Jumaat, Julai 15, 2011

MACAM MANA BN MAHU TAWAN KEDAH?


Macam mana BN mahu tawan Kedah jika ahli UMNO masih bercakar sesama sendiri? Inilah yang berlaku di Sungai Petani baru-baru ini.

Persidangan perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani sedikit kecoh berikutan tindakan sekumpulan anggota parti bahagian itu yang tidak berpuas hati dengan penggantungan ketua bahagian itu Ali Yahya oleh Majlis Tertinggi (MT).

Kumpulan kira-kira 40 lelaki itu yang membawa sepanduk dan kain rentang memasuki dewan Institut Kemahiran Mara (IKM), tempat persidangan berlangsung sebaik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanifah memasuki dewan kira-kira pukul 10 pagi.

Sepanduk dan kain rentang itu, antara lain tertera perkataan "mengapa ketua yang dipilih dipinggirkan" dan "kami mahu keadilan" selain mempersoalkan keputusan MT berhubung masalah bahagian itu.

Kekecohan itu bagaimanapun reda selepas 10 minit apabila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta supaya anggota Umno menyelesaikan semua masalah sebagai satu keluarga. Kumpulan lelaki itu kemudiannya beredar keluar.

Jawatan Ali sebagai ketua bahagian itu digantung berikutan kekecohan persidangan perwakilan bahagian itu pada 2009 dan kini ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Panel Pengurusan dan Pentadbiran diketuai Mukhriz.

Selain Mukhriz, jawatankuasa Panel itu dianggotai Datuk Md Rozai Shafian (Ketua Umno Bahagian Pendang); Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Ketua Penerangan Umno Negeri) dan Datuk Othman Aziz (Setiausaha Umno Negeri).

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Bashah berkata memang ada sedikit rasa tidak puas hati di kalangan perwakilan tetapi keadaan adalah terkawal dan tidak sampai menjejaskan perjalanan mesyuarat.

Mukhriz pula berkata beliau yakin semua masalah yang berlaku atau rasa tidak puas hati dapat diselesaikan dalam masa terdekat.