Memaparkan catatan dengan label timbalan presiden. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label timbalan presiden. Papar semua catatan

Khamis, Disember 18, 2008

MUHYIDDIN SUDAH JADI TIMBALAN PRESIDEN UMNO


Walaupun para perwakilan UMNO belum lagi memilih Timbalan Presiden UMNO yang baru, kerana pengundian akan diadakan pada bulan Mac 2009, tetapi hari ini Utusan Malaysia sudah melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.


Dalam Utusan Malaysia hari ini pada muka surat 26 dalam berita "Tabung Bukit Antarabangsa dapat sambutan", Utusan Malaysia menulis pada para ketiga, "Pengerusi tabung itu, Datuk Ismail Kijo berkata antara penyumbang utama ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menyumbangkan RM50 ribu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam (RM40 ribu) dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM30 ribu).


Awal betul Utusan Malaysia melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Isnin, November 10, 2008

ANTARA MUHYIDDIN, ALI DAN MUHAMMAD: PERWAKILAN PILIH SIAPA?


Para perwakilan UMNO Mac depan pening kepala nak pilih siapa antara Muhyiddin, Ali dan Muhammad? Jika berdasarkan track record, mereka adalah hebat-hebat belaka.

Muhyiddin bekas exco pemuda UMNO Malaysia mula masuk parlimen pada tahun 1978. Beliau sama dengan Najib sebagai exco pemuda.
Mula-mula Muhyiddin adalah setiausaha parlimen dan akhirnya timbalan menteri sebelum dibawa balik ke Johor sebagai Menteri Besar pada tahun 1986.

Dua penggal di Johor, beliau dipanggil balik ke pusat sebagai menteri. Pada mulanya Menteri Belia dan Sukan lepas itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kemudiannya ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kini di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kelebihan Muhyiddin di mana sahaja beliau berada, sentuhannya di setiap kementerian amat berjaya.Cuma orang Johor marah kerana kononnya sewaktu Muhyiddin jadi MB banyak tanah Johor terlepas ke tangan orang Singapura.

Muhammad juga seorang tokoh yang hebat. Pada tahun 1982 beliau seorang ADUN biasa dan pada tahun 1986 beliau terpilih sebagai MB Selangor menggantikan Tan Sri Ahmad Razali. Dari seorang yang tidak dikenali, beliau menjadi begitu popular dan dipilih sebagai naib presiden UMNO buat kali pertama pada tahun 1993 bersama Muhyiddin dan Najib.

Muhammad begitu kontroversi bila dia nikahi anak Sultan Selangor yang menyebabkan Baginda murka. Selain itu kes ditangkap di Australia membawa wang keluar menyebabkan beliau terpaksa berundur dari politik Selangor.
Tetapi esok masih ada buat beliau. Beliau dilantik Senator dan Menteri Luar Bandar selepas pilihan raya umum lalu. Beliau tidak jadi calon tetapi dilantik Senator. Jika beliau jadi calon dan kalah sudah tentu beliau tidak dapat jadi menteri kerana pada mulanya namanya disebut sebagai calon BN di Shah Alam.
Ali juga amat menonjol di Melaka. Pada tahun 1990 beliau adalah Exco Melaka. Pada tahun 1995 beliau ditarik ke pusat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan kemudiannya Timbalan Menteri Kesihatan. Pada tahun 1999 beliau kembali ke Melaka sebagai Ketua Menteri. Kini sudah penggal menerajui Melaka, beliau juga hebat seperti bekas Ketua Menteri dahulu, rahim Thamby Chik.

Terpulanglah kepada perwakilan mahu pilih siapa antara Muhyiddin atau Ali atau Muhammad. Kalau tak mahu pilihan raya kecil, pilihlah Muhyiddin. Kalau mahu pilihan raya kecil, pilihlah Ali atau Muhammad. Kalau Muhammad menang pun, tak perlu adakan pilihan raya kecil kerana Senator boleh jadi Timbalan Perdana Menteri.
Senator hanya tak boleh jadi Perdana Menteri. Kalau nak pilih orang yang tidak ada skandal peribadi, pilihlah Muhyiddin atau Ali. Kalau nak pilih orang yang yes man, pilihlah Ali atau Muhammad kerana kelantangan Muhyiddin mungkin menakutkan Najib.
Tapi harus ingat bahawa kerana Muhyiddin, Pak Lah berundur dan Najib dapat merasa kerusi nombor satu dengan segera. Jika tidak Jun 2010 baru Pak Lah nak berundur. Oleh itu jasa Muhyiddin kepada Najib tidak boleh dinafikan.

Jumaat, Oktober 10, 2008

BERI LALUAN KEPADA MUHYIDDIN


Akhirnya Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan tanding kerusi Naib Presiden UMNO dan bukannya Timbalan Presiden yang diumumkan sebelum ini. Keputusan Zahid ini sudah tentu mengejutkan kerana sebelum ini dia sudah buat kejutan mahu tanding jawatan nombor dua itu.

