Memaparkan catatan dengan label lebih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lebih. Papar semua catatan

Selasa, Mei 03, 2016

ANTARA PAS DAN AMANAH:SIAPA LEBIH POPULAR DI SARAWAK?

KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Percaturan PAS dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah) bukan sahaja sekadar menambat hati pengundi Sarawak malah lebih kepada saingan populariti antara kedua-dua parti semenanjung itu.



Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini, menjadi medan berkecuali bagi kedua-dua parti itu menentukan siapa antara mereka lebih popular berdasarkan undi yang diperoleh dalam 24 kerusi yang ditandingi PAS-Amanah.

Banyak pihak dan pemerhati politik berpendapat kedua-dua parti itu tidak releven dalam senario politik Sarawak malah kehadiran di Bumi Kenyalang lebih bersifat ego sesama sendiri.

Langkah PAS menggandakan kerusi yang ditandingi serta penampilan sulung Amanah pada pilihan negeri kali ini tidak harus dilihat dari segi memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak semata-semata.

Malah, sebarang pencapaian kedua-dua parti itu akan menentukan hala tuju dan penerimaan rakyat terhadap parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pada PRN-11, PAS meletakkan 11 calon berbanding lima pada pilihan raya negeri 2011 dan Amanah membuat penampilan sulung di sini dengan kehadiran 13 calon di kawasan majoriti Melayu-Melanau.

Kedua-dua parti berkenaan akan bertembung di enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Samariang, Kakus, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro,

Selain enam kerusi itu, PAS turut bertanding kerusi DUN Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Amanah juga bersaing di kerusi DUN Demak Laut, Gedong, Kuala Rajang, Semop, Daro, Jemoreng dan Balingian.

Pada PRN 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro, namun gagal memenangi sebarang kerusi.

Berdasarkan hasil kajian dan tinjauan, penganalisis politik berpendapat kedua-dua parti itu sukar untuk memenang walaupun satu kerusi berikutan tahap fahaman ideologi yang dibawa oleh mereka masih rendah.

Di samping itu, mereka berkata populariti Ketua Menteri, Adenan Satem merangkap Pengerusi BN Sarawak, melonjak kepada lebih 80 peratus, sekali gus meningkatkan cabaran PAS-Amanah untuk menembusi kuat kuat BN.

Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan PAS menerima peratusan undi yang lebih tinggi daripada sebelum ini kerana undi bantahan terhadap calon BN.

Pensyarah sains politik, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi memberitahu Bernama bahawa kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai peluang memperoleh undi tambahan kerana "janji-janji yang tidak dipenuhi oleh penyandang calon BN".

"Ia tidak bermakna PAS lebih diminati tetapi pengundi rasa suara mereka tidak cukup didengar...sebab itu mungkin sebilangan kecil pengundi membantah.

Beliau turut berkata pertembungan kedua-dua parti itu boleh memecahkan undi dengan BN memperoleh kelebihan.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis berkata jumlah kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua parti itu tidak masuk akal, sebaliknya, hanya menumpukan kepada dua atau tiga kerusi sahaja.

Keluasan kawasan pilihan raya di Sarawak dan sumber yang terhad menyukarkan peluang kedua-dua parti semenanjung itu malah kerusi yang mereka bertanding merupakan kubu kuat BN, katanya.

-- BERNAMA

Rabu, November 11, 2015

LEBIH BEBAS BERCAKAP DI LUAR DARI BERCAKAP DALAM MAJLIS PEGUAM

Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mendakwa tidak bebas bercakap dalam Majlis Peguam (Bar Council).
Katanya, di luar, Majlis Peguam memberitahu rakyat, kita mempunyai hak untuk bercakap, (tetapi) di sini, Majlis Peguam cuba menutup mulut beliau.
"Saya cuba bercakap dengan akhbar, anda beritahu saya tidak boleh buat begitu, perlu berhenti. Itu menyekat saya dari bercakap. Anda cuba tutup mulut saya. Jadi, saya meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Peguam pada 2001" kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Beliau selaku Bendahari Majlis Peguam selama 12 tahun kesal kerana penglibatannya dalam Umno yang lebih ditonjolkan dari penglibatannya dalam Majlis Peguam.
 "Untuk makluman, saya pernah menjadi ahli Umno. Tetapi semasa menjadi peguam, saya sangat aktif dalam Majlis Peguam. Dan untuk menjadi pemegang jawatan dalam Majlis Peguam, kita tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik. Jadi, saya meletak jawatan dari apa saja pertubuhan atau parti politik apabila saya terlibat dalam Majlis Peguam. Dan untuk makluman, saya berada dalam Majlis Peguam selama hampir 12 tahun (1991-2003), " tegasnya.
Dalam Umno, beliau jadi ahli selama sembilan tahun dari tahun 1982 hingga 1991. Beliau tidak pernah dilantik Bendahari Umno Kelantan sebaliknya beliau adalah Ketua Pemuda Umno Pengkalan Chepa.Beliau tidak pernah pegang jawatan di perhubungan Umno Kelantan kerana jawatan Bendahari Umno Kelantan disandang oleh Nik Husain Nik Abdul Rahman pemilik Malaysia Thai Development Berhad (MTD).

