Memaparkan catatan dengan label angkat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label angkat. Papar semua catatan

Selasa, Disember 17, 2013

ADUN ANGKAT SUMPAH DEPAN SPRM PEGANG AL QURAN TAHUN DEPAN

KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Mulai tahun hadapan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan dikehendaki mengangkat sumpah di hadapan SPRM dan Mufti selain memegang al-Quran. Menyatakan demikian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah ini bertujuan untuk menentukan pembuat pengakuan berlaku jujur dan amanah dengan tanggungjawab yang digalas. "Jika mereka hendak lakukan juga (rasuah), itu terserah kepada mereka, urusan dengan Allah, yang penting kita sudah beritahu bahaya rasuah, sudah bagi penerangan dan langkah pencegahan yang perlu dilakukan," katanya. Ahmad bercakap kepada pemberita pada Program Transformasi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah rasuah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di sini hari ini. Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan tradisi untuk berhubung rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan taklimat SPRM hari ini akan diperluaskan kepada pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan tidak lama lagi. Taklimat itu juga adalah sebagai komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam menjalankan urusan pentadbiran dengan telus dan berintegriti untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam.
Ahmad berkata beliau tidak mahu berlaku sebarang kesilapan di kalangan Adun yang bakal menjerat diri mereka dalam perangkap rasuah akibat kesilapan kecil dalam urusan pentadbiran harian. "Hari ini banyak perkara disentuh, termasuk kuasa perundangan serta bentuk kesalahan rasuah dan perkara-perkara yang boleh disabitkan sebagai ‘suapan’ yang mudah berlaku dalam kehidupan seharian. Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali. -- BERNAMA KAK AZM RS

Jumaat, September 04, 2009

BAGAN PINANG ANGKAT MARUAH BN


Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan kematian ADUNnya, Azman Mohd. Noor. Selama ini BN asyik kalah dalam pilihanraya kecil kecuali Batang Ai di Sarawak, maka Bagan Pinang di Negeri Sembilan dijangka mengangkat maruah BN.


Ini adalah kerana BN menang besar pada pilihanraya umum lalu mengalahkan calon PAS dengan majoriti 2,333 undi. Oleh itu agak sukar bagi PAS mahu menumbangkan BN kecuali PAS meletakkan calon heavyweight yang sudah dikenali umum.


Azman Mohammad Noor, 54, meninggal dunia di Hospital Pakar Seremban di sini pada pukul 2.30 petang hari ini.


Anak lelakinya Hairol Asfani, 22, berkata bapanya meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah.Allahyarham yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang di Port Dickson memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Azman mendapat 6,430 undi manakala Ramli mendapat 4,097 undi.


DUN Bagan Pinang merupakan satu daripada lima DUN di kawasan Parlimen Teluk Kemang. Empat lagi DUN ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.


Ekoran kekosongan kerusi itu, satu pilihan raya kecil dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari untuk memilih wakil rakyat baru.BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.


Pada pilihan raya lepas, DAP menang 10 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (4) dan PAS (1)


Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normah Zainal Abidin, 49, dan lima orang anak iaitu Mohd Khusairi, 23, Hairol Asfani, 22, Norsyazila, 19, Norsyafikah, 16, dan Norsyafitra, 13.


Hairol Asfani yang ditemui pemberita di hospital itu berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada pukul 3.30 pagi tadi akibat demam dan tidak boleh berjalan.


"Ayah mengadu demam sebelum ini tapi boleh berjalan tetapi lepas berbuka (puasa) petang semalam ayah tidak boleh berjalan," katanya.


Beliau berkata semua anggota keluarga berada di sisi bapanya semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 2.30 petang.


Hairol Asfani berkata bapanya pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada Mei lepas.


Turut hadir di hospital ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.


"Allahyarham merupakan kawan lama saya dalam Umno, tambahan pula beliau adalah Naib Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan telah berkhidmat dengan baik. Saya berharap keluarga allahyarham dapat bersabar menerima dugaan ini dengan tabah," kata Mohamad.


Mohd Isa pula berkata pemergian allahyarham adalah kehilangan seorang tokoh Umno Bahagian Telok Kemang dan Negeri Sembilan.


Katanya allahyarham adalah seorang yang taat kepada parti dan komited dalam tugasan yang diberikan kepadanya.Jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan kariah Bagan Pinang malam Jumaat.

Selasa, September 01, 2009

IDRIS ANGKAT SUMPAH SENATOR


Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai senator pagi ini, dan akan melaksanakan tugas baru sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang baru diwujudkan.


Idris, 51, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng di Dewan Negara di Kuala Lumpur.


Pelantikan Idris diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.


Menyifatkan pelantikannya sebagai satu tugas khidmat negara, bekas CEO Malaysia Airlines itu berkata beliau berazam untuk melaksanakan tugas dengan tekun."


Saya amat gembira berada di sini dan saya akan buat kerja saya dengan bertungkus lumus untuk kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas upacara itu.


Beliau turut menjelaskan selaku CEO Pemandu, beliau akan melaporkan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, oleh itu tidak berlaku pertindihan dalam melaksanakan tugas.


"Dalam hubungan ini, saya sebenarnya bukanlah menteri dalam kapasiti itu," katanya.


Beliau berkata keutamaannya dalam Pemandu sekarang ialah untuk mendapatkan butiran terperinci berhubung kemajuan Indeks Prestasi Utama (KPI) sehingga kini dan akan merangka lebih banyak inisiatif untuk terus menggerakkannya dalam usaha mencapai objektif nasional.


Mengenai tugas sebagai menteri, Idris berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri.


"Tanggungjawab itu akan diberikan kepada saya dari semasa ke semasa oleh Perdana Menteri," katanya.


Mengenai pengganti beliau dalam MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin, Idris berkata beliau berkeyakinan penuh terhadap Azmil untuk memacu syarikat penerbangan kebangsaan itu ke arah kejayaan yang lebih gemilang.