Memaparkan catatan dengan label mpk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mpk. Papar semua catatan

Selasa, April 07, 2015

MPK BAYAR PROJEK TIDAK DILAKSANAKAN?

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara mengemukakan tiga syor untuk dilaksanakan oleh ketua dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu yang didapati tidak cekap menguruskan projek dan perolehan serta lemah tadbir urus korporat mereka.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Majlis Daerah Besut (MDB) diminta menggunakan syor berkenaan bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan dengan tujuan mengelak kelemahan sama berulang.

Menurut laporan itu, pengauditan terhadap MPK dan MPB dari Julai hingga September 2014 mendapati pengurusan perolehan kurang memuaskan kerana terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan.

Bagi perolehan secara tender dan rundingan terus, antara kelemahan dikenal pasti adalah bayaran dibuat terhadap kerja yang tidak dilaksanakan, projek tidak siap dalam tempoh ditetapkan, projek siap yang tidak dimanfaatkan, serta dokumen kontrak tidak disediakan dan lewat ditandatangani.

Malah Jawatankuasa Pembuka dan Penilaian Sebut Harga tidak dilantik bagi perolehan secara sebut harga dan selain itu kelemahan turut dikesan bagi perolehan secara pembelian terus iaitu pesanan kerajaan dikeluarkan selepas barangan diterima dan pembelian terus ke atas barang yang sama melebihi RM50,000 setahun.

Menurut laporan itu, semakan dan pemeriksaan audit sehingga September 2014 turut mendapati hanya empat daripada 16 projek kerja yang sudah dilaksanakan MPK manakala empat daripada tujuh projek kerja dilaksanakan di MDB telah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan selain turut mendapat teguran tentang kualiti dan kemasan kerja yang tidak memuaskan.

Pihak audit yang melakukan lawatan pada September 2014 di Kemaman turut menegur projek siap yang tidak dimanfaatkan iaitu Bangunan Pasar Binjai yang masih tidak dibuka untuk sewaan biarpun siap dibina pada 2008 dan bangunan Kompleks Tekstil di Bandar Baru Kijal yang masih belum digunakan biarpun siap dibina pada 2011.

Justeru Ketua Audit Negara mengesyorkan dua PBT itu membuat pemantauan rapi terhadap perolehan terutamanya kontrak pembinaan bagi mengelak kelewatan menyiapkan projek yang menjejaskan imej Majlis.

Selain itu disyorkan tindakan tatatertib atau surcaj dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembayaran tidak teratur berhubung kerja yang tidak dilaksanakan supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

"Malah Jawatankuasa Pembuka dan Penilai Sebut Harga perlu dipastikan dilantik secara bertulis dan tempoh kerja dilindungi oleh polisi insurans," menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Khamis, Februari 27, 2014

MAHKAMAH TOLAK SAMAN MPK TERHADAP PAS

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM5 juta oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terhadap PAS berhubung perkataan berbaur fitnah dalam isu Zoo Bukit Takal di Terengganu. Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop, dalam keputusannya, menegaskan MPK gagal membuktikan elemen fitnah dalam kes itu. Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili PAS, memberitahu media bahawa hakim berkata MPK gagal membuktikan bahawa kenyataan fitnah itu diterbitkan PAS terhadap majlis itu. "Mahkamah menolak saman itu dengan kos RM30,000," katanya. Peguam Azwan Abdul Wahab mewakili MPK. Pada 22 Mac tahun lepas, MPK memfailkan saman terhadap PAS dengan menuntut ganti rugi RM5 juta daripada parti itu yang didakwanya mengedarkan risalah mengandungi kata-kata berbaur fitnah dan palsu dalam isu Zoo Bukit Takal. Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PAS untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikenakan terhadap parti itu. MPK memfailkan permohonan penghakiman ingkar terhadap PAS setelah parti itu gagal hadir di mahkamah dua kali meskipun diperintah berbuat demikian. -- BERNAMA