Katanya, beliau penasihat undang-undang Umno. Mereka menggelarnya penasihat undang-undang. Anda tahu mengapa? Anda ambil perlembagaan Umno. Tidak ada jawatan yang dikenali sebagai penasihat undang-undang. Tidak ada! 
"Anda tahu mengapa saya dipanggil penasihat undang-undang? Kerana saya ambil kes petisyen pilihan raya Umno. Saya buat banyak petisyen pilihan raya untuk Umno. Semua kes di Kelantan, dari 1982 dan seterusnya, apabila saya menjadi peguam. Saya buka firma guaman sendiri, jadi selepas pilihan raya umum pada 1982, saya ambil semua kes petisyen pilihan raya mereka," jelas beliau.
Dalam Umno, beliau hanya Ketua Pemuda bahagian, pemimpin kecil peringkat bahagian tetapi sebagai peguam beliau mengambil semua kes petisyen pilihanraya BN.
Beliau bukan Bendahari Umno Kelantan tetapi Bendahari Majlis Peguam sebanyak dua kali.
"Saya ingin tekankan sekali lagi. Bangunan itu, yang kini dimiliki Majlis Peguam, adalah idea saya ketika saya menjadi bendahari. Saya beritahu Majlis Peguam, 'Hei, kita menyewa premis di sana sini. Tiba masanya kita membeli satu. Saya bertanggungjawab dan saya dapatkan wang untuknya. Dan itulah, bangunannya. Ia patut dinamakan Bangunan Apandi," katanya.
Dan ketika beliau  dalam Majlis Peguam, kami menganjurkan Persidangan Undang-undang Komanwel yang paling berjaya pada 1999, Persidangan Komanwel ke-16. Dan kerana kami sangat berjaya, beliau menjadi bendahari dan kemudian, kami mengumpul banyak wang. Dengan itu, beliau dapat idea untuk membeli bangunan kami sendiri. Jadi, membandingkan kehidupan beliau sebagai ahli Umno dan ahli Majlis Peguam, beliau menghabiskan lebih banyak masa di Majlis Peguam daripada Umno.
"Tetapi jika anda bercakap tentang menjadi bendahari, saya bendahari Majlis Peguam dan saya salah seorang ahli yang memegang jawatan, 'the inner circle' (golongan dalaman). Anda tahu siapa golongan dalaman? Presiden, naib presiden, bendahari, setiausaha. Empat orang. Mereka ini golongan dalaman. Mereka semua boleh menjadi ahli Majlis Peguam, tetapi mereka tidak menyertai perbincangan dalaman. Saya adalah sebahagian daripadanya," hurai beliau.
Pertama kali beliau menjadi bendahari, beliau mula keluarkan buah fikiran beliau. Jadi, mereka semua cuba tutup mulutnya. Marahi beliau. Golongan dalaman ini. Orang seperti Tommy Thomas dan Sulaiman Abdullah.
"Mereka mahu kenakan saya kerana pada masa itu saya pengerusi Peguam Kelantan. Saya pengerusi Peguam Kelantan selama 7 tahun. Jadi sebagai pengerusi Peguam Kelantan, akhbar kadang-kadang datang dan bertanya saya macam-macam, jadi, saya berikan pandangan saya mengenai apa saja isu yang dibangkitkan," katanya.
"Sesetengah pandangan saya tidak disukai golongan dalaman Majlis Peguam. Jadi mereka mula menghentam saya dan sebagainya. Jadi, kami boleh dikatakan, menghentak meja. Saya dan Sulaiman. Dan kemudian saya lihat, semua orang memerhatikan apa yang saya katakan, mereka cuba untuk kenakan saya. Kita mempunyai hak untuk bercakap, bukan?" soalnya.

Jelasnya lagi, orang yang boleh mengesahkan hal ini ialah seorang yang sinonim dengan Majlis Peguam, Cik Catherine Eu. Dia masih hidup, ingatannya masih baik, pergi tanya dia. Dia boleh sahkan saja yang beliau beritahu.
"Bercakap mengenai Majlis Peguam, saya berada di Majlis Peguam sebelum orang seperti Ambiga (Datuk S Ambiga), Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru. Steven Thiru (presiden Majlis Peguam sekarang) masih merupakan seorang peguam muda apabila saya mengambil petisyen pilihan raya. Dia selalu ikut saya ke sana ke mari, bawa beg dan fail saya," katanya lagi.