Dari segi logik, memang tak lojik Zahid tanding kerusi Timbalan Presiden kerana beliau tak pernah jadi Naib Presiden. Kalau yang bertanding itu ialah Muhyiddin Yassin dengan Ali Rustam, memang logik kerana mereka adalah penyandang Naib Presiden. Begitu juga kalau Isa Samad yang umum tanding Timbalan Presiden kerana beliau pernah jadi Naib Presiden.

Muhammad Muhd. Taib sudah mengesahkan tanding Timbalan Presiden hari ini di Shah Alam. Ketika saya temui beliau selepas meyuarat khas majlis tertinggi UMNO sebelum hari raya baru-baru ini, beliau terkejut bila saya tanya, benarkah Tan Sri nak tanding Timbalan Presiden. Akhirnya pertanyaan saya itu sudah menjadi kenyataan pada hari ini.

Muhammad adalah sebaya dengan Muhyiddin sebagai Naib Presiden. Malah mereka berdua sebaya dengan Najib bagi jawatan itu kerana mereka bertiga menang jawatan tersebut buat kali pertama pada tahun 1993.

Muhammad menang pada tahun 1993, 1996, 2000 tetapi tewas pada tahun 2004. Manakala Muhyiddin menang pada tahun 1993, 2000 dan 2004 dan pernah tewas pada tahun 1996. Maknanya dari segi kekuatan Muhammad dan Muhyiddin adalah seimbang. Muhyiddin jadi MB Johor dari tahun 1986-1995. Dari tahun 1995 menyertai kabinet. Mula-mula sebagai Menteri Belia dan Sukan (1995-1999), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas tani (2004-2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri(kini) manakala Muhammad adalah MB Selangor dari tahun 1986-1997 dan kini adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kelebihan Muhammad ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor sedangkan Muhyiddin bukan pengerusi perhubungan Johor.

Sehingga ini Ali dan Muhammad sudah mengesahkan bertanding. Muhyiddin akan umumkan esok manakala ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan tan Sri Mohamed sudah umum mahu tanding jawatan itu walaupun beliau tidak ada rekod dalam kerajaan seperti Muhammad, Ali dan Muhyiddin.

Wajarkah jawatan Timbalan Presiden ini dipertandingkan? Kenapa Muhammad dan Ali tidak beri laluan percuma kepada Muhyiddin? Pada tahun 1981, dua orang Naib Presiden, Ku Li dan Musa Hitam berebut jawatan itu yang memberi kemenangan kepada Musa.

Tiga tahun berikutnya, Ku Li tidak puas hati dengan kekalahannya itu lawan lagi Musa. Akhinya mereka berdua beregu pada tahun 1987 untuk menentang Dr. Mahathir Mohamad dan Ghafar Baba yang menyebabkan UMNO akhirya diharamkan pada tahun 1988.

Sejak itu UMNO tidak pernah membuka pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 1990, 1993, 1996, 2000 dan 2004. Anwar Ibrahim menang pada tahun 1993 setelah Ghafar tarik diri. Wajarkah jawatan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan semula pada tahun 2008?

Kenapa Muhammad dan Ali tidak berpakat dengan Muhyiddin dan beri laluan kepada Muhyiddin untuk jadi pembantu Najib? Bukankah Muhyiddin yang wajar duduk di kerusi itu kerana beliaulah yang paling lantang mengkritik Pak Lah setelah BN gagal menang dengan majoriti. dua pertiga dalam pilihanraya umum lalu
Tanpa usaha Muhyiddin ini, Pak Lah tak mungkin berundur. Oleh itu Najib patut berterima kasih kepada Muhyiddin. Kalau Najib boleh panggil Zahid untuk tarik diri, masakan Najib tidak boleh nasihati Muhammad dan Ali supaya beri laluan kepada Muhyiddin. Berilah peluang kepada Muhyiddin untuk membantu Najib menguatkan parti

Isnin, September 29, 2008

MUHAMMAD TAIB TANDING TIMBALAN PRESIDEN?


Pagi Jumaat lalu saya sampai awal di Riverside PWTC. Sang Kelembai sudah ada di situ. Dia baru balik dari Makasar, Indonesia. Rakan baiknya, Eman Jr sampai tidak lama selepas itu. Dia beritahu Tan Sri Muhammad Taib mahu tanding jawatan Timbalan Presiden UMNO lawan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Eman Jr yakin Muhyiddin akan menang.

Selepas sidang akhbar mesyuarat majlis tertinggi jam 12, saya menunggu Muhammad Muhd. Taib untuk minta ulasannya. Dia baru habis diwawancara oleh wartawan di depan pintu utama PWTC. Saya kejarnya ke kereta,

“Tan Sri, saya dengar Tan Sri mahu tanding Timbalan Presiden” kata saya.
“Siapa cakap?” tanya Muhammad.
“UMNO Selangor” jawab saya
“Nanti saya tanya dengan UMNO Selangor” katanya tersenyum
“You dari mana?” soal Muhammad yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
“Dari WATAN,” jawab saya. Nampak beliau terkejut bila dengar saya dari WATAN.

Hari itu heboh Pak Lah akan berundur sebelum 9 Oktober ini selepas selesai mesyuarat majlis tertinggi UMNO. Kita tunggulah 9 Oktober ini.