Isnin, Ogos 02, 2010

SHAFARUDIN LAYAK TANDING DI BATU BURUK


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengajak semua pemimpin Barisan Nasional (BN) di segenap peringkat agar merapatkan barisan dan bekerja keras untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.

Beliau merayu kepimpinan akar umbi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin UMNO peringkat cawangan menghentikan segera pertelagahan sesama sendiri sebaliknya bersatu ke arah kemenangan parti.

Beliau juga tidak menolak tanggapan sesetengah pihak mengenai sikap pemimpin JKKK yang tidak ikhlas dan suka bercakaran menjadi punca status kekalahan BN sejak lebih 20 tahun lalu.

"JKKK perlu elakkan diri daripada dilabel sebagai jawatankuasa yang hanya banyak bermesyuarat dan bercakap," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Menteri Besar anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk di Kuala Terengganu,baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid.

Ahmad Said turut melahirkan rasa kesal dengan beberapa orang wakil rakyat di negeri ini yang bertelagah dengan rakyat dan amat berharap sikap negatif sedemikian perlu dihentikan.

Katanya, perkara itu akan menyebabkan rakyat menjauhkan diri daripada BN dan fungsi wakil rakyat BN sebagai 'pembela rakyat' akan dipertikaikan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan BN dan UMNO di DUN Batu Buruk bersatu dan hentikan 'politiking' yang tidak ada manfaat. Beliau yakin akan ada sinar baru di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada JKKK Mengabang Tengah dan JKKK Che Kundur yang diumumkan sebagai johan pertandingan profil kampung peringkat DUN Batu Buruk dan mereka menerima RM1,000.

Teguran MB kepada semua JKKK dalam DUN Batu Buruk perlu dihayati oleh semua pihak. Untuk menangi DUN Batu Buruk, semua pihak - cawangan, pemuda, wanita dan puteri hendaklah berganding bahu bersatu memenangkan calon yang diturunkan oleh BN kelak.

BN tewas di Batu Buruk sejak tahun 1982 lagi. Tetapi BN dapat merampas semula kerusi itu pada tahun 1986 melalui Datuk Mutalib. Pada tahun 1990, BN tewas hinggalah sekarang.Sudah lima penggal PAS menguasai DUN Batu Buruk.

Oleh itu BN perlu kenalpasti calon dari sekarang. Jangan umum calon di saat-saat akhir. Di antara yang layak bertanding di DUN Batu Buruk ialah Dr. Bazlan Datuk Shafie, 42 tahun dan Pengarah YPK, Shafarudin Mustapha.