Beliau menjadi mangsa persepsi yang salah. Itu apa yang ingin beliau katakan. Beliau menjadi mangsa persepsi yang salah kerana tempoh pendek beliau dalam Umno, di mana beliau tidak memegang apa-apa jawatan tinggi, digunakan untuk menyatakan beliau seorang ahli Umno dan sebagainya. 
"Tetapi dari sisi lain, saya lebih aktif dalam Majlis Peguam dan saya beritahu anda, ada ketikanya kerajaan tidak bertindak betul, dan saya beritahu mereka mengenainya," dakwanya.
Pada tahun 1998 atau 1999, enam orang India ditembak di Pengkalan Chepa. Mereka dari Kerala. Dan salah seorang daripada mereka bekerja sebagai atendan hospital. Mereka ditembak. Semua dibunuh. Ditembak di kepala, ditembak di mata, di leher. 

"Dan anda tahu, saya dapati tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan penjenayah. Mereka (polis) bertindak atas maklumat salah. Ia adalah 'assassination', ia pembunuhan. Jadi saya membuat kecoh, kerana kes itu di negeri saya. Saya menulis memorandum dan pergi berjumpa dengan  Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri dan menteri dalam negeri. Memberinya memorandum. Semuanya saya sendiri, anda tahu? Ketika itu saya pengerusi Peguam Kelantan," katanya.
Dan kerana itu, mereka mengarahkan siasatan dijalankan. Beliau menghadiri siasatan itu. Siasatan itu diadakan di Tumpat. Pejabat beliau  di Kota Baru. Beliau pergi-balik, pergi-balik, (secara) pro bono. Beliau tidak mengambil apa-apa (upah guaman). Setelah semuanya berakhir, dapatannya ialah, mereka ini dibunuh dengan cara yang salah.
"Saya juga memberi taklimat kepada Majlis Peguam. Kami adakan EGM yang besar di mana saya menjelaskan segala-galanya, apa yang berlaku, bagaimana pihak polis bertindak dengan cara yang 'high-handed' (perbuatan menindas yang begitu angkuh). Dan saya katakan, mereka dibunuh (executed), kerana mustahil untuk menembak dalam gelap, betul-betul di kepala, dan mata dan telinga, semua 6 daripada mereka. Dan mereka membuang revolver berkarat dekat dengan mayat itu dan berkata, mereka melepaskan tembakan. Tidak ada langsung sebarang tanda ditembak pada kenderaan polis. Sebab itu saya begitu marah dengan pihak polis. Rekod semua ada di sana. Jadi, untuk mengatakan saya pro kerajaan tidak benar. Saya pro undang-undang," katanya.
Dan Karpal (Singh), mendiang Karpal, asyik berkata kepada beliau, 'Umno, Umno'. Beliau mengingatkan Karpal kejadian ini. Beliau katakan kepadanya, Encik Karpal, anda pasti akan ingat. Selepas beliau menghabiskan masa dan tenaga beliau membawanya kepada perhatian kerajaan, Karpal secara senyap-senyap pergi dan berjumpa keluarga itu, menyaman kerajaan, dan membuat duit. Kerajaan menyelesaikannya tanpa pergi ke mahkamah kerana mereka tahu mereka bersalah.

Menjelaskan penubuhan NRRET, ia adalah penjenamaan semula yang beliau lakukan atas pasukan petugas lama yang dibentuk pendahulu saya pada 2011. Oleh kerana ada begitu banyak pasukan petugas, semua orang keliru. Lupakan pasukan petugas. Buat penjenamaan baru. Pemulihan hasil adalah untuk mendapatkan kembali apa sahaja hasil kerajaan yang hilang akibat gagal mengisytiharkan cukai pendapatan yang betul, gagal mengisytiharkan duti eksais di bawah Kastam, dan gagal mengisytiharkan transaksi wang ke luar negara.
"Wang yang masuk adalah di bawah pengubahan wang haram. Jadi, ini perkara utama yang kami sedang siasat dan jejaki. Ia melibatkan banyak agensi. Polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kastam, Bank Negara... semua agensi yang terlibat. Kami juga lihat kepada kes pengubahan wang haram. Tahukah anda banyak wang dibawa keluar dari negara ini? Dibawa keluar secara haram. Kita ada contohnya dua juta pekerja Indonesia di sini," jelas beliau.
Katanya, sudah tentu mereka menghantar wang (pulang) hampir setiap bulan atau setiap minggu. Bagaimana mereka hantar? Ada yang mengikut undang-undang, ada yang mempunyai ejen. Ini adalah komisen yang patut pergi kepada kerajaan. Tetapi tidak, kerana mereka lakukannya di bawah tanah. Mereka ada ejen di sebuah bank di Indonesia, dan mereka juga ada satu lagi ejen di sini. Semua tidak berdaftar. Bagaimana mereka melakukannya? Dan ia sudah dilakukan. Kami gunakan ejen provokasi (ejen yang menyamar), kami berjaya mengesan semua mereka. Kami juga menghantar ejen provokasi ke Indonesia. 

