Selasa, Mac 08, 2011

KES DAPHNE IKING SELESAI


Kes saman peribadi yang dikemukakan oleh bekas suami model dan pengacara TV Daphne Iking terhadap ahli perniagaan Darren Choy Khin Ming selesai hari Isnin, selepas Choy membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap bekas suami Daphne, Ryan Chong Yiing Min.

Choy, bekas pengarah urusan Adidas didakwa memikat Iking (ketika itu masih isteri kepada Chong) untuk melakukan persetubuhan dengan Iking di The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.

Choy, 46, selaku defendan menghadapi saman peribadi itu yang dikemukakan oleh Chong, 33, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah berkata mahkamah membuat keputusan selepas peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Chong memberitahu tidak bercadang untuk meneruskan pendakwaan terhadap Choy.

Wong memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya membuat cadangan untuk menarik balik pendakwaan saman itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Choy, membacakan surat yang ditandatangani Choy yang bertarikh 7 Mac (hari ini), yang mengandungi penafian Choy bahawa dia bukan bapa kandung kepada anak perempuan Iking, Isobel Daniella Iking Chong, tiga tahun.

Penafian tersebut berhubung dakwaan Chong dalam keterangannya pada 17 Dis lalu, yang memberitahu bahawa Isobel bukan anak kandungnya.

Choy turut meminta maaf kerana hubungan sulitnya dengan Iking telah menyebabkan Chong dan ahli keluarganya berasa malu dan terhina.

Ahli perniagaan barangan alat sukan itu turut memohon maaf kerana hubungannya dengan model tersebut telah mendorong Chong memfailkan saman terhadapnya.

Choy juga melahirkan rasa kekesalannya kerana sewaktu pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap Chong, pelbagai isu telah dibangkitkan di dalam prosiding itu menyebabkan kesan yang buruk terhadap Chong sekeluarga.

"Secara ikhlas, saya meminta maaf kepada Chong, ibu bapanya dan seluruh ahli keluarganya," kata Jagjit yang mewakili Choy membacakan surat itu.

"Ini yang diharap-harapkan oleh mahkamah kerana ia diselesaikan tanpa ada perbicaraan lanjutan mengenai kes ini. Kesemua pihak yang terlibat mendapatkan cara penyelesaian terbaik dalam kes ini.

"Oleh yang demikian, OKS (Darren Choy) dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah," kata Majistret Engku Ahmad Rashdi ketika membuat keputusan itu.

Perbicaraan kes itu yang bermula pada 29 Nov tahun lalu, telah memanggil seramai empat saksi.

Chong dan Choy yang sebelum ini sentiasa menjarakkan kedudukan mereka di dalam mahkamah sepanjang prosiding itu, dilihat bersalaman antara satu sama lain selepas prosiding selesai.

Choy yang ditemui pemberita di luar mahkamah, memberitahu, kes tersebut berjaya diselesaikan dengan situasi menang-menang antara pihaknya dan Chong.