di kawasan berkenaan.

“Pada masa ini, daripada keseluruhan tanah itu, 101 ekar (40.9 hektar) diusahakan oleh pihak RISDA Plantation manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan muda di dua kampung berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri program Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin (RKBKND) di Kampung Binjai Kertas dekat sini semalam.



Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Exco Kerajaan negeri yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengurus RISDA Plantation Terengganu, Mohd. Yusof Baijuri.

Ahmad Razif berkata, sebelum tanah itu diberi, mereka terlibat perlu mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakannya termasuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampu memberi pulangan menguntungkan.

“Mereka kena ada kesanggupan dan keinginan, paling mustahak mereka perlu ada kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakan tanah masing-masing seperti membangunkan projek pertanian dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Sabtu, Julai 20, 2013

PEMIMPIN UMNO DAPAT TANAH 200 EKAR DI PULAU PERHENTIAN

PAS sekali lagi membangkitkan isu tanah ketika berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, kali ini memberikan fokus terhadap 200 ekar tanah di Pulau Perhentian Kecil, yang didakwa mereka turut mempunyai kaitan dengan Umno. Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa berkata, beliau dimaklumkan sumber tanah berkenaan dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang katanya sebagai "broker" dan kemudian menjual kembali tanah berkenaan kepada pihak ketiga. Katanya, tanah dengan status pelancongan itu sahaja hanya dibayar premium bernilai RM 21,000. "Pemberian 200 ekar tanah oleh kerajaan negeri kepada syarikat yang mungkin ada kaitan dengan pemimpin Umno, sedangkan permohonan orang kampung dibekukan," katanya ketika sidang media di Markas PAS, hari ini. Husam berkata, beliau turut tidak menolak penganugerahan itu berlaku selepas kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu pada 2004. Beliau turut mengedarkan dokumen kepada pemberita yang menyatakan tanah berkenaan hanya untuk tempoh pajakan selama 60 tahun. PAS sebelum ini membangkitkan isu tanah di Kuala Besut antaranya termasuk unit pengsapuri di Kampung Lay Out, Tok Saboh yang mereka dakwa dirampas oleh Barisan Nasional (BN) daripada penduduk. Perkara itu bagaimanapun dinafikan pemimpin BN, malah menganggap PAS sudah kehabisan idea, apabila terpaksa mengitar semula idea lama bagi menarik pengundi di Kuala Besut dalam PRK yang dijadualkan pada 24 Julai depan. Malah, parti komponen PR itu turut mempersoalkan berhubung pemberian tanah kepada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan, malah, turut mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut BN menarik balik tanah berkenaan. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagaimanapun menegaskan tidak akan menarik balik tanah itu kerana ia bagi menghargai jasa individu berkenaan sebagai wakil rakyat. Ahmad Said berkata, wakil rakyat berhak memohon dan memiliki tanah seperti anak negeri lain. Ahmad Said menyerahkan hampir 12,000 tapak rumah dan hampir 8,000 tapak pertanian sejak mengambil alih sebagai menteri besar pada 2008

Khamis, Julai 18, 2013

BN BATAL TANAH TOL DIBERI PAS

Jertih: “Segala prosedur pemberian tanah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) ketika pemerintahan PAS di Terengganu dilakukan mengikut tatacara dalam Kanun Tanah Negara (KTN).
“Malangnya, tanah yang diberi milik secara Lesen Menduduki Sementara (TOL) dibatalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa sebab munasabah,” dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar. Bekas Pengarah Tanah dan Galian Terengganu itu turut mendakwa BN merampas lot tapak rumah dan pertanian yang telah diukur di Kampung Tok Saboh, di sini, selepas BN mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri pada 2004. Dakwanya lagi, ketika PAS memerintah, mereka sudah mengukur hampir 60,000 lot tanah tapak rumah dan pertanian yang sebahagiannya sudah pun diluluskan kepada rakyat, tetapi diberikan tempoh tiga tahun dalam bentuk TOL. “Malangnya, apabila PAS kalah dan saya ketika itu masih lagi Pengarah PTG, tanah yang sudah diluluskan dalam bentuk TOL itu dibatalkan kerajaan baru (BN). “Permohonan tanah sudah bayar tetapi belum sempat mendapat geran, wang itu dikembalikan semula untuk menafikan haknya mendapatkan tanah itu, ini suatu tindakan yang zalim,” katanya pada sidang media harian di Markas PAS di Kampung Baharu di sini semalam. Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan tapak pembinaan pangsapuri di Kampung Tok Saboh adalah milik kerajaan dan bukannya dirampas daripada penduduk miskin. Ahmad dalam laporan itu menjelaskan, pada 1999 Kerajaan PAS Terengganu sudah memberi tanah kepada masyarakat tanpa menyertakan dokumen pemberian tanah yang jelas menyalahi undang-undang berkaitan pentadbiran tanah. Sementara itu, calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, semalam meneruskan siri kempennya bertemu dengan pengundi selepas solat Zuhur di Masjid Kampung Lampu dan Kampung Nangka. Selepas itu, beliau turut meluangkan masa dengan penduduk di Seberang Barat selepas menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Seberang Kastam.

Selasa, Julai 16, 2013

NAWI AKUI DAPAT TANAH

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Nawi Mohamad mengakui mendapat sehektar tanah daripada kerajaan negeri Terengganu, seperti didedahkan PAS di tengah-tengah kempen pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini. "Betul ada, tapi rakyat biasa juga dianugerah tanah oleh kerajaan negeri Terengganu," kata Nawi melalui SMS ketika ditanya berhubung pendedahan ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad pagi ini. Dzulkefly hari ini mendakwa, ketika rakyat biasa diberikan alasan tiada tanah ketika memohonnya, empat pemimpin Umno Besut, termasuk Nawi masing-masing memiliki satu hektar tanah di Kuala Besut. Sambil menyindirnya sebagai "tradisi mendahulukan penguasa politik", Dzulkefly mencabar pemimpin BN itu menjelaskan dakwaan yang disokong oleh dokumen berkaitan yang enggan didedahkan pada masa ini. Nawi didakwa memiliki tanah PT6904 dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, Besut. Tiga lagi menghadapi dakwaan sama: Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902).