Apandi menolak dakwaan NRRET mencari ikan bilis sahaja.
" Tidak, kami juga cari mereka yang besar-besar. Kerana ini tidak diketengahkan atau dilakukan secara terbuka. Kadang-kadang, apabila kami berdepan dengan mereka, kerana tidak membayar cukai contohnya, mereka beritahu kami, 'Okay, jangan bawa saya ke mahkamah, tidak baik untuk imej kami dan sebagainya. Kami sedia bayar apa yang perlu dibayar'. Dan mereka membayar secara senyap-senyap. Ia boleh diterima," katanya lagi.

Selasa, Ogos 11, 2015

WANITA UMNO LEBIH BERANI DARI PEMUDA UMNO

Nampaknya wanita Umno lebih berani dari pemuda Umno dalam isu Najib Razak. Di Langkawi, perwakilan wanita, Anina Saaduddin mendakwa tiga juta ahli umno menjadi mangsa kencing Presiden Umno itu.

Dalam ucapan keras dan bernada tinggi itu, Anina Saaduddin, tuan punya badan berkata tiga juta anggota Umno kini menjadi mangsa “kencing” Najib.

“Datuk Seri presiden dah kencing tiga juta ahli Umno. Dia kata tiga juta ahli Umno sokong penuh kepimpinan beliau.

“Saya minta MT (Majlis Tertinggi) Umno bawa Datuk Seri Najib pi (pergi) berubat,” katanya.

Ucapannya telah dimasukkan ke dalam youtube yang telah ditonton oleh 300,000 penonton.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Saiful Hazizi Zainal Abidin menyifatkan tindakan seorang ahli wanita Umno Langkawi yang mengkritik keras presidennya  Najib Razak sebagai keterlaluan.

Malah, beliau juga kesal dengan tindakan ketua wanita bahagian itu kerana gagal mengawal keadaan sehingga mesyuarat tersebut sebagai medan melepas geram para perwakilan.

"Tindakan tersebut amat keterlaluan dan kalau tak suka sekalipun dengan tindakan presiden itu janganlah hina beliau di khalayak.

Di Pasir Gudang, ahli jawatankuasa Umno Bahagian, Norwati Abdul manaf menyerahkan memorandum kepada Najib mewakili 107 ketua cawangan yang mahu najib berundur.

Nampaknya wanita Umno Langkawi, Pasir Gudang lebih berani dari pemuda mendesak Najib berundur. Sementara itu kononnya Sultan Johor tidak membenarkan kapal terbang yang membawa Najib mendarat di lapangan terbang Senai.

Maka najib terpaksa mendarat di Singapura dan menaiki kereta dari sana ke Pasir Gudang. Jika semua sultan mengikut langkah Sultan Johor, maka najib dapat mendarat di Kuching, Kota Kinabalu, melaka dan Pulau Pinang sahaja.

Ini tanda-tanda rakyat tidak mahu kepimpinan Najib lagi. Maka sudah sampai masanya Najib berundur. Seperti kata Dr mahathir, jangan tunggu rakyat turun berdemostrasi di jalan raya. Ia adalah pilihan terakhir. Insaflah Najib. Cukuplah menjadi PM.

Semakin lama anda berada di situ, semakin kalah BN. Untuk selamatkan BN, undurlah sekarang. Jangan tunggu lama lama.



Khamis, Oktober 17, 2013

PASTIKAN MAT DALAM TIDAK DAPAT LEBIH DARI SATU UNDI

KEMAMAN: Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar) menyeru perwakilan Umno Bahagian Kemaman mempastikan pencabar Ketua Bahagian, Mat Dalam Awang tidak mendapat lebih dari satu undi pada pemilihan 19 Oktober ini. Katanya, Datuk Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar sudah banyak berjasa di Kemaman ini. “Oleh itu pastikan Mat Dalam tidak mendapat lebih dari satu undi pada 19 Oktober,” katanya dalam pertemuan dengan jenteranya di sebuah hotel di sini baru-baru ini. Pada 19 Oktober, Ahmad Said ditentang bekas penghulu, Mat Dalam Awang bagi jawatan Ketua Bahagian. Pada 19 Oktober, seramai hampir 1,000 orang perwakilan akan menentukan nasib Ahmad Said atau Mat Dalam Awang sebagai Ketua Bahagian. Manakala bagi jawatan timbalan pula, Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding. Bagi jawatan Naib Ketua, Wan Ahmad Nizam ditentang ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar. “Saya adalah Setiausaha Politik. Kalau saya kalah, maknanya imej Menteri Besar tercemar. Oleh itu pastikan Wan Hakim kalah,” pesan beliau lagi. Beliau yang kalah dalam pilihanraya umum lalu di DUN Chukai ditentang Wan Hakim setelah Wan Ahmad Nizam memenanginya jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 mengalahkan Datuk Mohd. Rahim Husin. Pertandingan ini menarik kerana ia adalah perlawanan di antara wakil rakyat Air Putih dengan bekas wakil rakyat Air Putih (Wan Ahmad Nizam pernah menjadi ADUN Air Putih dari tahun 2004 hingga 2008). Dalam pertemuan itu, beliau yakin Ahmad Said akan menang kerana berbanding Mat Dalam dengan Ahmad Said, apa jasa Mat Dalam kepada ahli-ahli Umno Kemaman. “Apa yang Mat Dalam dapat beri kepada perwakilan?’ soal beliau. Mat Dalam permah emngejutkan perwakilan Umno tahun 2000 apabila beliau mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said bagi jawatan Pengerusi Tetap dengan majoriti satu undi.

