Memaparkan catatan dengan label rahman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rahman. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 06, 2017

RAHMAN DAHLAN KE SEPANGGAR?

KOTA BELUD, 5 Mei (Bernama) -- Sesiapapun boleh menawarkan diri sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kota Belud pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata namun amalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pemilihan calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Tradisi UMNO dan Barisan Nasional ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri (selaku presiden UMNO dan pengerusi BN) dan ketua menteri Sabah sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO negeri untuk menentukan siapa calon," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van dan wang tunai untuk masjid di Kota Belud di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang secara terbuka menyatakan kesediaan kembali aktif dalam politik dan turut menyatakan minatnya untuk bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Kota Belud.

"Bagi saya, saya berpandangan terbuka. Semua boleh menyatakan (hasrat mereka jadi calon) ... oleh sebab Tan Sri (Pandikar) sudah menyatakan demikian, kita serahkan kepada perdana menteri dan ketua menteri Sabah untuk menentukannya," katanya.

Ulasan saya, Rahman adalah timbalan ketua Umno bahagian Tuaran yang diberi laluan oleh Datuk Aliasgar Basri. Jika Aliasgar lawan Rahman, Rahman kalah tetapi oleh kerana Rahman adalah seorang menteri maka Aliasgar beri laluan kepada beliau untuk menjadi orang nombor dua Datuk Hajiji.

Oleh kerana kerusi parlimen Tuaran adalah bukan kerusi Umno, maka Rahman bertanding di Kota Belud menggantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak di zaman Pak Lah. Sebagai setiausaha pemuda Umno di Zaman Khairy Jamaluddin (KJ) maka KJ cantas Salleh untuk beri peluang kepada Rahman bertanding di Kota Belud pada tahun 2008.

Salleh dilantik Senator pada tahun 2015 dan Menteri Komunikasi dan Multi Media. Rakyat Kota Belud bertuah kerana ada dua orang menteri, Rahman dan Salleh. Apabila Salleh dilantik menteri maka pada PRU akan datang Salleh akan bertanding kerusi parlimen Kota Belud. 

Apatah lagi beliau kini adalah Bendahari Umno Malaysia dan jika orang Sabah diperlukan untuk mengisikan kuota Naib Presiden Umno yang ditinggalkan Datuk Seri Shafie Apdal, maka Sallehlah yang layak menggantikan Shafie dan bukannya Rahman.

 Jika Rahman bertanding peluang KJ untuk menang naib presiden Umno akan tipis kerana undi pemuda berpecah dua kepada KJ dan Rahman. Maka Rahman tak jadi tanding naib presiden Umno. Jadi Salleh akan jadi calon tunggal dari Sabah untuk bertanding naib presiden Umno.

Maka Rahman terpaksa berpindah ke parlimen Sepanggar menggantikan Datuk Jumat Idris yang digantung keahlian Umno.Jadi jika Pandikar Amin mahu aktif politik, beliau mungkin bertanding di DUN Tempasuk dan keputusannya untuk bertanding kerusi DUN akan mencetuskan spekulasi sebagai pengganti Datuk Seri Musa Aman.





Sabtu, Januari 10, 2015

TUN RAHMAN YAKUB DALAM KENANGAN

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Bintulu Sarawak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Anchi dan Sekolah St. Joseph, Kuching hingga tingkatan 5. Beliau telah lulus Sijil Seberang Laut Cambridge dan menyambung pengajian ke peringkat Universiti pada tahun 1954 hingga 1959 di Southampton University, England dan mendapat pendidikan dari School of International Law, Hague, Holland, beliau juga mempunyai kelulusan Barrister-at-law dari Lincoln’s Inn, London. Beliau telah memulakan kerjayanya pada tahun 1948 sebagai Pegawai Percubaan (kadet) Bumiputera Sarawak. Beliau menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sehingga dinaikkan pangkat menjadi Magistrate. Dari tahun 1959 hingga 1963, beliau dilantik sebagai Pegawai Perundangan Sarawak, di samping bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Crown Council dan Stipendiary Magistrate. Beliau adalah tokoh utama dari Sarawak yang dipilih Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam usaha meyakinkan rakyat Sarawak, sekali gus mendapat sokongan padu rakyat negeri itu dalam pembentukan Malaysia. Beliau antara tokoh politik paling berjasa memainkan peranan penting di sebalik penubuhan Malaysia. Putera Kenyalang ini tidak pernah berputus asa meredah kampung-kampung untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sarawak. Dalam bidang politik Sarawak, Abdul Rahman berjaya membentuk kerajaan campuran dengan menyatukan Parti Bumiputera dan Parti Pusaka Bumiputera Bersatu (PBB). Semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga, beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang berjaya memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat yang turut melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman. Pada tahun 1963, Tun dilantik menjadi Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan. Seterusnya pada tahun 1964, beliau dilantik pula menjadi menteri Muda Kementerian Kehakiman sebelum bertukar portfolio sebagai Menteri Tanah dan Galian Persekutuan hingga 1969. Tun juga pernah bertugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun (1968-1971). Beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran Persekutuan dari tahun 1969 hingga 1970. Beliau kemudiannya memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 11 tahun bermula 1970 hingga 1981. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Sementara di Muslim College, Earling London dari tahun 1986 hingga 1990. Tun juga merupakan Yang Di Pertua BINA (Angkatan Nahdatul Islam Bersatu Sarawak) dari tahun 1969 hingga 1986 dan sehingga kini masih menjadi Ahli Majlis Tertinggi RABITAH ALAM ISLAMI (Muslim World leugue, Makkah) selain menjadi anggota Muslim World Congress, Karachi Pakistan. Semenjak tahun 1970 sehingga ke hari ini, Tun masih lagi aktif dalam mengajar ilmu-ilmu agama Islam dan sering menganjurkan kegiatan dakwah di kediaman beliau di Surau Sri Bahagia, Kuching Sarawak. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri pelajaran pada tahun 1970 dan apabila beliau dipanggil balik mengetuai pentadbiran Sarawak, para mahasiswa universiti menangis kerana beliau adalah menteri pelajaran yang tegas memperjuangkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ayahnya Haji Yakub dikatakan berasal dari Kelantan dan berhijrah ke Sarawak dan menikahi perempuan tempatan. Bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merupakan anak saudara Tun Rahman. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al fatihah.

