Memaparkan catatan dengan label buka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buka. Papar semua catatan

Rabu, November 10, 2010

SPRM SETAKAT BUKA KERTAS SIASATAN BOLEHLAH


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan baru-baru ini dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka berdasarkan laporan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata setakat ini, sekurang-kurangnya 15 kertas siasatan dibuka berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, termasuk perbelanjaan Kementerian Pertahanan untuk barangan mewah bagi bilik VVIP, Mawilla 3 di Pangkalan Tentera Laut Lumut dan Langkawi.

"Apa-apa dalam laporan audit itu yang ada kaitan dengan rasuah, tidak mematuhi spesifikasi dan tuntutan palsu di mana bekalan tidak dibuat, semua kita siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis perasmian Hari Inovasi SPRM 2010 di Putrajaya hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata sebahagian besar kandungan laporan itu telah disiasat sejak sebulan lepas, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata beberapa pihak yang terlibat juga telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, SPRM mengumumkan telah membuka 13 kertas siasatan, 14 kertas penyiasatan awal serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, berdasarkan laporan audit tersebut.

Tiga daripada kertas siasatan dibuka di Johor, enam di ibu pejabat, dua di Terengganu, serta masing-masing satu di Sarawak dan Selangor.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abu Kassim berkata aspek inovasi termasuk dari segi kaedah sistem dan prosedur yang digunakan oleh agensi itu, adalah penting bagi menyelesaikan kes rasuah.

Beliau berkata tiga prinsip utama iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme harus menjadi teras inovasi SPRM bagi merealisasikan visinya
sebagai agensi penguatkuasaan yang terunggul di rantau ini.

Pegawai SPRM juga diarah mendokumentasikan kejayaan inovasi yang dicatat organisasi itu kerana ia merupakan bahan rujukan bernilai tinggi berbanding buku sedia ada, katanya.

Selasa, Julai 06, 2010

FELCRA BUKA KAWASAN BARU


Felcra Berhad merancang membangunkan 10,000 hektar kawasan baharu di negeri Terengganu di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Eksekutif Kanan Perancangan Projek Felcra Berhad Wilayah Timur Che Mohd Zainun Abd Jalil berkata ia bertujuan menarik lebih ramai peserta dalam rancangan tanaman semula.

"Kawasan tersebut akan ditanam sama ada kelapa sawit atau pun getah," katanya kepada di Kuala Terengganu hari ini.

Selain itu, beliau berkata Felcra juga akan mengadakan program perancangan tanaman semula pokok yang sudah tidak mempunyai nilai ekonomi dan hasil.

Che Mohd Zainun berkata program itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, yang membabitkan kawasan seluas 5,000 hektar.

Beliau berkata sehingga kini, Felcra telah memajukan seluas 24,000 hektar di seluruh Terengganu, termasuk 5,000 hektar yang akan ditanam semula.

Bilangan peserta yang terbabit dalam rancangan Felcra di Terengganu sehingga kini adalah seramai 5,500 orang, katanya.

Che Mohd Zainun berkata, Felcra mengalu-ngalukan mana-mana pemilik tanah yang berminat untuk menyerahkan tanah untuk dimajukan oleh agensi itu.

Beliau berkata antara faedah yang akan dinikmati pemilik tanah jika bersetuju tanah mereka dimajukan oleh Felcra ialah menerima keuntungan bersih apabila ladang mengeluarkan hasil.

Jika bekerja di ladang, pemilik tanah akan dibayar upah bekerja dan jika keluarganya turut bekerja, maka keluarganya juga akan turut dibayar upah.

Che Mohd Zainun berkata pemilik tanah boleh menghantarkan maklumat kepada Felcra Berhad sebagai pelaksana tanah-tanah tersebut.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)

Isnin, Januari 18, 2010

TERENGGANU CADANG BUKA SEMULA LOMBONG BIJIH BESI


Kerajaan negeri Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geologi supaya membuat kajian tentang perkara itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Selepas kajian dibuat dalam tempoh enam bulan dan laporan berhubung perkara itu dibentangkan nanti, baru kita dapat memutuskan sama ada ia akan dibuka kembali.

"Perlombongan ini akan dilakukan dengan usahasama pihak tertentu dengan anak syarikat kerajaan negeri memegang sebahagian besar kepentingannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hampir sehari ke kawasan bekas perlombongan itu di sini Isnin.

Di zaman era kegemilangan Bukit Besi dahulu pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an, dilaporkan seramai 3,800 orang bekerja di situ sehingga menjadikan Bandar Bukit Besi bandar paling maju di Terengganu sehingga membawa kepada pembinaan pelbagai prasarana untuk menampung keperluan ekonominya.

Bagaimanapun, semua era kegemilangan itu lenyap selepas bahan mineral berkenaan habis dilombong pada 1974.

Namun, kini kawasan itu dikatakan masih mempunyai bahan galian tersebut.

Ahmad, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar keluasan kawasan yang terlibat dengan kajian itu.

Katanya, selain itu kerajaan negeri akan memulihkan infrastruktur dan artifak-artifak lama yang pernah dibina semasa zaman perlombongan sebagai satu tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

"Kita akan minta Jabatan Muzium untuk mewartakan kawasan-kawasan serta artifak yang terlibat sebelum usaha memulihara kembali tinggalan sejarah itu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan sikap pemaju yang bertanggungjawab membina kampus UiTM Bukit Besi kerana bertindak menebang hutan secara berleluasa walaupun sebelum ini telah diarahkan agar mengelakkan sebarang pembalakan yang tidak perlu.

"Pihak berkuasa Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sendiri telah memberitahu kepada pemaju, kalau boleh kita ingin menjadikan kampus UiTM ini sebagai kampus dalam taman dan ini dapat membantu mengekalkan persekitaran alam semulajadinya.

"Kita minta mereka menebang pokok hanya di kawasan yang perlu sahaja, tetapi hasil tinjauan hari ini kita nampak banyak (pokok) balak yang telah ditebang," katanya.

Dalam pembinaan fasa satu Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi, yang membabitkan kos RM54 juta, lebih 25 hektar kawasan telah dibersihkan.