Ahad, Julai 21, 2013

KJ LEBIH BERANI DARI NAJIB

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (gambar) berkata beliau menyokong sepenuhnya cadangan agar jawatan Ketua Pemuda Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti dijadual Oktober ini. Katanya jika majoriti anggota parti mahukan demikian, pemilihan terbuka wajar diadakan bagi menghormati suara dan kehendak mereka. "Saya menghormati pandangan dari akar umbi kalau mereka mahu jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan, mengikut kepada pindaan perlembagaan parti kita," katanya kepada pemberita semasa mengadakan ziarah mesra ke kawasan perumahan Taman Pinggiran Senawang, di Seremban hari ini. Beliau diminta mengulas keputusan Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam mesyuarat khasnya semalam, yang mahu pemilihan Pemuda Umno Pusat pada perhimpunan agung parti akan datang, dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan. Khairy yang menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno sejak 2008 turut menyangkal akan adanya perpecahan dalaman sekiranya jawatan itu dipertandingkan. Katanya, walaupun parti kini dalam proses mengukuhkan perpaduan demi berbakti untuk rakyat, namun cadangan akar umbi yang mahukan pemilihan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. "Tidak semestinya bila ada pertandingan parti kita akan berpecah, kalau kita ada niat yang baik, persetujuan daripada semua calon yang mahu bertanding bahawa pertandingan itu dibuat secara sihat, saya rasa itu tidak akan memecahbelahkan parti," kata Menteri Belia dan Sukan itu. Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno, Khairy berkata masih terlalu awal untuk diputuskan perkara itu dan perlu menimbangkan pelbagai aspek termasuk pandangan rakan-rakan sebelum membuat keputusan. – Bernama, 20 Julai, 2013. BERKO

Rabu, Mei 08, 2013

MAHATHIR AKUI PRESTASI NAJIB LEBIH TERUK DARI PAK LAH

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa beliau tidak menjangka prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pilihan raya umum ke-13 akan lebih teruk daripada pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008. Mahathir, yang lantang mengkritik pentadbiran Pak Lah, berkata beliau menjangka prestasi Najib, sekurang-kurangnya lebih baik daripada Abdullah, yang mengetuai BN menguasai 140 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2004. Najib, walaupun sebelum PRU13 menjanjikan Umno dan penyokong BN kemenangan majoriti dua pertiga, hanya mampu menerajui gabungan itu memenangi 133 kerusi Parlimen - kurang tujuh kerusi berbanding dengan pencapaian Abdullah pada 2008. Mahathir (kiri) berkata, Najib mungkin berdepan dengan kritikan dari dalam Umno. Sudah tentu, tambahnya, orang akan mempersoalkan keupayaan dan strategi Najib. Di segi perlembagaan, kata Mahathir, Najib kekal sebagai ketua kerajaan selagi Umno menyokong. Mahathir berkata beliau juga berkempen untuk pentadbiran Najib, dengan harapan pencapaian mereka akan lebih baik daripada 2008, walaupun beliau tidak menjangka BN mampu memperolehi majoriti dua pertiga. Beliau mengingatkan bahawa BN harus belajar daripada kesilapan dalam PRU13 dalam berdepan dengan pilihan raya yang akan datang. Katanya, keadaan boleh menjadi lebih buruk jika BN tidak belajar daripada kesilapan tersebut. Beliau juga ditanya mengenai tanggapan DAP bekerjasama dengan BN untuk mewakili kaum Cina dalam kerajaan kerana MCA telah membuat keputusan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan. Katanya, ia terpulang kepada Umno dan DAP, sama ada mereka mahu mengambil bahagian dalam kerajaan. Bagaimanapun, katanya, beliau tidak fikir DAP akan akan berbuat demikian kerana parti itu sentiasa menonjol MCA sebagai "budak suruhan" Umno, dan DAP akan dianggap sama seperti itu jika ia bersama dengan BN. Sebaliknya, dakwa Mahathir, DAP adalah sebuah parti yang sentiasa mahu berada dalam kedudukan mendominasi.