Rabu, Oktober 16, 2013

RAHMAN TERKEJUT PENYANDANG TARIK DIRI DI MASJID

KOTA KINABALU: Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Rahman Dahlan terkejut apabila penyandang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Aliasgar Basri (gambar) mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan itu di masjid Likas baru-baru ini. Menurut sumber, Aliasgar telah menunaikan solat jumaat di masjid tersebut dua minggu lepas. Beliau bersalam dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman selepas menunaikan solat. Tiba-tiba beliau ternampak Rahman ada di belakang Ketua Menteri. “Datuk, saya tak jadi mempertahankan jawatan. Saya beri laluan kepada Datuk,” kata Aliasgar kepada Rahman. Rahman terkejut dengan pengumuman spontan Aliasgar itu. Apatah lagi pengumuman tidak rasmi itu dibuat dalam masjid. Pada pemilihan Umno 2009, Aliasgar mencabar ahli parlimen Kota Belud itu dalam pertandingan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran di mana Aliasgar menang dengan majoriti 79 undi. Sumber itu menambah, jika Aliasgar mempertahankan jawatannya itu beliau tetap dapat mengalahkan Rahman. “Tetapi oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka Aliasgar beri laluan kepada Rahman. Tambahan pula beliau mahu bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno,” kata sumber itu lagi. Sementara itu ketika dihubungi FMT, Aliasgar mengesahkan bahawa beliau tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan 19 Oktober ini. “Oleh kerana Rahman adalah menteri pusat, maka saya beri laluan kepada beliau supaya beliau menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Ketua Bahagian,” katanya. Beliau menghormati Rahman yang ada jawatan dalam kerajaan dan beliau berharap Rahman dapat menggunakan peruntukan kementerian untuk membangunkan kawasan Tuaran. Rahman akan bertanding kerusi mahlis tertinggi Umno pada 19 Oktober ini

Jumaat, Oktober 24, 2008

SIAPA MENANG DI MARANG ESOK?


ADUN Alur Limbat, Alias Abdullah menarik diri dari bertanding jawatan ketua UMNO bahagian Marang esok. Siapa yang menang di antara penyandang, Rahman Bakar dengan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad amat menarik untuk diketahui esok.

Nampaknya Yahya sanggup mencabar Rahman walaupun Rahman melantiknya sebagai setiausaha bahagian sejak tahun 2004. Yahya selaku Exco Kerajaan Negeri tidak mematuhi arahan Menteri Besar, Ahmad Said supaya tidak mencabar ketua bahagian. Tetapi yang peliknya kenapa Yahya tidak dipecat sebagai Exco kerana tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Yahya sanggup menyanggah arahan Ahmad Said. Oleh itu jika Yahya menang atau kalah dalam pertandingan ini esok, Ahmad perlu gugurkannya dari jawatan Exco sebagai satu pengajaran kepada beliau yang tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan.

Dapatkah Rahman mengekalkan jawatannya kali ini? Pada tahun 2004, beliau mengalahkan bekas ADUN Bukit Payong, Dr. Latif Awang. Beliau menang dalam pilihan raya pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia tetapi beliau digugurkan oleh Idris Jusoh sebagai calon pada pilihan raya umum Mac lalu.

Tetapi beliau dilantik sebagai Senator baru-baru ini dan ia memberi nyawa baru kepada Rahman untuk kekal sebagai ketua bahagian Marang. Beliau juga dikatakan telah dilantik sebagai Pengerusi baru Golden Pharaos Berhad, GLC milik kerajaan negeri Terengganu. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan nasib Rahman Bakar esok.