Memaparkan catatan dengan label dr maszlee malik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dr maszlee malik. Papar semua catatan

Rabu, Julai 03, 2019

LAPOR KEPADA POLIS KALAU ADA PEGAWAI MINTA WANG DARIPADA KONTRAKTOR



KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini mendakwa ada pihak cuba menyamar sebagai pegawainya bagi meminta wang daripada kontraktor untuk mendapatkan tender kementerian.

Hakikatnya, kata Maszlee, pihak beliau sama sekali tidak pernah melantik mana-mana pegawai untuk mengambil wang daripada kontraktor.

Katanya Kementerian Pendidikan menerima laporan ada kes seumpama itu di pelbagai tempat, termasuk di Johor, Sabah, Kedah dan Perak kononnya untuk mendapatkan tender bagi pembekalan kantin sekolah dan universiti.

"Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk dapatkan tender


"Saya tak pernah lantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor terbabit, dan saya tahu, tak pernah ada pegawai kementerian yang kutip duit kontraktor,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Maszlee meminta pihak yang didatangi individu mencurigakan itu agar melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

“Kalau ada yang mengaku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, lapor kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Ambil gambar dan buktikan. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu, Maszlee yang juga anggota parlimen Simpang Renggam berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah menganjurkan pertandingan tarian yang didakwa berpakaian tidak sepatutnya di Perak, Sabtu lalu.

“Kementerian Pendidikan tak pernah menganjur atau terlibat sebarang acara tarian separuh bogel.

"Kami tak pernah menaja dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan logo kementerian untuk segala aktiviti bertentangan dengan dasar yang dibawa.

“Terima kasih kepada pihak bawa perkara itu kepada pengetahuan kementerian dengan menularkannya,” katanya ringkas.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa kecewa dengan penganjur sebuah pertandingan tarian kanak-kanak yang melanggar syarat perjanjian apabila ia turut disertai peserta dewasa.

Mereka juga gagal mematuhi garis panduan pakaian ditetapkan kementerian.

Isu itu timbul selepas gambar peserta dewasa berdiri di depan satu kain rentang berlogo Kementerian Pendidikan yang mengundang kritikan di media sosial.

“Penggunaan logo kementerian pada sijil bagi kategori-kategori lain tidak mendapat kebenaran kami. Begitu juga dengan penggunaan logo pada kain rentang dan tirai latar semasa pertandingan,” katanya.

Gambar dari acara yang berlangsung di Ipoh, Perak itu menunjukkan beberapa peserta berpakaian seperti penari gelek.

Bagaimanapun, Penganjur Perak Muda Medalist Dancesport Competitions 2019 dan 7th Perak Show Dance Champonships 2019, JJ & Alice Danceworld hari ini telah memohon maaf berhubung perkara tersebut.

Jumaat, Mei 24, 2019

BERI ZAKAT DALAM BENTUK BUKU PULAK IDEA DR MASZLEE

PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Agensi-agensi zakat perlu melangkah ke hadapan dengan tidak hanya memberi bantuan dari segi kewangan dan makanan, tetapi juga membantu meningkat taraf pendidikan anak-anak asnaf melalui pengagihan buku-buku ilmiah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Melancarkan program Zakat Semarak Ilmu di sini hari ini, Maszlee berkata bantuan dalam bentuk buku-buku, secara tidak langsung akan membantu golongan tersebut membina cita-cita untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

"Mereka melabur untuk pendidikan, sekali gus melabur untuk masa hadapan negara yang lebih cerah," katanya ketika berucap melancarkan program itu.

Program Zakat Semarak Ilmu digerakkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Pungutan Zakat dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia akan mengagihkan sumbangan daripada zakat dalam bentuk buku.

"Usaha sebegini juga wajar diuar-uarkan, agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada pembayar zakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan, bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan," katanya.

Maszlee berkata sumbangan yang sama juga patut diberikan kepada golongan bukan Islam dalam kalangan kumpulan B40.

"Golongan B40 ini melibatkan semua tidak mengira bangsa atau agama, dan roh zakat itu adalah membantu hatta kepada bukan Islam sekalipun," katanya.

Pada program hari ini, seramai lebih 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Putrajaya dan Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat dengan pengagihan buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bernilai RM700,000.

-- BERNAMA

Rabu, Oktober 31, 2018

PARTI POLITIK BOLEH TUBUH CAWANGAN DI UNIVERSITI SELEPAS AUKU DIPINDA

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata pindaan itu juga selari dengan cadangan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Dengan perubahan AUKU yang akan dilakukan, akan ada Kelab Mahasiswa Barisan Nasional (BN) di UA, akan ada Kelab Pakatan Harapan (PH), Kelab Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kelab-kelab lain yang ingin ditubuhkan sebagaimana di negara maju.

“Ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang akan kita cadangkan nanti. Jika diturunkan umur mengundi kepada 18 tahun, maka pelajar akan bebas berpolitik, boleh mencalonkan diri mereka, boleh mengundi tanpa sebarang sekatan,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang ingin tahu sama ada kementerian bersetuju untuk mewujudkan cawangan parti politik di UA.

Bagaimanapun Maszlee berkata penubuhan cawangan parti politik itu hanya terpakai di UA yang tertakluk kepada AUKU

Selasa, Oktober 16, 2018

JANGAN SALAHKAN WARTAWAN BESARKAN ISU WARNA STOKIN



KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menasihati Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya tidak terperangkap dengan propaganda Umno dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya menasihati Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk berhenti bercakap mengenai stokin dan kasut sekolah.

"Ini supaya beliau tidak terjerumus dengan perangkap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan cybertrooper serta tukang propaganda Umno yang mahu mempamerkan imej beliau sebagai menteri yang biasa-biasa dan kurang mempunyai visi serta matlamat dalam transformasi pendidikan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim secara menyindir berkata Maszlee sebaliknya perlu membuktikan beliau merupakan menteri pendidikan yang lebih baik berbanding Najib ketika memegang jawatan berkenaan sejak tahun 1995 hingga 2000.

“Sebab itulah Maszlee kena cepat belajar komunikasi moden dan menumpukan tenaganya untuk membuktikan yang beliau adalah menteri pendidikan yang lebih baik daripada Najib sendiri,” kata Lim.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu berkata kenyataan dibuat Najib terhadap Maszlee bertujuan mengalih perhatian daripada penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Menurutnya hanya satu peratus kenyataan Maszlee dipetik daripada temu bual dengan Sinar Harian, manakala selebihnya mengenai reformasi pendidikan "diabaikan sepenuhnya".

Terdahulu, Najib menerusi tulisan di Facebook semalam menyindir kenyataan Maszlee yang dipetik Utusan Malaysia berhubung pemakaian warna stokin pelajar di sekolah.

Maszlee dilaporkan berkata perkara itu akan diputuskan kementerian pendidikan selepas perbincangan dengan semua pihak selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam pada 2021.

“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna,” sindir Najib menerusi akaun media sosialnya.

Susulan itu Maszlee mengkritik semula bekas perdana menteri itu kerana cepat mensensasikan “perkara remeh”, namun mengabaikan isu yang lebih penting yang diusahakan kementeriannya.

Menerusi akaun Twitternya beliau berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang satu minit @UMonline sensasikan, DS @NajibRazak pun berminat.

“Saya bincang perkara penting, hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?” soalnya dalam sidang media selepas program lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).