Ahad, Disember 16, 2012

KOS AMBIL PEKERJA ASING LEBIH RENDAH

Cadangan supaya pengambilan pekerja asing dilakukan sepenuhnya menerusi kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan tanpa melibatkan agensi boleh meringankan beban rakyat. Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, melalui cara itu para majikan dapat membayar kos pengambilan pekerja asing lebih rendah iaitu bersesuaian dengan kemampuan mereka. "Majikan yang ingin mengambil pekerja asing mampu membayar kos tersebut sekitar RM3,000 apabila urusan pengambilan diuruskan secara terus antara dua kerajaan. "Saya yakin rakyat akan menyokong penuh cadangan ini kerana agensi pekerja asing mengenakan bayaran terlampau tinggi seolah-olah mahu mencekik darah pelanggan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. ...

Khamis, September 01, 2011

KARPAL SINGH LEBIH TAHU SEJARAH DARI MAT SABU


Pengerusi DAP Karpal Singh mahu rakan pemimpin parti pakatan Mohamad Sabu, menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Pemimpin DAP itu berkata rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

"Menyentuh tentang satu isu sensitif yang berusia lebih 61 tahun selepas ia berlaku adalah tidak adil dan saya fikir beliau (Mohamad Sabu) perlu secara serius mempertimbangkan untuk menarik balik kenyataannya memandangkan penerimaan negatif pelbagai pihak terhadapnya," kata Karpal Singh.

Mohamad Sabu, yang juga Timbalan Presiden PAS, semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown pada 21 Ogos lalu didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Karpal Singh berkata Mohamad Sabu, atau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sepatutnya segera bertindak meredakan keadaan dan menenangkan perasaan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

"Saya bukannya anti-PAS dan saya juga tidak anti-Sabu, tetapi saya tidak bersetuju dengan kenyataan beliau dalam perkara ini," katanya.

Ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata kenyatan Mat Sabu tidak wajar dan ia boleh menjejaskan Pakatan Rakyat.

"Beliau seharusnya menarik balik kenyataan kerana saya tidak nampak mengapa beliau tidak harus melakukannya. Saya tidak fikir apa yang beliau katakan itu mempunyai penghuraian positif bagi pakatan; ia negatif," kata Karpal Singh.

Mat Sabu yang kemudiannya menjelaskan tentang kenyataannya berkata mereka yang menyerang Bukit Kepong adalah hero kerana mereka pejuang kebebasan, dan bukan kerana mereka menyerang anggota polis Melayu.

Ulasan saya, nampaknya Karpal Singh yang lebih tahu sejarah daripada Mat Sabu. Sepatutnya Mat Sabu malu kepada orang Sikh ini kerana dia menghargai pengorbanan pasukan polis mempertahankan balai polis Bukit Kepong.

Kita berharap lebih ramai lagi pemimpin bukan Melayu pembangkang menyokong kenyataan Karpal Singh ini.

Isnin, Julai 04, 2011

PERKASA LEBIH JANTAN DARI PEMUDA UMNO


Nampaknya Perkasa lebih jantan dari Pemuda UMNO. Pemuda UMNO membatalkan hasrat untuk berhimpun pada 9 Julai ini tetapi Perkasa tetap teruskan berhimpun jika Bersih berdegil berarak ke Istana Negara.

Oleh itu Perkasalah yang bakal menyelamatkan maruah Melayu sedangkan Pemuda UMNO cuma berani berkokok sahaja. Buat malu kepada Bersih. Letak jawatanlah KJ sebagai ketua pemuda dan reezal Marican.

Datuk Ibrahim Ali berpendapat PERKASA perlu meneruskan perhimpunan mereka pada 9 Julai sekiranya BERSIH 2.0 meneruskan demonstrasinya.

Bagaimanapun perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasanya pada 6 Julai ini.

"Ini cuma pandangan peribadi saya sebagai presiden PERKASA," katanya.

Beliau juga menyifatkan cadangan itu sebagai mengikut rentak BERSIH.

"Kita ikut (tindakan) BERSIH saja. Kalau BERSIH A, kita A. Kalau BERSIH B, kita B," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Mas.

Bagaimanapun, katanya, pendiriannya itu tidak bermakna tidak akur pada titah Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, katanya, PERKASA mahu memastikan keselamatan negara terjamin dan imej negara tidak terjejas dengan perhimpunan itu.

Perkara lain, seperti tempat perhimpunan atau permit polis diserahkan kepada 40 jawatankuasa PERKASA untuk memutuskannya.

Ditanya tentang kenyataan Pengerusi BERSIH S Ambiga yang mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong, Ibrahim berkata tindakan itu tidak mengikut budaya Melayu.

