Isnin, Februari 19, 2018

NADZARI PERSOAL TANAH IJOK

oleh ABDULLAH KARIM

SHAH ALAM: Sekali lagi sikap pemimpin pembangkang terserlah apabila berterusan mencari orang lain untuk dipersalahkan ketika berdepan kemelut yang menjerut sikap retorik mereka yang selama ini mendabik dada mengatakan kononnya mereka adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Timbalan Pengerusi Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata apabila BN dan Umno dikatakan 'panik’ kononnya isu tanah di Ijok berjaya diselesaikan, ia sebenarnya tindakan cuba mengalih perhatian umum dan ia juga sebenarnya kenyataan dangkal yang tidak menjawab persoalan pokok yang lebih besar iaitu mengapa tanah yang dirampas kerajaan negeri diserahkan kembali kepada syarikat bermasalah.

"Persoalan lain yang perlu dijawab ialah bagaimana kerajaan negeri boleh memberi kebenaran kepada dua syarikat bermasalah berkenaan untuk melakukan transaksi jualan kepada syarikat ketiga dengan nilai RM1.18 juta bilion disebalik kes berkenaan masih di mahkamah persekutuan?," tanya beliau.

Katanya fakta yang sudah diketahui ramai ialah dua kali kes tanah Ijok dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan ia dimenangi Kerajaan Negeri.

"Justeru apabila dua syarikat tadi membawanya ke Mahkamah Persekutuan pula, mengapa kerajaan negeri mengaku kalah dan membenarkan penyelesaian dibuat? Ini yang diragui," katanya.

Datuk Mat Nadzri berkata memang benar, peneroka boleh menarik nafas lega apabila menerima pampasan yang dijanjikan oleh dua syarikat terbabit tetapi dengan nilai RM1.18 bilion yang diterima selepas tanah dijual kepada syarikat ketiga, adakah adil nilai berkenaan kepada peneroka jika jumlah yang dikeluarkan hanya RM421 juta berbanding RM1.18 bilion yang diterima. Ke mana baki RM756 juta tadi?

"Seharusnya peneroka yang terlibat diberi pampasan mengikut harga semasa tanah berkenaan dan bukan nilai yang dibuat pada tahun 2000," katanya.

Sehubungan itu BN dan Umno Selangor mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia segera menyiasat Datuk Seri Azmin Ali mengenai apa sebenarnya yang berlaku di sebalik transaksi dan keputusan yang meragukan itu.

Datuk Mat Nadzri meminta rakyat Selangor membuka mata dan menilai sebaik-baiknya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor ini kerana pada hakikatnya banyak lagi isu termasuk ketidakcekapan pentadbiran yang sedang berlaku di Pejabat Menteri Besar.

" Inisiatif ‘Peduli Rakyat’ yang diumumkan juga hanya sekadar cantik di atas kertas tetapi pelaksanaannya amat teruk sekali.

Beliau percaya kerajaan Selangor akan terus beretorik dan bermain dengan kata-kata bagi menampakkan pentadbirannya telus tetapi pada hakikatnya banyak dasar, polisi dan keputusan yang dibuat termasuk ‘Peduli Rakyat’ yang sebenarnya teruk di peringkat pelaksanaan.