Memaparkan catatan dengan label naib presiden. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label naib presiden. Papar semua catatan

Rabu, November 05, 2008

BERILAH PELUANG KEPADA DR. RAIS


Menteri Luar, Dr. Rais Yatim yang memerlukan empat lagi pencalonan untuk melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO terpaksa merayu dan berkata saya memerlukan ihsan ahli-ahli.

Dr. Rais tebal dengan prinsipnya tidak mahu main politik wang. Sedangkan kalau satu pencalonan bernilai RM10 ribu, Dr, Rais hanya perlu keluarkan RM40 ribu sahaja. Namun demikian saya berharap bahagian-bahagian yang akan bersidang minggu ini dapat beri peluang kepada Dr. Rais untuk lepasi kuota.


The more the merrier. Sehingga ini enam orang sudah layak bertanding iaitu Hishamuddin, Khaled Nordin, Shafie Afdal,Syed Hamid Albar dan Isa Samad. Oleh itu biarlah Dr. rais jadi calon ketujuh untuk bertanding jawatan tersebut. Pada tahun 1981, beliau kalah lima undi kepada Tengku Ahmad Rithaudeen dalam pertandingan Naib Presiden yang turut dimenangi Ghafar Baba dan Harun Idris. Selamat berjaya Dr. Rais.

Isnin, November 03, 2008

ISA ADA HARAPAN


Tanpa jawatan dalam kerajaan tetapi telah dapat kuota yang cukup untuk tanding Naib Presiden UMNO merupakan satu kelebihan Isa Samad. Semalam beliau mendapat 21 pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan ini merupakan calon keenam yang layak bertanding selain dari Hishamuddin (115 pencalonan), Dr. Ahmad Zahid Hamidi (83 pencalonan), Shafie Afdal (64 pencalonan), Khaled Nordin (61 pencalonan) dan Syed Hamid Albar (24 pencalonan).

Isa menang pada tahun 2004 tetapi dia dikenakan hukuman kerana kononnya bermain politik wang. Isa yang tidak bernasib baik sedangkan calon lain pun main wang tetapi tidak kena tangkap. Oleh itu para perwakilan sudah tentu akan memberi undi simpati kepada Isa kali ini.

Tidak semestinya orang tiada jawatan dalam kerajaan tidak boleh menang naib presiden. Ghafar Baba buktikan bahawa dia menang pada tahun 1978, 1981 dan 1984 dalam pertandingan naib presiden walaupun beliau bukan menteri.

Oleh itu harapan Isa tetap ada walaupun beliau bukan menteri. Pada tahun 2004 pun beliau menang walaupun mendapat pencalonan yang sedikit.

Ahad, November 02, 2008

BERI SATU KERUSI NAIB PRESIDEN KEPADA WAKIL SABAH


Satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin Umno Sabah sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas, kata calon Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu berkata pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan Umno sebagai tunggak Barisan Nasional perlu diiktirafkan dengan meletakkan seorang daripada pemimpin Umno di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.


"Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 di sini, hari ini.


Mengenai pencalonan beliau sebagai Naib Presiden parti menjelang pemilihan Umno Mac depan, Shafie berkata beliau yakin anggota Umno sudah cukup matang dalam membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka kelak.


"Satu peringatan yang harus dibuat di sini ialah semua ahli harus memperkuatkan parti dan bukannya menjaga kepentingan sendiri," katanya.


Sehingga pukul 3 petang ini, Shafie, yang merupakan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, telah memperoleh 51 pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.


Perlembagaan Umno menetapkan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden parti.


Sepatutnya biarlah orang lain yang bercakap bukan Shafie yang mencanagkan dirinya yang patut duduk di kerusi nombor tiga itu. Dahulu UMNO Sabah pernah menonjolkan Osu Sukam sebagai naib presiden tetapi ditolak oleh para perwakilan. Oleh kerana kerusi naib presiden ada tiga kekosongan, maka sudah sampailah masanya bagi para perwakilan memilih seorang dari Sabah sebagai naib presiden.


Shafie walaupun menteri jaga muzium meminjam kata-kata ahli parlimen Kalabakan, Ghafur Salleh, memang layak duduk di situ memandangkan pengalamannya yang amat luas sebagai setiausaha politik menteri tanah dan pembangunan koperasi, setiausaha parlimen kementerian penerangan, timbalan menteri pertahanan, menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dan menteri perpaduan, kebudayaan, keseniaan dan warisan.

Ahad, Oktober 19, 2008

MCA LEBIH MAJU DARI UMNO


Menteri Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dr. Ng Nyen Nyen mencatat sejarah kerana muncul sebagai Naib Presiden MCA wanita yang pertama. Nampaknya MCA lebih maju dari UMNO kerana UMNO tidak pernah memberi peluang kepada wanita menjadi Naib Presiden.

Apa salahnya daripada tiga orang Naib Presiden itu, diberikan satu kerusi kepada wanita. Ini setiap tiga tahun sekali hanya lelaki yang diberi peluang. Jadi siapa yang layak duduk di situ? Sudah tentulah Rafidah Aziz kerana beliau sudah lama menerajui pergerakan wanita UMNO sejak tahun 1984.

Sharizat Jalil semakin banyak mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan ketua wanita. Jadi biarlah pergerakan itu diketuai oleh Sharizat dan Rafidah bertanding Naib Presiden. Hari ini minggu kedua pencalonan. Tinggal dua minggu lagi. Untuk dapatkan kuota 19 pencalonan, saya rasa Rafidah boleh dapat kuota yang cukup untuk tanding Naib Presiden UMNO.

Sudah sampai masanya bagi UMNO menaikkan martabat wanita sebagai Naib Presiden UMNO. Malu pada MCA kerana MCA telah mengorak langkah sedangkan mentaliti UMNO masih seperti UMNO 60an.

Isnin, Oktober 13, 2008

SATU ORANG BARU CUKUP KUOTA


Siapa yang layak menjadi Naib Presiden UMNO mula terjawab apabila 11 orang tokoh telah menerima pencalonan pada minggu pertama persidangan perwakilan UMNO bahagian. Sehingga ini Menteri Pelajaran, Datuk Seti Hishamuddin Tun Hussein sudah mendapat kuota yang cukup (19 pencalonan). Beliau telah mendapat 25 pencalonan.

Minggu ini beberapa calon seperti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal mendapat 14 pencalonan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi (13 pencalonan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin (9 pencalonan) dijangka mendapat kuota yang cukup.

Calon-calon lain ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (6 pencalonan), Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (5 pencalonan), bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad (4 pencalonan), bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan kassim (3 pencalonan), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan (2 pencalonan), bekas Menteri Sains, tekbnologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (2 pencalonan) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (1 pencalonan).

Kita tunggu keputusan minggu kedua nanti. Siapa lagi yang akan dicalonkan. Mungkin bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh akan dicalonkan juga untuk jawatan Naib Presiden UMNO.