Sabtu, Julai 31, 2010

KSN DIMINTA BERI PENJELASAN


Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan diminta memberi penjelasan lanjut berhubung arahannya kepada anggota perkhidmatan awam mengenai surat sokongan daripada ahli politik.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, langkah tersebut perlu memandangkan arahan itu seolah-olah memberi gambaran telah berlaku salah guna kuasa di kalangan wakil rakyat dan ahli politik yang mengemukakan surat sokongan berkenaan.

''Bukan kita hendak mengarahkan mana-mana jabatan tetapi untuk menarik perhatian supaya mereka dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan segera,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda di PWTC di sini hari ini.

Akhbar The Star baru-baru ini memetik kenyataan Mohd. Sidek yang mengarahkan penjawat awam menulis surat dan melaporkan kepada ketua mereka jika mendapat 'permintaan istimewa' daripada ahli politik dalam urusan pemberian tawaran kontrak, permit, lesen, kewarganegaraan dan biasiswa.

Dalam laporan itu, Mohd. Sidek berkata, sebarang cadangan atau surat sokongan daripada ahli politik kepada penjawat awam tidak seharusnya dalam apa cara pun mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO membantah persepsi sesetengah pihak yang menganggap surat sokongan itu sebagai tindakan salah guna kuasa oleh wakil rakyat atau ahli politik.

''Kita membuat surat sokongan itu semata-mata untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,'' tegasnya.

Khairy berkata, surat sokongan ahli politik diperlukan apabila pemohon gagal untuk mendapat layanan yang adil daripada jabatan kerajaan yang berkaitan.

Jelasnya, wakil rakyat bukan sahaja berusaha untuk menyelesaikan kes yang melibatkan kontrak atau perolehan kerajaan malah juga permohonan biasiswa, pemindahan tempat kerja, kebajikan dan perumahan oleh rakyat.

''Surat sokongan ini cuma untuk menarik perhatian jabatan berkenaan kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat,'' katanya.

Khairy berkata, pihaknya percaya majoriti kakitangan awam profesional dan mereka akan dapat menilai jenis permohonan sama ada yang ada merit atau tiada merit.

Bagaimanapun, kata beliau, realitinya tidak boleh ditolak bahawa ada segelintir 'napoleon kecil' di kalangan kakitangan awam yang tidak cuba untuk membantu rakyat dengan baik dan adil.