"Esok kalau ada pihak lain hendak buat tunjuk perasaan, suruh batal, hendak jumpa (Yang di-Pertuan) Agong juga.

"Ini perhimpunan haram, saya rasa ini merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong," kata Ibrahim sambil menyifatkannya sebagai "biadap".

Oleh yang demikian, tambahnya, PERKASA tidak akan memohon mengadap Agong, kecuali dititahkan.

Khamis, Oktober 28, 2010

KU LI LEBIH SUKA JUMPA PENGUNDI DARI BUAT CERAMAH


BN menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencorak bentuk kempen bagi memenangi hati pengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada 4 November ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata, sebagai orang tempatan dan Pengarah Pilihan Raya BN serta Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi.

"Itu mengikut keadaan dan atas situasi yang kita fikir sesuai. Apa pun Tengku Razaleigh adalah pengarah (pilihan raya BN) dan kalau (beliau) berpendapat pendekatan itu adalah amat berkesan untuk Barisan Nasional, (kita) tidak ada halangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program mesra rakyat bersama orang Asli di Pos Brooke di Gua Musang.

Beliau diminta mengulas mengenai corak kempen Tengku Razaleigh yang lebih menumpukan kepada menemui pengundi di kawasan peti undi tertentu daripada mengadakan program ceramah besar-besaran.

Katanya walau apa corak dan bentuk kempen yang dilaksanakan, sasarannya masih sama iaitu pengundi.

"Yang penting kita bercakap dengan pengundi. Apa pun kita serah kepada kebijaksanaan Pengerusi BN di sini," katanya.

Mengenai penceramah PAS yang tidak menyentuh isu tuntutan royalti minyak semasa kempen kali ini kemungkinan kerana "segan" kepada Tengku Razaleigh, Muhyiddin berkata: "Itu saya tak tau, yang pasti kita tak bicarakan soal itu kerana urusan ini sudah ada di mahkamah.

"Saya pun tak perlu menjelas dan menjawab soal itu."

Sebelum ini, Tengku Razaleigh pernah menawarkan diri menjadi saksi dalam tuntutan royalti minyak oleh Kelantan.

Dikenali dengan panggilan "Ku Li", Tengku Razaleigh merupakan tokoh yang dihormati kerana membangunkan jajahan Gua Musang sejak menjadi wakil rakyatnya selama 41 tahun mulai 1974.

Pilihan raya kecil itu melibatkan calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49, dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Jumaat, September 17, 2010

PENYISIHAN KAUM DI SINGAPURA LEBIH TERUK


Tuduhan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bahawa Malaysia tidak berlaku adil dan menyisihkan kaum lain langsung tidak berasas sebaliknya penyisihan kaum di republik tersebut adalah lebih teruk dan lebih hebat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kaum Cina yang merangkumi 75 peratus penduduk pulau tersebut menguasai 95 peratus ekonomi negaranya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Singapura bukan negara pelbagai kaum sebaliknya adalah negara kaum Cina di mana penduduk minoriti tidak mendapat layanan yang sama.

"Kuan Yew bercakap mengenai kesaksamaan dan keadilan antara kaum tetapi sebaik sahaja Singapura keluar dari Malaysia, kaum Cina menjadi majoriti dan mendominasi republik itu.

"Seperkara yang harus diketahui aktiviti membantah atau membangkang kerajaan tidak dibenarkan di Singapura,'' katanya dalam entri terbarunya bertajuk Malaysia according to LKY dalam blognya di http://chedet.co.cc/chedetblog/ di sini.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew dalam akhbar New York Times pada 1 September lalu yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Kuan Yew membayangkan Malaysia mungkin menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menarik perhatian mereka yang bertanding menentang parti pemerintah PAP akan dikenakan tindakan termasuk diheret ke mahkamah atas tuduhan memfitnah.

Sekalipun menang pilihan raya, beliau berkata, mereka tidak berpeluang menduduki kerusi di Parlimen republik itu berbeza dengan parti-parti pembangkang di Malaysia.

Malah di Malaysia, empat daripada 13 negeri di perintah oleh parti pembangkang.

"Di Singapura, PAP terpaksa melantik wakil mereka untuk berperanan sebagai pembangkang,'' katanya.

Mengenai tuduhan Malaysia akan menjadi lebih baik dari segi hubungan kaum jika tidak berpisah dengan Singapura, Dr. Mahathir melontarkan soalan:

"Adakah kita percaya jika Singapura masih berada dalam Malaysia, masalah perkauman tidak akan berlaku?

"Saya juga percaya jika Singapura masih berada di dalam Malaysia, PAP sudah pasti akan menguasai politik negara bersama kaum Cina yang lain. Pada masa itu parti-parti pembangkang tidak akan ada suara. Seorang pun tidak akan berani bercakap apa-apa."

