Rabu, September 22, 2010

APA PAS NAK BUAT DENGAN RM4 BILION?


Apa yang PAS akan buat dengan RM4 bilion yang diterima daripada I'DA World Group Sdn. Bhd.? Dapatkah PAS tawan Malaysia dengan duit sebanyak itu pada pilihanraya umum akan datang? Benarkah wang sebanyak itu wujud?

Bayangkan jika benar RM4 bilion itu wujud, PAS akan gunakan wang ini untuk tawan semua kerusi parlimen tanpa perlu kepada DAP dan PKR lagi. Maka tercapailah cita-cita PAS untuk menawan Malaysia.

Nik Aziz menafikan menerima wang sebanyak itu tetapi adiknya, Nik Din yang menerima cek itu dari pihak syarikat dalam satu majlis. Yang peliknya kenapa syarikat itu bengong membuat mock cek sedangkan itu adalah sumbangan political fund yang disampaikan pula dalam majlis yang tidak pernah dibuat orang.

Parti politik menerima sumbangan adalah perkara biasa sama ada dalam UMNO atau PAS. Tetapi memberi cek kepada PAS secara terbuka dalam majlis adalah kerja orang bodoh yang boleh mengundang SPRM menyiasatnya.

Saya masih ingat ada seorang kawan saya menulis surat kepada bekas Menteri Kewangan yang mahu beliau menolongnya mendapatkan satu tender. Kawan saya tersilap sikit menulis dalam surat itu bahawa bila dapat tender kelak, dia akan beri sumbangan kepada UMNO. Bukan main marah setiausaha politik kepada Menteri kewangan itu kepada kawan saya kerana Menteri kewangan kata kalau surat itu tersebar ke tangan pembangkang, habislah UMNO.

Jadi kebodohan yang sama dilakukan oleh syarikat yang dapat projek di Kelantan ini. Nik Din kata wang itu untuk kerajaan negeri sedangkan di mock up cek itu jelas ia diberi kepada PAS Malaysia. Alangkah bertuahnya PAS Malaysia kalau benar ada wang sebanyak itu.

Kita ikuti berita penuh mengenai isu ini yang dipetik dari Utusan Malaysia hari ini sepertimana berikut:-

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion yang diberikan oleh sebuah syarikat, I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) kepada Pas Kelantan.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu. Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga.

"Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Model Baru Ekonomi (MBE) di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari I'DA World atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini, dua hari lepas.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai I'DA World yang menimbulkan misteri dan kejutan apabila bermurah hati untuk menderma kepada Pas Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ia sebagai sumbangan untuk kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Replika cek bernilai RM4 bilion itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Abdul Rahman Abdul Rashid, seorang anak Kelantan yang kini menetap di luar negara.