Memaparkan catatan dengan label dr shahruddin jamal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dr shahruddin jamal. Papar semua catatan

Isnin, Mei 06, 2019

SEPATUTNYA MB DILANTIK PENGERUSI BERSATU JOHOR



JOHOR BAHRU 5 Mei - Walaupun Mazlan Bujang sudah dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang baharu berkuat kuasa pada 25 Mei ini, pergolakan dalaman parti itu masih tidak lagi reda.

Menerusi satu mesyuarat yang diadakan di Ibu pejabat Bersatu Johor, Kempas di sini petang tadi, sepatutnya satu keputusan iaitu persetujuan melantik Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Bersatu negeri yang baharu diumumkan.

Majoriti daripada bahagian Bersatu Johor didakwa akan bersetuju dengan keputusan memilih Dr. Sahruddin yang juga Menteri Besar Johor itu sebagai Pengerusi Bersatu yang baharu bagi menggantikan Mazlan.


Bagaimanapun pihak media yang hadir untuk sidang akhbar pada petang tadi, tidak dibenarkan membuat sebarang liputan selain menyatakan mesyuarat tersebut tertutup dan tiada sidang akhbar akan diadakan.

Dr. Sahruddin ketika ditemui pihak media enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemelut tersebut.

Pada 30 April lalu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata, Mazlan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor mengambil alih tugas itu daripada Datuk Osman Sapian.

Sementara itu terdapat juga cakap-cakap bahawa Osman yang juga bekas Menteri Besar akan dilantik semula sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Osman ketika dihubungi menafikan mesyuarat tersebut adalah untuk melantik atau mengumumkan Pengerusi Bersatu negeri yang baharu.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, pertemuan tersebut hanya perbincangan biasa melibatkan ketua-ketua bahagian.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu jumlah ketua-ketua bahagian Bersatu seluruh Johor yang hadir dalam ‘pertemuan’ tersebut.


“Jika mereka mahu melantik Pengerusi (Bersatu negeri) yang baharu setelah ramai tidak menerimanya (Pengerusi Bersatu terkini), biarkan Menteri Besar (Dr. Sahruddin) memegang jawatan itu,” katanya.

Isnin, April 15, 2019

MB BAHARU SERU RAKYAT BERGANDING BAHU

MUAR, 14 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal menyeru rakyat bersamanya berganding bahu untuk memajukan lagi negeri.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu dapat memastikan rakyat secara keseluruhannya menikmati kehidupan lebih selesa.

"Terima kasih kerana daripada awal bersama saya, saya diamanahkan sebuah tugas lebih besar untuk kita semua dan saya akan laksana dengan sebaiknya," katanya dalam ucapan ringkas setelah bertemu penduduk kampung halamannya di Kampung Batu 28, Lenga di sini hari ini.

Selain penduduk kampung, Dr Sahruddin turut meluangkan masa melawat ibunya Isniah Kasmongin, 72, serta anggota keluarganya di kampung itu.

Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.

Sementara itu, Isniah berkata meskipun terdapat banyak desas-desus berhubung perlantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar, namun Isniah serta sembilan lagi anaknya tidak menyangka anak kelapannya itu dipilih sebagai Menteri Besar Johor.

Isniah berkata sebagai seorang ibu beliau bangga atas pencapaian anaknya itu yang berjaya memenuhi cita-cita suaminya Allahyarham Jamal Kasran untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang pemimpin.

"Dia (Dr Sahruddin) sendiri telefon makcik semalam maklumkan dia terpilih jadi Menteri Besar Johor. Masa tu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan seorang ibu bila anaknya dilantik jadi pemimpin. Anak-anak yang lain dengar pun terharu, semua menangis gembira.

"Bila dah dilantik ni, makcik gembira dan bersyukur. Apa yang diharapkan, Isah (nama panggilan Dr Sahruddin) mampu jadi pemimpin yang baik, bertanggungjawab dan amanah mentadbir negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

-- BERNAMA