Dr. Mahathir berkata, hilang ingatan memang boleh berlaku tetapi membuat kenyataan bahawa Malaysia akan menjadi lebih baik jika tidak berpisah dengan Singapura jelas tidak berasaskan fakta sebenar.

Jumaat, September 18, 2009

DR M LEBIH MARAHI NAZRI DARIPADA SUKUMARAN


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan iannya tidak merugikannya, katanya kepada Bernama di sini.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota Umno dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya,"

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.

Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu.

Selasa, Januari 06, 2009

ISA ADA KELEBIHAN


Pada tahun 2004, Tan Sri Isa Samad selaku Menteri Wilayah Persekutuan telah memenangi kerusi Naib Presiden UMNO di samping Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.


Tapi nasib kurang menyebelahi Isa bila beliau didakwa mengamalkan politik wang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan itu pada tahun 2005 setelah memiliki jawatan itu selama lapan bulan. Apa yang beliau mampu buat dalam tempoh lapan bulan?


Hukuman selama tiga tahun berakhir pada tahun lepas. Beliau layak bertanding semula dan mendapat 27 pencalonan.


Tanpa sebarang jawatan menteri dan ahli parlimen, Isa mampu mendapat 27 pencalonan. Boleh dikatakan hebat juga kerana beliau sudah tidak ada kuasa lagi. Jadi peluangnya untuk menang tetap ada kerana trend jawatan naib presiden pernah dimenangi oleh orang yang bukan menteri.
Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba bukan menteri tetapi tetap terpilih sebagai Naib Presiden UMNO. Pak Lah pernah mencipta sejarah memenangi kerusi naib presiden tanpa sebarang jawatan menteri pada tahun 1990. Jadi dapatkah Isa menjejak langkah Ghafar dan Pak Lah pada kali ini?


Jika para perwakilan matang, dari tiga jawatan, apa salahnya satu jawatan naib presiden diberi kepada bukan menteri supaya ada check and balance. Terpulanglah kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk menentukan nasib Isa pada Mac ini.


Jika Isa menang, beliau mahu menebus kembali peluang yang tidak sempat beliau jalani sebagai naib presiden pada tahun 2004-2008 dahulu.


Kelebihan Isa jika dia dapat bersalam dengan ramai perwakilan, perwakilan akan tertarik kepada sense of humournya. Bertubuh kecil tapi orangnya cerdik. Dia menerjuni politik pada tahun 1978 secara kebetulan apabila sedang bermain sepakraga di Sekolah Datuk Abdul Razak di Seremban (SDAR). Beliau ketika itu adalah guru. Tiba-tiba Tengku Razaleigh Hamzah datang menemuinya dan menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon pilihan raya. Siapa yang mahu menolak tuah yang datang bergolek? Sejak itu beliau menjadi YB dan terus dilantik Exco Kerajaan Negeri Sembilan.


Apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ditarik ke pusat untuk bertanding kerusi parlimen pada tahun 1982, Isa dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru.
Beliau kekal menjadi Menteri Besar selama 22 tahun sehingga tahun 2004 ditarik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Walaupun beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, beliau dipilih bertanding kerusi parlimen Jempol kerana kerusi parlimen Teluk Kemang diberi kepada MIC.


Sudah tentu ada sesuatu yang menarik pada Isa yang menyebabkan beliau kekal lama sebagai menteri besar. Walaupun istana menolak namanya, tetapi di atas campurtangan Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba pada tahun 1986, beliau kekal sebagai menteri besar. Inilah kelebihan Isa.


Saya pernah berurusan dengan kawan saya di pejabat Isa ketika menjadi menteri besar pada tahun 1994. Setiap kali kawan saya jumpa Isa, Isa pelawanya datang ke pejabat. Maka kami pergilah ke pejabatnya di Seremban pada suatu pagi. Terkejut kawan saya kerana stail Isa bila jumpa dengan orang ramai, dia panggil 10 orang sekali gus. Jadi kawan saya yang ada hajat peribadi segan mahu beritahu Isa di depan orang ramai. Sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur, bukan main marah kawan saya kepada Isa.


Katanya, kalau tahu begitu tak datang dari jauh untuk jumpa Isa.


Saya difahamkan Menteri Besar Kelantan pun, Datuk Nik Aziz Nik Mat buat stail yang sama dengan Isa. Ramai yang bawa surat memohon kawasan balak tak jadi hulur surat kepada Nik Aziz bila 10 orang ada di dalam biliknya. Maka orang yang datang itu pulang dengan tangan kosong saja.


Walaupun Isa kini bukan lagi menteri, beliau tetap popular. Kenduri perkahwinan anaknya mendapat kunjungan orang ramai yang amat luar biasa walaupun beliau adalah Naib Presiden UMNO yang digantung ketika itu. Ini menunjukkan Isa ada peluang untuk menang jika perwakilan mengundi calon bukan berdasarkan ada jawatan dalam kerajaan.