Sabtu, Februari 10, 2018

PENGUNDI CINA DISERU KEMBALI SOKONG BN

BERA, 10 Feb (Bernama ) -- Pengundi Cina di negara ini diseru supaya kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada PIlihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk memastikan kebajikan dan nasib mereka terus dijaga.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masyarakat Cina tidak akan mendapat apa-apa pembelaan daripada pembangkang jika mereka berterusan memberikan sokongan kepada parti itu.

"Contohnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) Triang sendiri, apabila berlaku banjir mahupun apa-apa permasalahan, masyarakat Cina datang berjumpa dengan wakil MCA, Gerakan dan saya sendiri untuk mendapatkan bantuan kerana wakil rakyat DAP mereka tidak dapat membantu."

"Mereka hanya hadir untuk bersalam (apabila berlaku musibah dan keraian) dan tidak lebih daripada itu, datang tangan kosong?yang balik pun tangan kosong, calon yang nak bertanding pula, baru sekarang nampak muka, muncul lima tahun sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan dan penyampaian sumbangan kepada 1,100 warga emas masyarakat Cina dari Parlimen Bera sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kompleks Rakan Muda, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata masyarakat Cina di negara ini perlu bijak menilai tentang perkara berkenaan kerana amat merugikan jika mereka memilih wakil rakyat yang tidak dapat membantu mereka di waktu kesusahan atau ditimpa bencana.

Berbeza dengan pembangkang katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah banyak melaksanakan dasar-dasar untuk menjaga kebajikan masyarakat Cina termasuk dari segi sosial dan ekonomi.

"Untuk memastikan kebajikan masyarakat Cina terus terbela, ia harus diterjemahkan dengan memilih calon daripada BN pada PRU akan datang?setiap undi itu penting jangan dan sia-siakannya dengan memilih calon yang tidak boleh membantu rakyat."

"Ini kerana tujuan kita memilih wakil rakyat adalah untuk membantu selesaikan masalah, jadi dalam PRU nanti, undi jangan ikut emosi," katanya.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata berdasarkan pemerhatian beliau, angin perubahan telah mula ketara apabila sokongan masyarakat Cina telah mula kembali kepada BN setelah mereka menyedari hakikat berkenaan.

-- BERNAMA